ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 14 February 2021

CATATAN IBN KATHIR TENTANG SRIVIJAYA

Oleh Hasanuddin Yusof
Facebook Tamadun Melayu Sungai Batu 788 SM

Imam Abu al-Fida' Imaduddin bin Ismail atau lebih terkenal dengan panggilan Ibn Kathir (w 774 H), seorang ulama besar yang terkenal dengan kitab tafsir al-Qur'annya yang dinamakan Tafsir Ibn Kathir turut memiliki kepakaran dalam ilmu sejarah.
Karya sejarahnya yang cukup agung dan memberikan sumbangan besar pada Islam antaranya ialah kitab Al-Bidayah wan Nihayah.
Dalam kitab tersebut, Ibn Kathir turut menukilkan tentang Srivijaya yang mana beliau menulis bahawa wilayah Srivijaya memiliki banyak peninggalan kesan runtuhan bangunan. Ibn Katihir menulis seperti berikut:-
ويتجاوز خط الإستواء، ثم يمتد شرقًا، ويصير جنوبي الأرض .وفيه هناك جزائر الزابج، وعلى سواحله خراب كثير......إن في بحر الهند ألف جزيرة وسبعمائة جزيرة فيها مدن وعمارات
"Dan melintasi khatulistiwa, kemudian menjangkau ke arah timur, dan mencecah bahagian selatan bumi, di situ terdapat gugusan kepulauan al-Zabaj (Srivijaya/ Alam Melayu) yang mana di pesisir pantainya terdapat banyak kesan peninggalan runtuhan bangunan........Di Lautan Hindi terdapat seribu tujuh ratus buah pulau yang terdapat kota-kota dan binaan bangunan-bangunan"
Catatan Ibn Kathir ini dibuat pada abad ke-14 M dan pada ketika ini kerajaan Srivijaya telah pun runtuh. Maka sangat munasabah jika Ibn Kathir mencatatkan Srivijaya memiliki banyak peninggalan runtuhan bangunan.
Lima ratus tahun sebelum Ibn Kathir mencatatkan tentang Srivijaya, Abu Zaid as-Sirafi (w 326 H) telah mencatatkan tentang keadaan Srivijaya pada zaman hidupnya iaitu pada abad ke-9 M. Abu Zaid menulis :-
و جزيرته التي هو بها في غاية الخصب و عمارتها منتظمة. و ذكر من يوثق بقوله أن الدّيكة إذا غردت في الأسحار للأوقات كتغريدها عندنا تجاوبت إلى مائة فرسخ و ما فوقها يجاوب بعضها بعض لإتصال القرى و انتظامها
"Pulau pusat pemerintahannya (Maharaja Srivijaya) yang mana tempat baginda bersemayam pula berada di tahap kemuncak kemewahan dan bangunan-bangunannya yang tersusun rapi. Telah disebutkan oleh orang yang boleh dipercayai bahawa apabila seekor ayam berkokok pada waktu sahur seperti mana kokokan di tempat kita, bunyi kokokan itu saling sahut menyahut sehingga lebih seratus farsakh jauhnya. Ayam-ayam boleh berkokok saling sahut-menyahut (sehingga sejauh itu) kerana bersambungnya kampung-kampung di situ dengan tersusun rapi.”
Farsakh adalah unit ukuran Arab klasik/ kuno. Satu farsakh sekitar 5 km.
Bayangkan, menurut Abu Zaid, kampung-kampung di Srivijaya bersambung-sambung sehingga 500 km jauhnya. Ini suasana pada abad ke-9 M. Maka tidak hairanlah jika Ibn Kathir menulis pada abad ke-14 M bahawa di Srivijaya banyak runtuhan bangunan.
Pelayar Islam dari Parsi iaitu Buzurg al-Ramhurmuzi yang hidup pada abad ke-10 M juga mencatatkan tentang begitu banyaknya pasar dan bangunan di Srivijaya. Beliau menulis :-
و قد كان دخل الزابج قال رأيت فى البلد الذى فيه مهراجا الملك بالزابج من الاسواق العظيمة ما لا يحصى....و حكى من امر جزيرة الزابج و عمارتها و كثرة البلدان و القرى فيها ما لا يقع عليه وصف
"Dan dia (Yunus bin Mihran) pernah masuk ke wilayah Srivijaya (al-Zabaj) dengan berkata, ‘Aku telah melihat di negeri yang menjadi tempat bersemayam Maharaja iaitu raja bagi Srivijaya, pasar-pasar yang besar sekali begitu banyak tidak terhitung bilangannya...dan telah diceritakan hal ehwal Pulau Srivijaya dari segi bangunan-bangunannya serta banyaknya negeri dan kampung-kampung di dalamnya yang tidak dapat digambarkan.
Jika merujuk kepada catatan Ibn Kathir dan penulis-penulis Arab/ Parsi dari abad ke-9 hingga abad ke-14 M, wilayah-wilayah Srivijaya (Jawa, Sumatera dan semenanjung Tanah Melayu) terdapat banyak bangunan.
Namun peninggalan binaan Srivijaya yang ditemui di zaman moden ini tidak selaras dengan catatan penulis-penulis Arab kurun yang lalu. Apakah masih banyak lagi kesan peninggalan yang tertimbus dan belum ditemui atau terdapat zaman di mana ianya dihapuskan secara besar-besaran, hanya masa yang menentukan jawapan persoalan ini.
Gambar : Di Candi Muara Takus, Riau, salah satu peninggalan bangunan Srivijaya yang diduga dibina pada abad ke-7 M.
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

C&P : 14/2/2021 @ 2 Rejab 1442H: 5.43 pm

No comments:

Post a Comment