ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 18 February 2021

BERHATI-HATILAH DALAM MENJAWAB SOALAN AGAMA

SUMBER: FB Legasi Pemikir - LEKIR

Sesiapa yang menjawab sesuatu kemusykilan agama, bermaksud dia sedang berfatwa. Sama ada fatwa tersebut adalah dari pendapatnya sendiri, atau dari pendapat orang lain. Orang yang menjawab itu adalah Mufti (walaupun tidak menjawat jawatan mufti secara rasmi) dan orang yang bertanyakan soalan adalah Mustafti. Maka berhati-hatilah dalam berfatwa, kerana sesiapa yang memberikan fatwa pada orang lain, dia menanggung dosa orang yang beramal dengan fatwanya seandainya fatwa tersebut salah. Sebagaimana mafhum dari hadis Nabi s.a.w:
"Sesiapa yang diberikan fatwa dengan fatwa yang tidak kukuh, sesungguhnya dosanya kepada pemberi fatwa."
(Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, ad-Darimi, al-Hakim, al-Baihaqi, al-Khatib)
"Sesiapa yang diberikan fatwa tanpa ilmu dosanya ke atas orang yang memberi fatwa kepadanya".
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Abdil Bar)
"Sesiapa yang memberi fatwa tanpa ilmu, para malaikat langit dan bumi akan melaknatnya."
(Riwayat Ibnu 'Asakir, al-Khatib dan Ibnul Jauzi, tetapi hadis ini telah dinilai dhaif oleh Syeikh al-Albani)
Sebab itulah generasi Salafussoleh takut untuk berfatwa sekalipun mereka itu 'Alim (orang berilmu). Sehingga seorang ulama yang hidup dalam abad pertama hijrah bernama Atha' bin Rabah rahimahullah mengatakan: "Aku telah berjumpa dengan sekumpulan manusia yang sekiranya salah seorang dari mereka ditanyakan soalan maka dia bercakap dalam keadaan menggeletar."
Imam Malik rahimahullah pernah berkata: "Sesiapa yang hendak menjawab sesuatu permasalahan, hendaklah dia membentangkan dirinya di hadapan syurga dan neraka sebelum menjawabnya, serta memikirkan bagaimanakah kesudahan dirinya di akhirat kelak dan kemudian barulah dia menjawabnya." Pernah seseorang mengatakan tentang Imam Malik: "Aku Melihat Imam Malik ditanyakan sebanyak 48 masalah. Beliau berkata pada 32 masalah: 'Aku tidak tahu.'"
Kerana itulah anak murid Imam Malik sendiri seperti al-Imam asy-Syafi'e rahimahullah pernah ditanyakan tentang suatu masalah, tetapi beliau hanya diam sehingga dikatakan kepadanya: "Tidakkah engkau mahu menjawabnya? Maka Imam Syafi'e berkata: "Sehinggalah aku tahu sama ada kebaikan itu pada diamnya aku atau pada jawabnya itu."
Wallahu a'lam
Rujukan: Sifat al-Mufti Wal-Mustafti
[Legasi Pemikir - LEKIR]

C&P: 18/2/2021 @ 6 REJAB 1442H: 6.11 PM

No comments:

Post a Comment