ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 5 January 2021

KRONOLOGI DAN TAHUN TAHUN PENTING DI MELAKA

Oleh Daeng Iskandar
FB KINGDOM OF TANAH MELAYU

Kurun Ke-15
1400 - Parameswara, putera raja dari Palembang, setelah ditumpaskan oleh Majapahit menuju ke Temasik (nama asal Singapura) dan akhirnya membuka negeri Melaka.
1403 - Laksamana Yin Ching dalam misi perdagangannya telah singgah di Melaka dan menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan China - Melaka.
1405 - Parameswara menghantar utusannya ke China bagi mengukuhkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin.
1409 - Laksamana Cheng Ho (Zheng He), ketua Armada perdagangan China dan para pembesar tiba di Melaka bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
1411 - Parameswara diiringi pembesar Melaka dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang serta ditemani oleh Laksamana Cheng Ho belayar untuk melawat Yung Lo, Maharaja Dinasti Ming di Cina.
1414 - Parameswara berkahwin dengan Puteri Pasai. Baginda memeluk agama Islam dan memakai gelaran Sultan Iskandar Shah (1414-1424).
1424 - Parameswara mangkat dan anakandanya, Sri Maharaja, menaiki takhta dan menukar namanya menjadi Sultan Muhammad Shah (1424-1444). Baginda telah memerintah mengikut ajaran Islam, mengasaskan etika istana dan menyebarkan Islam.
1444 - Raja Ibrahim, putera bongsu Sultan Muhammad Shah, menjadi pemerintah selepas kemangkatan ayahandanya.
1445 - Raja Ibrahim dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran Sultan Abu Syahid.
1446 - Raja Kassim, kekanda Sultan Abu Syahid, menaiki takhta dan memakai gelaran Sultan Muzaffar Shah (1446-1458) dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri.
1447 - Serangan Siam yang pertama ke atas Melaka berlaku, tetapi disekat oleh angkatan perang Melaka. Pihak Siam ditewaskan tidak jauh dari Muar.
1456 - Tun Perak dilantik menjadi Bendahara atau Perdana Menteri dengan gelaran Bendahara Paduka Raja. Beliau menjadi terkenal kerana pentadbiran yang baik dan bertanggungjawab dalam memajukan Melaka. Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.
1458 - Sultan Mansur Shah menaiki takhta. Maharaja China menghantar Laksamana Cheng Ho yang membawa Puteri Hang Li Po dan dikahwinkan dengan Baginda. Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpateh Puteh dengan segolongan pengiring ke negeri Cina untuk mengiring Hang Li Po.
1477 - Sultan Mansur Shah mangkat dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) menaiki takhta pada umur 15 tahun. Baginda merupakan seorang yang tegas dalam melaksanakan tugasnya.
1488 - Sultan Alauddin diracun mati di Pagoh. Kemudian Sultan Mahmud Shah (1488-1511) menaiki takhta atas jasa Tun Perak dan juga Hang Tuah.
1498 - Tun Perak meninggal dunia.
Kurun Ke-16
1500 - Tun Mutahir, sepupu Tun Perak, dilantik sebagai Bendahara bergelar Bendahara Seri Maharaja dan menjadi bendahara yang paling berkuasa di kalangan para pembesar Kesultanan Melaka.
1509 - Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal dari Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di rantau Asia Tenggara. Atas sebab perselisihan faham, angkatannya diserang oleh Melaka dan 20 anak kapalnya ditahan oleh orang tempatan.
1510 - Bendahara Tun Mutahir dan keluarganya dibunuh atas titah Sultan Mahmud Shah kerana beliau enggan menyerahkan anaknya Tun Fatimah kepada baginda. Menyedari kesilapannya, Sultan Mahmud Shah turun takhta untuk sementara waktu dan digantikan oleh anaknya, Sultan Ahmad Shah.
1511 - Alfonso de Albuquerque, wizurai Portugis di Goa, tiba di Melaka pada 10 Ogos dan membuat permintaan membina sebuah markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak oleh sultan. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos. Semenjak itu, Portugis memerintah Melaka selama 130 tahun.
1512 - Albuquerque kembali ke Goa pada bulan Januari selepas menyiapkan A Farmosa, kota kubu yang mempunyai ketinggian menara 5 tingkat. Kemudian Sultan Mahmud Shah menyerang Portugis di Melaka.
1513 - Patih Unus, seorang pahlawan Jawa yang kemudiannya menjadi Sultan Demak di Sumatera, menyerang Portugis di Melaka.
1516 - Laksamana Hang Nadim, anak kepada Hang Tuah, menyerang Melaka.
1518/19 - Askar-askar Sultan Mahmud Shah mengepung bandar Melaka selama 3 bulan.
1523 - Sultan Mahmud Shah menyerang Melaka.
1524 - Laksamana Hang Nadim mengepung Melaka dan memotong bekalan makanannya.
1537 - Serangan orang Acheh yang pertama ke atas Portugis di Melaka.
1545 - Paderi Francis Xavier tiba di Melaka buat pertama kalinya. Selepas itu beliau telah melawat Melaka sebanyak 5 kali.
1551 - Gabungan Johor, Japara dan Perak telah menyerang Melaka dan mengepungnya selama 3 bulan.
1553 - Paderi Francis Xavier mati di Pulau Sanction berdekatan dengan Canton, Cina dan dikebumikan di Gereja St. Paul. Selepas 9 bulan, mayatnya telah dialih dan dikebumikan di Goa.
1567/68 - Dengan pertolongan Johor, Acheh menyerang kubu Portugis di Melaka. Namun, sekali lagi mereka telah dikalahkan.
1571 - Acheh membuat percubaan untuk menyerang Portugis di Melaka, tetapi percubaan mereka sekali lagi gagal kerana ribut taufan yang melanda.
1575 - Japara telah menyerang kubu Portugis di Melaka.
1585 / 86 - Johor telah menyerang Melaka.
1588 - Pelawat Inggeris yang pertama bernama Ralph Ritch telah tiba di Melaka.
1597 - Belanda menyerang Melaka.
Kurun Ke-17
1606 - Gabungan Belanda dan Johor menyerang kubu pertahanan Portugis di Melaka. Walaupun begitu, pasukan bantuan askar Portugis yang tiba tepat pada masanya dari Goa dapat menyelamatkan Melaka.
1615 / 16 - Acheh melancarkan serangan sekali lagi ke atas Melaka.
1628 / 29 - Acheh berkuasa ke atas Melaka selama 8 bulan sebelum berundur.
1636 - Kapal Belanda memusnahkan kapal-kapal Portugis di pelabuhan Melaka.
1641 - Belanda dan orang Melayu Johor sekali lagi menyerang. Selepas pertempuran yang sengit, Portugis diarahkan untuk menyerah kalah. Belanda kemudian memerintah Melaka selama 154 tahun.
1645 - Tokong Cheng Hoon Teng telah dibina oleh Ketua orang Cina, Lee Wei King. Ia adalah tokong tertua yang masih wujud lagi di Malaysia.
1645 / 70 - Perang dalaman berlaku antara Belanda dengan Naning
1650 - Stadthuys atau Rumah NegeriĆ¢, tempat tinggal bagi Gabenor Belanda yang juga menjadi pusat pentadbiran telah dibina.
Kurun Ke-18
1710 - Gereja St. Peter, sebuah Gereja Kristian di Malaysia dibina oleh Belanda. Ia mempunyai reka bentuk gabungan Timur dan Barat.
1753 - Gereja Christ siap dibina.
1756 - Orang Bugis yang diketuai Oleh Daing Kamboja, menyerang Melaka.
1784 - Raja Haji telah mendarat di Melaka tetapi kemudiannya dibunuh.
1795 - British mengambil alih Melaka daripada Belanda.
Kurun Ke-19
1806 - British membuat rombakan terhadap segala tinggalan Portugis di Melaka. Meraka telah merancang untuk memindahkan pusat perdagangan dan populasi ke Pulau Pinang untuk melemahkan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan.
1808 - Ketibaan Stamford Raffles menyelamatkan Melaka daripada kejatuhan yang teruk.
1818 - Dengan berakhirnya Perang Napoleon, Melaka kembali kepada pemerintahan Belanda di bawah perjanjian Venice.
1819 - Sultan Hussain Mohammad Shah dari Johor menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris. Kemudian makam sultan diletakkan di kawasan Masjid Tengkera.
1824 - Perjanjian Anglo-Belanda atau Perjanjian London meletakkan Melaka di bawah pemerintahan British.
1826 - Perjanjian Selat ditandatangani, yang mana Pulau Pinang, Singapura dan juga Melaka di jadikan Negeri-negeri Selat yang berada dalam sistem pentadbiran yang sama.
1867 - Pentadbiran Negeri-negeri Selat dipindahkan daripada Gabenor - ketua jabatan di India kepada Pejabat Kolonial di London dan Melaka menjadi tanah jajahan British.
1895 - Penanaman getah secara ladang dilakukan oleh Tan Chay Yan di Bukit Lintang, Melaka.
Kurun Ke-20
1904 - Permaisuri Victoria datang untuk memperingati Jubli Intan Seri Paduka Baginda
1942 - Jepun menjajah Melaka.
1945 - Melaka telah dikembalikan kepada pemerintahan British selepas Jepun menyerah kalah kepada British di Singapura.
1948 - Komunis menyerang dan menguasai Malaya selama 14 hari. Pihak British mengisytiharkan darurat dan situasi ini berakhir pada tahun 1960.
1956 - Perisytiharan Hari Kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaya yang pertama di Padang Banda Hilir (Padang Pahlawan), Melaka pada 20 Februari. Dalam tahun yang sama, Melaka menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu sebagai negara merdeka.
1957 - Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos. Komisioner Residen British, H.G. Hammet menyerahkan dokumen kemerdekaan kepada gabenor tempatan yang pertama.
1963 - Pembentukan Malaysia pada 16 September. Melaka menjadi sebahagian daripada Malaysia. Singapura, Sabah dan Sarawak juga menyertainya.
1989 - Melaka telah diisytiharkan sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April.
Sumber:
Buku rahsia penaklukan Melaka 1511 Oleh Tun Suzana Tun Othman
Hasanudin Yusof

Copy and paste:
5/1/2021 : 21 Jamadilawal 1442H: 10.43 am

No comments:

Post a Comment