ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 9 January 2021

KISAH J.W.W. BIRCH DI SELANGOR DAN PEMBUNUHANNYA DI PERAK

Sumber: FB Histourism - History & Tourism

Tahukah anda, James Wheeler Woodfort Birch atau dikenali sebagai J.W.W. Birch adalah seorang anggota tentera laut British dan telah menjalankan beberapa tugas pentadbiran sebelum ditugaskan sebagai wakil kerajaan British di negara kita? Antara jawatan yang pernah disandang oleh J.W.W. Birch ialah:
- Pesuruhjaya Jabatan Jalanraya, Ceylon (1846)
- Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam, Jaffna (1852)
- Majistret Polis di Jaffna (1853)
- Pemangku Penolong Wakil Kerajaan Trincomalee (1854)
- Hakim Daerah Batticaloa (1856)
- Pemangku Penolong Wakil Kerajaan, Batticaloa (1862)
- Pemangku Penolong Wakil Kerajaan, Ratnapura (1864)
- Pemangku Penolong Wakil Kerajaan, Hambantota (1866)
- Pemangku Wakil Kerajaan dan Pemungut Cukai, Wilayah Timur India (1868)
- Setiausaha Kolonial, Negeri-Negeri Selat (1870)
- Residen British Pertama di Perak (1874)
Semasa menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri Selat (1871), satu rundingan telah diadakan di antara Sultan Abdul Samad, J.W.W. Birch dan Tengku Kudin di Istana Jugra, Selangor. Rundingan ini diadakan bagi mengesahkan semula perlantikan Tengku Kudin sebagai wakil Yamtuan bagi mentadbirkan segala hal ehwal seluruh negeri Selangor yang telah dibuat oleh Sultan Abdul Samad pada tahun 1868.
Perlantikan 1868 telah menyebabkan berlakunya peperangan di Selangor dan membawa kepada campur tangan Inggeris. Dalam rundingan ini juga Sultan Abdul Samad telah menyerahkan surat kuasa perlantikan tersebut kepada Tengku Kudin dan disaksikan oleh J.W.W. Birch dan C.J. Irving. Dengan perlantikan ini, J.W.W. Birch telah memberi pengakuan bahawa pihak Inggeris akan memberikan segala bantuan yang diperlukan kepada Tengku Kudin untuk mengamankan negeri Selangor.
Hasil dari rundingan dan perlantikan ini telah memberikan kuasa kepada Tengku Kudin memerintah daerah-daerah pantai Selangor iaitu dari Kuala Selangor hingga ke Jugra dan Kuala Lumpur serta sekitarnya. Namun, pada tahun 1878 Tengku Kudin telah berhenti dari jawatan ini.
Pada tahun 1874 pula, J.W.W Birch telah dilantik sebagai Residen British pertama di Perak. Namun, atas sikap dan tindakannya yang dianggap melampau batas, pada 2 November 1875, J.W.W. Birch telah dibunuh di Pasir Salak, Kampung Gajah. Kerani J.W.W. Birch, Mat Arshad juga turut dibunuh dalam peristiwa tersebut.
Satu perbicaraan telah diadakan di Bandar Baru, Perak ke atas Si Putum, Che Gondah dan Ngah Ahmad yang dituduh membunuh Residen British di Perak, J.W.W. Birch. Ketiga-tiga orang yang dituduh itu telah dibicarakan di hadapan Raja Deris yang dilantik oleh Sultan Abdullah untuk menghakimkan perbicaraan itu.
Terdapat empat orang saksi yang mengaku telah melihat pembunuhan tersebut iaitu Hamid, yang bekerja sebagai pencuci sampan J.W.W. Birch, Kok Ah Yong, seorang peniaga emas, Mat Tahir, seorang pendayung sampan dan Ho Ah Choy, tukang masak Kok Ah Yong. Keempat-empat saksi tersebut bersumpah bahawa mereka melihat Si Putum menetak J.W.W. Birch, manakala Che Gondah dan rakan-rakannya menyerang J.W.W. Birch.
Akhirnya setelah mendengar keterangan saksi-saksi tersebut, Raja Deris telah mengumumkan ketiga-tiga yang dituduh bersalah dan telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Si Putum dan hukuman penjara seumur hidup ke atas Che Gondah dan Ngah Ahmad . Si Putum telah dihukum gantung pada 20 Mei 1876 di Bandar Baru.
Sumber: Arkib Negara

Copy and paste
9/1/2021: 25 Jamadilawal 1442H: 9.50 am


No comments:

Post a Comment