ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 12 January 2021

KEDAH IBU KOTA PEMERINTAHAN SRIVIJAYA

Oleh: Dino Zain : FORUM JEJAK SEJARAH KEDAH

Tahu tak kalian, nama Srivijaya lebih dulu disebutkan dalam rekod dinasti China pada tahun 638M, jauh sebelum keberadaan Srivijaya di Palembang dan Sumatera pada tahun 683M di abad ke 7 masehi :
"The History of Ming Dynasty (the Ming Shih) says that San-fo-chi (三佛斉 - Srivijaya) was formerly called Kan-da-li(or Kan-tuo-li,干陀利 - Kedah) and started tributary mission in the Liang times."
「三佛斉、古名干陀利。劉宋孝武帝時、常遣使奉貢。梁書武帝時数至。宋名三佛斉、修貢不絶。」
Sumber rekod China itu tidak mampu dibantah yang mengesahkan bukti Srivijaya diasas mula dari Kan-da-li iaitu Kedah.
Kata 'Srivijaya' juga awalnya dari nama seorang Raja Melayu beragama Budha bernama Qu-tam (Chudam) yang memerintah kerajaan Tanah Merah (Chih-tu) yang menguasai wilayah utara 'semenanjung Melayu asal' mengitari Kedah, Kelantan hingga Segenting Kra.
Penemuan prasasti Budhagupta di Seberang Prai yang merupakan wilayah Kedah, menguatkan bukti bahawa kerajaan Chih-tu benar adanya di utara Malaysia sekitar abad ke 4 hingga 5 Masehi.
Sejarawan J Laidlay pada tahun 1848 menterjemahkan teks prasasti itu yang ditulis dengan huruf Pallava (400-500M) dan bahasa Pali mengandungi ajaran Budha dan menyatakan kejayaan pelayaran oleh seorang nakhoda kapal bernama Budhagupta, seorang penduduk Negeri Tanah Merah (Chih-tu).
Chih-tu adalah satu-satunya kerajaan di Asia Tenggara yang menerima kedatangan utusan dari Maharaja China pada abad ke 6 Masehi bagi memulakan hubungan perdagangan dengan negara tembok besar itu. Dinasti Sui memilih kerajaan Chih-tu sebagai rakan dagang kerana kekuatan dan kekayaan kerajaan itu, termasuk menguasai laluan maritim dan perdagangan di rantau ini.
Catatan China, Chi tu guo ji menyebut perjalanan (jalan kaki) selama 1 bulan menuju ke hulu sungai untuk sampai ke kerajaan Chih-tu. Sementara pelayaran mengambil masa 100 hari :
"... Chi Tu, yang terletak di dalam laut selatan, belayar seratus hari untuk mencapainya, tanah di sini berwarna merah, sehingga bernama 'Kerajaan Tanah Merah (Chi bererti merah, Tu bererti bumi).
Jadi perjalanan 30 hari lebih sesuai memudiki sungai kelantan dari pantai timur Malaysia menuju ke Kedah.
Sementara pelayaran 100 hari lebih sesuai belayar mengelilingi semenanjung Malaysia hingga sampai ke Kedah.
Berdasarkan sumber China, rekod Dinasti Sui menyebut nama peribadi bagi Raja Chudam yang memerintah kerajaan Chih-tu adalah 'Li-fo-shi' (Srivijaya) :
"Nama keluarga raja Chih-tu adalah Qu-tam (Chudam), dan nama peribadinya adalah Li-fo-shi (Srivijaya). Sejak bila sejarah putera ini bermula kami tidak tahu. Kami hanya diberitahu bahawa ayahnya, selepas meninggalkan takhta untuk menjadi seorang biarawan, dihantar kepadanya kedudukan kerajaan, kedudukan yang telah diadakan selama enam belas tahun. Raja ini Li-fu-to-Hsi (Srivijaya) mempunyai tiga isteri, yang semuanya puteri gerbang yang sekitar seratus langkah berasingan. Pada masing-masing gerbang, diselubungi dengan loceng emas kecil, yang dicat Bodhisattva dan abadi yang menjulang tinggi di udara..."

Dinasti Sui; Misi oleh Tchan Sun dan Wang Kiun Tching.
Para sejarawan sepakat bahawa nama China "San-fo-chi", "Li-fu-to-Hsi" atau "Shi-li-fo-shi" adalah transkripsi kepada Srivijaya.
Rekod Dinasti Sui juga menyebut pengasas kerajaan Chih-tu besar kemungkinan adalah Kan-tuo-li (Kedah).
Menurut rekod itu lagi, nama keluarga raja Kan-tuo-li adalah Qu-tam, adalah sama dengan raja Chih-tu :
Sui Dynasty:
"The predecessor of Chi-tu (Tanah Merah) might be Kan-tuo-li (干陀利). According to the Liang-shu, the king’s family name of Kan-tuo-li is Qu-tam (瞿曇), same as of Chi-tu’s king."
Ini menunjukkan bahawa Maharaja Chudam juga dikenal dengan nama sampingan Srivijaya yang memerintah kerajaan Chih-tu yang diasaskan Kedah (Kan-tou-li/Kan-da-li/Cheh cha) sekitar abad ke 4 hingga 5 Masehi.
Boleh jadi kerajaan Srivijaya mendapat namanya dari nama peribadi atau sampingan Maharaja Chu-dam yang sebelumnya memerintah kerajaan Chih-tu kerana kerajaan itu saja yang mampu membentuk konfederasi bersama kerajaan lain di rantau ini dibawah kesatuan kerajaan baru Srivijaya kerana merupakan kerajaan paling berprestij di rantau ini hingga diiktiraf oleh dinasti Sui.
Bagi mengukuhkan penguasaan ke atas laluan maritim di Asia Tenggara untuk menguasai perdagangan dari Barat, Arab dan India, kerajaan Chih-tu mula menjalin kerjasama dengan kerajaan-kerajaan lain di sebelah selatan iaitu Sumatera dan Pulau Jawa melalui sistem 'federation'.
Dengan itu semua kerajaan dan tanah di Asia Tenggara bergabung dibawah satu empayar dengan bernaung di bawah raja-raja Melayu melalui kerajaan baru iaitu Srivijaya, untuk bersama-sama menyertai perdagangan maritim yang dibuka oleh Srivijaya.
Ini kerana Srivijaya bukan kerajaan yang berkonsep imperialisme seperti Barat. Tetapi mempraktikkan konsep 'perdagangan maritim', tanpa di atas penguasaan tentera dan peperangan tetapi lebih kepada hegemoni perdagangan dan prestij.
Mulai abad ke 7 hingga 13 masehi, Srivijaya mempunyai lima belas (15) negeri konfederasi dengan wilayah yang mengitari dari selatan Thailand hingga ke Sumatera dan pulau Jawa :
Dinasti Song (960-1279M);
"Di laut selatan (merujuk Asia Tenggara) sebuah kerajaan bangsa liar dikenal dengan nama Kerajaan San-fo-tsi (Srivijaya). Ia memerintah 15 macam negeri. Letak San-fo-tsi ada di antara Chenla dan Shepo."
Para sejarawan mendapati Chenla adalah kerajaan Khmer yang menduduki Chaiya atau Grahi selatan Thailand pada tahun 745M yang merupakan wilayah Srivijaya. Sementara Shepo dipercayai kerajaan Moloyu di Sumatera.
Sumber rekod China dalam Ling-wai-tai-ta dan Chu-fan-chi juga menyebut Grahi sebagai Kia-lo-hi (Kedah) adalah satu dari lima belas (15) negeri dalam wilayah kerajaan Srivijaya.
Namun Srivijaya telah mendirikan kerajaan lebih dulu dengan pertama kali mengirim utusan ke China pada tahun 670M, iaitu sebelum Sumatera dan Pulau Jawa menjadi bahagian dari 15 negeri konfederasi Srivijaya pada tahun 683M seperti catatan prasasti Kedukaan Bukit di Palembang dan Batu Bersurat Kota Kapur di pulau Jawa pada tahun 686M.
Catatan seorang Rahib dari China, i-tsing dalam tulisan perjalanannya di tahun 671M telah singgah di negeri Srivijaya setelah belayar dari Canton sekitar 20 hari dan negeri Srivijaya saat itu tidak bertempat di Sumatera kerana i-tsing harus belayar semula menuju ke negeri Moloyu (Sumatera).
Bukti juga diperoleh dari sumber rekod China yang mengesahkan bahawa Palembang dan Jambi adalah bahagian dari lima belas (15) negeri konfederasi Srivijaya :
- Catatan King Wai Tai Ta yang mencatat Palembang adalah wilayah jajahan San Fo Tsi (Srivijaya).
- Menurut Zhu-yuan-Zhi (Rekod Negara Babar) yang ditulis oleh Chau-Ju-ka (1225M), Palembang adalah salah satu daripada 15 jajahan San-fo-chi (Srivijaya) dan bukan San-fo-chi sendiri.
Maka tidak heran jika Palembang dan Jambi yang dikatakan pusat pemerintahan Srivijaya oleh ahli sejarah asing dari Perancis, Georges Coedès pada tahun 1920 dan dipersetujui beberapa sejarawan, tidak meninggalkan sebarang tanda dan sisa ibu kota pemerintahan dan pusat pelabuhan Srivijaya, melainkan hanya beberapa buah candi.
Palembang dan Jambi tidak pernah disebut dalam mana-mana catatan para pedagang luar negara sebagai kota pelabuhan kerana sebelum abad ke 7 masehi hubungan perdagangan antara China, India dan Arab dengan Sumatera tidak begitu maju.
Sebaliknya Kedah yang terletak diutara Malaysia masih menyimpan sisa sebuah tamadun manusia dengan ruins kota pemerintahan dan kota perdagangan Srivijaya yang berpusat di Sungai Batu, kini diiktiraf oleh para ahli arkeologi dari lima tamadun besar dunia sebagai kota tamadun manusia tertua di Asia Tenggara!
Kedah yang terkenal dengan kota pelabuhan entrepot di Sungai Batu sering dicatat oleh para pedagang dan pengembara dari Arab, India dan China sejak dari abad ke 3 masehi lagi.
Malah dalam daerah Lembah Bujang di Kedah, masih terdapat banyak ruins candi Budha dan Hindu yang juga digunakan oleh para pedagang dari China dan India sebagai penginapan ketika datang berdagang di pelabuhan Srivijaya sejak dari 4 masehi.
Di abad ke 9 masehi ketika Maharaja Balaputra pulang ke Kedah setelah kemangkatan ayahanda nya Maharaja Samaratunga di pulau Jawa pada tahun 850M, Kedah tetap disebut dalam rekod China sebagai 'San-fo-chi' iaitu Srivijaya.
Sehingga abad ke 11 masehi Kedah masih merupakan ibu kota pemerintahan Srivijaya, yang dibuktikan sumber rekod di India, catatan pada prasasti Kepingan Leiden Besar tahun 1006 Masehi yang mencatat pengiktirafan kerajaan Chola iaitu Raja Rajaraja I kepada pemerintah Srivijaya, Maharaja Chulamanivarman yang disebut sebagai "Pemerintah Srivijaya yang menjalankan pemerintahan di Kedah" dengan gelar "Makara Dhvaja" diberikan kepada Maharaja Srivijaya sebagai penguasa laluan maritim.
Malah, Prastasi Tanjore di India yang mencatat peristiwa penyerangan ke atas Kedah oleh kerajaan Chola dibawah pemerintahan raja Rajendra Chola 1 pada tahun 1025M, juga mengesahkan ibu kota pemerintahan Sriwijaya di Kadaram iaitu Kedah.

Copy and paste:
12 Januari 2021 : 28 Jamadilawal 1442H: 11.57 am

No comments:

Post a Comment