ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 13 January 2021

Perjuangan Getir Ops Gubir 2.

SUMBER DARI FACEBOOK

Tidak ramai generasi hari ini tahu kisah pahit getir Pasukan Keselamatan kita yang berkekuatan cuma 18 orang menghadapi musuh (PKM) seramai lebih 300 orang.
Kisah ini berlaku pada tahun 1976 dalam satu operasi yang dinamakan OPS GUBIR 2 iaitu operasi mencari dan memusnah jerangkap samar kerana sebelum ini pasukan keselamatan selalu terkena jerangkap samar dan telah ramai yang terkorban. Oleh itu Dato Mahmud, Panglima 2 Divisyen pada masa itu mahukan supaya tempat persembunyian pengganas komunis pula diserang ekoran dari informasi yang diperolehi daripada anggota musuh yang menyerah diri berkenaan kewujudan terowong bawah tanah. Gerakan ini tidak melibatkan askar Infantri biasa tetapi Pasukan Khas (Komando) yang telah diaturgerakkan.
Dari kem Gubir ke kawasan operasi mereka menggunakan helikopter NURI, mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk tiba ke kawasan sempadan dan semua anggota terlibat didaratkan dengan kaedah rapelling dan winching kerana kawasan itu tiada tempat pendaratan heli (Landing pad). Komando yang terlibat seramai lebih kurang 60 orang manakala Tim Jurutera turut diaturgerakkan sebagai pembantu untuk membersih jerangkap samar dan membuat landing pad untuk pendaratan heli.
Kisah ini ditulis berdasarkan catatan mereka yg pernah terlibat dalam operasi tersebut. Harus diingat..walaupun ia hanya imaginasi penulis, semua fakta yg ada telah cuba dipelihara sebaik dan setepat mungkin. Sebarang kekhilafan, silalah betulkan…
20 Apr 1976 – Tim Jurutera bersama kami, anggota komando di ketuai Lt M Mior Safian telah di masukkan ke Kem PGK yg dikenalpasti itu dgn kaedah winching . Hanya pasukan kami saja yang masuk menggunakan 5 buah NURI untuk menyerang namun cubaan pertama kemasukan gagal kerana kami terlebih dahulu diserang oleh pengganas komunis. Bertalu-talu mereka menembak ke arah pesawat, membahayakan kami yg berada di dalamnya serta juruterbang yg kelihatan bersungguh-sungguh cuba memastikan tembakan itu tidak merosakkan pesawat atau mengenai kami yg berada di dalamnya.
Pesawat berpatah balik dan kami terpaksa melakukan cubaan kedua. Percubaan kedua berjaya kerana NURI itu diiringi oleh Allouette sebagai gunships. Mereka memberikan tembakan perlindungan semasa kami cuba turun ke tanah. Namun ia taklah semudah yg disangka. Walaupun diberikan tembakan perlindungan, musuh tetap melepaskan tembakan dari kedudukan terlindung di bawah, menyebabkan kami terperangkap di tengah-tengah hujan peluru. Tanpa pilihan, kami turun bertempiaran mencari perlindungan untuk bertindak balas. Anehnya, semasa kami
hebat
memberi tentangan, tiba-tiba saja musuh didapati ‘hilang’. Tiba-tiba semua tembakan surut..dan suasana kembali diam. Sesama kami, kami berpandangan..walaupun masing-masing masih dalam kedudukan meniarap dan memegang senjata kemas.
Agak lama kami menunggu..bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan musuh sudah benar-benar meninggalkan kawasan itu. Di udara, masih kedengaran bunyi rotor NURI sayup-sayup, agaknya sedang berpusing dan bersedia untuk menurunkan saki-baki apasukan kami. Setelah keadaan benar-benar selamat, barulah isyarat diberikan dan Tim Jurutera pula didaratkan untuk membuat pembersihan dan lain-lain tugas yang berkaitan. Lt. M. Mior membuat anggaran bahawa kawasan itu mempunyai lebih kurang 3,600 jerangkap samar yang tertanam.
Mendengarnya saja kami dah naik gerun. Bayangkan dgn jerangkap samar sebanyak itu, setiap langkah yg kami atur adalah bagaikan menempah maut. Silap langkah, pasti akan ada anggota badan yg bercerai..atau nyawa yg melayang. Peluh jantan menitik di wajah masing-masing, dan kegusaran terbayang. Adakah ini kali terakhir?Adakah langkah seterusnya yg kami ambil akan jadi langkah terakhir kami di muka bumi ini? Namun mengenangkan inilah tugas kami dan risikonya, masing-masing menguatkan semangat. Beg digalas, senjata dipegang dalam keadaan sedia, dan dgn berhati-hati kami melangkah..satu demi satu.
Setiap nafas yg kami hembuskan, diiringi syahadah, manalah tau..kot-kot tak sempat. Risaukan jerangkap samar satu hal..risaukan musuh yg mungkin tiba-tiba munculpun satu hal. Maklumlah..kawasannya berhutan tebal. Manakan mungkin mata kami dapat melihat semua benda pd masa yg sama.
Oleh kerana jerangkap samar terlalu banyak, Tim Jurutera terpaksa membuat lorong selamat terlebih dahulu untuk membolehkan semua anggota pasukan berjalan dan tidur serta berehat dengan selamat. Memang respeklah pd. mereka. Operasi sebegini sememangnya membuktikan keperluan semua unit yg ada dalam Tentera Darat..setiap satu ada kepakaran masing-masing.
Bab jerangkap samar ni..serah saja pd geng jurutera..kemahiran mereka memang tak dapat dipertikaikan. Maka mudah sikitlah kerja kami..kerana semasa mereka memeriksa jerangkap di depan kami..kami pula memberikan perhatian kepada musuh yg mungkin muncul tiba-tiba. Utk operasi yg dijangka berlangsung beberapa hari itu, makanan dihantar dari Kem Gubir melalui udara, oleh si burung besi. Ia dilempar dalam kotak besar..dan apa yg ada, kami makan ala kadar saja.
Cuma minuman sahaja yang kami bawa masing-masing. Bekalan air bersih entah bila akan diperolehi pula..maka pandai-pandailah berjimat. Walaupun hutan yg lembab itu menuntut seluruh tenaga kami, dan rasa haus cepat saja menyambar tekak kami..dek kerana telah terbiasa dgn disiplin latihan, kami tak ada masalah utk membuatkan bekalan minuman kami tahan lebih lama daripada yg sepatutnya, walaupun hanya membawa 2 botol seorang.
23 Apr 1976 – Kami menerima satu Tim Jurutera Tambahan( di ketuai Lt. M. Basri Hj. Omar) dari Kem Sangro, Taiping untuk membantu tugas membersihkan jerangkap samar di kawasan itu. Selepas Arahan Operasi oleh Lt. Kol. Mei ( Pemerintah Jurutera 2 Divisyen) , tim di terbangkan ke Kem PGK dengan Helikopter Nuri ( di pandu oleh Lt. Shariff TUDM- Skuad Intake 20 TJP). Tugas Ketua Detasmen Jurutera diambil alih oleh Lt. M. Basri dan setelah selesai taklimat oleh Lt. M. Mior Safian, kerja-kerja pembersihan JS diteruskan. Bagi meluaskan jangkau operasi, kami dibahagikan kepada 2 tim.
Hari pertama membuat proses pembersihan semuanya berjalan lancar dan hari kedua, selaku ketua tim, Lt. Muda. Basri ingin melihat sendiri bagaimana anak-anak buahnya sedang membuat pembersihan jerangkap samar. Beliau mengetuai 1 tim manakala satu lagi Tim Jurutera yang diketuai oleh Lt. Meor yang berada jauh di bahagian hadapan.
Pada masa itu lah Tpr. Hussein Mahbib dan Sjn. Jantan telah terpijak jerangkap samar dan terputus kaki. Tpr. Yaakob Hassan pula cedera teruk tangannya ketika cuba mematikan satu JS. Dalam kekalutan, pihak kem dihubungi melalui radio dan semua mangsa di terbangkan (medevac)ke Hospital Besar Alor Star.
Buat seketika apa yg berlaku menyentakkan kami. Mendengar bunyi berdentum..melihat asap berkepul..melihat rakan tercampak dan darah yg membuak-buak keluar; mampu mematahkan semangat sesiapa saja. Apatah lagi kalau kaki yg terputus itu tercampak beberapa meter dari badannya..atau tangan yg meletup itu hanya nampak serpihan tulang. Apa yg mampu kami lakukan? Sekadar membungkus kecederaan itu dengan field dressing…dan menanti bantuan tiba. Tidak ada perkhidmatan ambulans..tidak ada doktor yg akan terus memberi perhatian. Yg ada hanya sesama kami..dan meriba rakan-rakan kami..sambil memujuk mereka mengucapkan syahadah. “Aduh..sakitnya buddy..tolong aku buddy..” Hati mana yg tidak meruntun terdengar ayat sebegitu dari rakan yg baru sebentar tadi berada di sebelah kita?
“Sabar pok..sabar..ingat Tuhan..kejap lagi bantuan sampai..”, hanya itu ayat yg mampu diucapkan,walaupun dalam hati..rasa gelisah tak mampu diceritakan. Melihat airmata disudut mata mereka yg mengerang..menuntut seluruh kekuatan drpd seorang lelaki untuk menahan kesabarannya. Dan saat melihat mereka diangkut pergi..masing-masing hanya mampu menitipkan doa..semoga tak ada ibu akan kehilangan anaknya..semoga tak ada anak kehilangan ayahnya..
Melihat apa yg berlaku..apa tindakan kami? Iitulah yg membezakan kami dr org biasa. Mereka akan meruntun kesedihan..kami pula akan terus bangun. Keadaan sebegitu tidak memberikan kami kemewahan utk bersedih..sebaliknya ia memberikan kami api semangat utk meneruskan perjuangan. Yg membezakan kami dgn musuh? Mereka akan meninggalkan rakan mereka kalau dalam keadaan begitu. Kami?Kami akan buru mereka yg mencederakan rakan kami walau sampai ke lubang cacing.
24 Apr 1976 – Pada petang itu, persoalan kami tentang bagaimana kumpulan musuh tiba-tiba ghaib pada pertempuran di hari pertama terjawab. Kami telah berjaya memperolehi satu peta yang menunjukkan satu sistem terowong di bawah kem pengganas tersebut. Kami difahamkan bahawa terowong tersebut bersambung terus ke negara Thailand.
Disebabkan penemuan sistem terowong yang agak sistematik binaannya itu juga merupakan penemuan pertama dalam sejarah TDM, maka menjadi satu tugas Tim Jurutera untuk membuat penyiasatan dan kajian lanjut. Maka, mereka meneruskan tugas mereka sementara kami memberikan perlindungan kawasan, dan dalam beberapa keadaan, anggota kami yg mempunyai kepakaran juga turut membantu usaha menjejak terowong itu yg kami syaki turut dipasang jerangkap samar bagi mengelakkan kemungkinan ia di”diceroboh” oleh pasukan keselamatan. Tim Jurutera menjumpai pintu masuk ke terowong itu dan memulakan tugasan membersih terowong satelah mendapat kebenaran Pegawai Pemerintah 3 Skn, Mej. Akhbar Khan. ( Pertama kali dalam sejarah ATM…pembersihan terowong ala Vietcong di laksanakan). Alhamdulillah, kerja pembersihan di teruskan hingga tamat sebelah petang tanpa insiden.
25 Apr 1976 – Tim Pembersih JS di ketuai Lt. M. Mior Safian (kumpulan 1) memulakan pembersihan dalam terowong kedua di awal pagi . Untuk tujuan pemantauan kerja-kerja pembersihan yang di laksanakan oleh Tim Lt. M. Mior , Lt. M. Basri bersama Lkpl. Abdullah,Spr. Misnan dan Tpr. Khairi(anggota Kdo sebagai pengiring) turun ke terowong mengikut hingga ke anak tangga ke 31….
Sebelum itu, dalam kumpulan 1, Ketua Terup membuat penilaian supaya kami bermula dari pintu/laluan tersebut. Baru dua/tiga langkah atau 2/3 anak tangga saja, di situ Kumpulan BCT dengan Mine Detector telah menemui berapa JS yang dirangkaikan dengan JS induk bersaiz tin susu tepung Lactogen 2kg . Bayangkan kalau yang ini meletup. Mungkin semua di dalam kumpulan terkambus terus. Alhamdulillah tak ada apa-apa yg terjadi setakat ini. Tapi, entah bagaimana pula keadaan seterusnya. Setelah melalui lorong utama, kami menjumpai 2 ruang seolah bilik. Kedudukan ruang tersebut berselang seli satu di kanan dan satu kekiri. Ada beberapa pintu/laluan lain selain drpd pintu terowong yang digunakan itu. Di dalam bilik/ruang 1, terdapat bahan makanan (dipercayai ianya adalah bilik menyimpan rangsum). Di dalam ruang/bilik kedua pula terdapat perca-perca kain yang berterabur. Mungkinan bilik itu digunakan sebagai bilik jahitan pakaian .
Lebih kurang 5 ke 10 minit penggeledahan dilakukan penuh teliti dengan bantuan 'Mine Detector dan segalanya nampaknya berjalan lancar. Kami semua berhenti tanpa membuat sebarang langkah. Kebanyakan punca letupan JS terjadi disebabkan oleh ‘pressure switch’ . JS kebanyakannya berbentuk silinder (besi paip) dan terdapat petak-petak diseluruh cylinder tersebut. Suisnya disalut dengan plastik serta ditarkan bagi mengelakkan ia cepat kehabisan kuasa dan mengelakkannya drpd dikesan oleh metal detector/MD.
Kadangkala juga suis berada di bahagian belakang (akan dipijak oleh yang berada di belakang) dan mangsa adalah orang lain atau orang di hadapan. JS biasanya diletakkan dalam pelbagai kedudukan supaya tidak dapat dikesan dan memberi kecederaan yang semaksima mungkin kepada si mangsa. Selepas diperiksa didapati casing .22 (peluru katrij kosong) diteraburkan di lorong tersebut. Katrij ini diperbuat drpd sejenis logam, yang menyebabkan MD tidak mampu berfungsi secara efektif . Setelah diperiksa dan disahkan katrij tersebut yang telah mengakibatkan MD itu berbunyi , kami terus ke hadapan. Selang beberapa langkah sahaja bergerak, satu letupan bergema ...Booooom!!!!!!, diikuti asap yg amat tebal!
Senjata di tangan Lt M Basri terlepas dan beliau terduduk jatuh kerana tercedera di bahagian belakang dan punggung serta tangan kiri. Keadaan menjadi agak panik,dengan masing-masing bertanya siapa yang kena. Kedengaran rintihan seseorang (bayangkanlah sekiranya letupan tu mengakibatkan tanah runtuh, pasti ramai yang tertanam hidup-hidup). Setelah disuluh dengan lampu picit, kelihatan seorang anggota telah terbaring. Kedengaran Lkpl. Abdullah menjerit “Tuan! saya kena Tuan”…
Lt, M. Basri mengarahkan beliau supaya jangan bergerak dan terus memanggil Lt. M. Mior yang ketika itu berada di hadapan untuk membuat Tindakan Serta Merta bagi membersih kawasan dan membantu Lkpl. Abdullah.
Memang kelam kabut pd masa tu. Mata kami dikaburi asap berkepul tebal yg meresap ke segenap ruang sempit itu, menerobos hidung dan memedihkan mata kami. Telinga masih berdengung akibat letupan tadi. Namun dek kerana ada rakan yg telah terkena, kami tak ada pilihan. Kami harus bawa dia naik dan melihat sejauh mana kecederaannya. Kami hanya mampu meraba-raba jalan naik ke tangga tadi. Nasib baiklah, laluan tadi disahkan memang tak ada jerangkap samar. Kalau tidak..mungkin ramai lagi yg terkena.
Kami angkat mereka naik ke permukaan. Muka dan perut arwah penuh dengan darah. Kami hanya mampu mengelilingi beliau..dan hanya mampu melihat. Aku masih ingat seseorang meriba beliau. Kelihatan darah membuak-buak keluar, dan beliau merintih kesakitan. Sayunya hati tak dapat diceritakan ketika itu. Beberapa orang rakan-rakanku hanya mampu membuka topi hutan masing-masing dan terduduk. Ada yg terketar-ketar menyalakan rokok yg ditarik keluar daripada kotak yg dah berkerenyuk. Malangnya Lkpl. Abdullah tidak dapat diselamatkan dan menghembuskan nafas terakhir di ribaan rakan akibat tercedera di bahagian dada dan perutnya. Lt. M. Basri pula disuntik morfin untuk menahan sakit. Keduanya diterbangkan melalui Kem Gubir – Lt. M. Basri ke Hospital Alor Star dan Almarhum Lkpl. Abdullah dibawa ke Kem Sangro,Taiping untuk pengurusan jenazah, dan kemudian di bawa pulang ke Melaka untuk pengkebumian.
Sekonyong-konyong kami melihat Nuri itu mengecil di udara, membawa jenazah rakan kami serta seorang pegawai yg kami tahu sangat dedikasi dalam tugasannya. Walaupun bukan sama kor, mereka tetap rakan seangkatan kami, yg berkongsi makanan dgn kami sepanjang beberapa hari ni. Kami tidak dilatih utk menunjukkan perasaan kami. Tapi aku tahu..pasti dalam hati masing-masing tertanya..adakah giliran aku pulak lepas ni?
Almarhum adalah seorang anggota yang baru di naikkan pangkat Lkpl. beberapa bulan terdahulu, seorang PTT yang amat rajin dan sentiasa mematuhi arahan tanpa banyak alasan.Beliau dan Lt. M. Basri pernah sama-sama bertugas di Beluran,Sabah semasa projek Pembinaan Asrama Yayasan Sabah dalam tahun 1974 .
Yg aku dengar, Tpr. Yaacob yg telah terkena jerangkap samar dan putus kakinya pd 22 April telah di wadkan di hospital Alor Setar. Pak Omar, bapa kepada Lt.M. Basri datang melawat Yaacob bersama bapanya Pak Hasan.Beliau tidak tahu yang anaknya juga telah terkena jerangkap samar kerana berita kemalangan Lt. M. Basri dimaklumkan kpd keluarganya di rumah. Sungguh terkejut beliau bila dimaklumkan bahawa anaknya Basri juga diwadkan di Hospital tersebut.
26 Apr 1976 – Kami masih di kawasan operasi. Tapi, setelah keluar, kami dimaklumkan bahawa sebuah pesawat Nuri telah di tembak jatuh oleh musuh dan kesemua 11 anak kapal dan penumpangnya telah terkorban. Nuri tersebut membawa bekalan peluru dan bahan letupan (bagi tujuan meletupkan terowong) untuk kami. Bekalan peluru dan bahan letupan walaubagaimanapun dapat dihantar kemudiannya walaupun dalam jumlah yang tidak sama seperti dalam helikopter yang ditembak jatuh itu. Yang terkorban adalah :
1. Lt (U) Chung Ming Teck PTU, 10 Skn, Kapten pesawat
2. Lt (U) Wan Munsiff bin Wan Salim KPK, 10 Skn, Co-pilot
3. Sjn Leong Yee Heng PTU, 10 Skn, AQM
4. Kapt (U) Choo Yeok Boo PGB, 7 Skn (Kapten)
5. Kapt (U) Mustapha Kamal bin Mohamad Shafie KPK, 7 Skn (Co-pilot)
6. Mej Haris bin Rejab, MMLO Haadyai
7. Kapt Sulaiman bin Abdullah, 6 Bde
8. Lt Ibrahim bin Zakaria, 3 RAMD
9. Sjn Kamis bin Dolmat, 3 RAMD
10. L/Kpl Kamarulzaman bin Zakaria, X Sqn RGK
11. L/Kpl Suandi bin Saim, X Sqn RGK
Bermula 27 April, elemen Jurutera dan sebahagian anggota komando mula dikeluarkan daripada kem pengganas setelah operasi memusnahkan terowong dan bunker berjaya dilakukan. Namun ia juga merupakan permulaan kisah pengalaman yg tak dapat digambarkan serta menggetarkan semangat. 18 orang drpd kami terpaksa ditinggalkan di belakang, berhadapan dgn musuh yg begitu ramai. Mengenangannya pun..tak dapat aku gambarkan kesyukuran kerana terselamat.

Copy and paste:
13 Januari 2021 : 29 Jamadilawal 1442H: 1.32 pm

No comments:

Post a Comment