ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 9 December 2020

Rumah Agnes Keith sebahagian warisan Sandakan



Oleh: Poliana Ronnie Sidom

BAGAIKAN berada di era kolonial sebaik melangkah masuk ke rumah kayu berwarna putih yang tersergam indah di atas bukit menghadap teluk dan laut Sulu.

Bermula jam dinding jenama Monthe buatan Jerman, hingga peti sejuk lama Kelvinator dan radio hitam Bush buatan London, semua barangan antik rapi itu menggambarkan kemewahan masa lampau.

Puluhan gambar lama hitam putih menghiasi dinding tingkat bawah rumah membawa menyelami kehidupan sekitar 1930-an dan 1950-an.

Pemandangan kampung air arah selatan, bangunan pejabat kerajaan dan pasar Sandakan selepas perang menunjukkan peniaga Cina dalam pakaian tradisional dengan rambut panjang kemas bertocang dan togi tiga segi, lebih mengusik sanubari.

Bahagian ruangan bilik kerja di tingkat atas rumah yang dipanggil The Book Room, terus membawa kelekaan kepada pengunjung untuk menikmati suasana kolonial menerusi mesin taip keemasan Remington, piring hitam His Master Voice dan mesin jahit 'Vickers'.

Karya tersebar ke seluruh dunia

Selain itu, seramik buatan Eropah dan China, duit syiling dan pelbagai artifak zaman perang menjadi tarikan di rumah yang pernah digelar Newlands itu.

Rumah terletak di Jalan Istana, Sandakan itu suatu ketika dulu pernah didiami penulis, Agnes Newton Keith yang menghasilkan karya Land Below The Wind pada 1939 hingga memasyhurkan Sabah di mata dunia.

Karyanya itu berkisarkan kehidupan masyarakat tempatan pribumi dan keindahan alam semula jadi ketika pemerintahan British sehingga ke hari ini, masih dibaca di seluruh dunia.

Tidak sukar untuk mengetahui sejarah rumah itu kerana setiap sudut mempunyai label yang menceritakan kehidupan penghuni.

Rumah asal musnah kerana perang

Berdasarkan sejarah, Newton pertama kali ke Sabah atau ketika itu dikenali Borneo Utara pada tahun 1934 selepas berkahwin dengan Harry George Keith, iaitu konservator hutan yang bekerja di Sandakan sejak 1925.

Rumah kayu dipanggil Newlands itu didiami Newton bersama suami dan anak lelaki mereka, George selepas dibina semula antara 1946 hingga 1947.

Pembinaan semula dibuat selepas tapak asal musnah dalam Perang Dunia Kedua dan ia rumah kerajaan pertama diperbuat daripada kayu selepas peperangan.

Dua lagi buku hasil karya Newton menyusul selepas itu adalah Three Came Home pada 1946 dan White Man Returns (1951) yang ditulis di rumah terletak di dataran atas bukit memperlihatkan pemandangan teluk dan laut terbentang luas.

Pemulihan oleh Jabatan Muzium

Selepas pasangan Keith dan anak mereka meninggalkan Sabah pada tahun 1952, rumah itu menjadi kediaman beberapa konservator hutan dengan terakhir ialah Tom Bayles pada 1968.

Rumah itu dikatakan pernah kosong selepas 1992 dan bertambah teruk apabila dijadikan sarang penagih dadah dan aktiviti tidak bermoral.

Usaha pemulihan hanya dibuat pada 2001 oleh Jabatan Muzium Sabah dengan kerjasama Jabatan Muzium dan Antikuiti.

Antara komponen penting dalam pemulihan itu adalah penggalian bahan arkeologi sehingga penemuan beberapa bahan menarik seperti batu keping merah dan perkakas menggali prasejarah di bahagian belakang rumah.

Ia kemudian dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 16 April 2004 sebagai anugerah Sabah kepada Newton yang menjadi pemenang Pengarang Amerika, sekali gus menandakan proses pengiktirafan anugerah sampai ke mercu kemuncaknya.

Bagi penulis, paling menggamit kenangan dalam rumah itu adalah poskad bertarikh 1943 dan dua anak patung yang dijahit Newton daripada pakaiannya ketika dalam tahanan tentera Jepun. Nota tersembunyi disumbat dalam patung untuk bukunya Three Came Home, sehingga kini tersimpan kemas dalam peti kaca di rumah itu.

Meninggalkan banyak kenangan

Rumah Agnes Keith antara lokasi paling mendapat tumpuan dalam 10 destinasi Jejak Warisan Sandakan bagi pelancong asing yang berkunjung di daerah timur Sabah.

Selain cerita di sebalik rumah itu, pelancong berpendapat rumah bercirikan zaman kolonial amat menarik bagi mereka yang tidak mengenali Sabah.

Pelancong dari New York, Jesse Ravenstock, berkata mereka hanya mengetahui kewujudan muzium berkenaan selepas datang ke Sandakan.

"Mengenali Agnes Keith menerusi rumah ini membawa kami untuk mengetahui Sabah menerusi sejarah penjajahan yang diceritakan.

"Saya harap mampu memiliki buku dihasilkan penulis itu agar kedatangan saya ke Sandakan sentiasa dalam kenangan," katanya.

Rakannya, Gwen Cruz, berkata dia berasa seakan berada dalam rumah ibu saudaranya di Stockholm sebaik memasuki rumah berkenaan kerana ciri British yang ditampilkan.

Selain Rumah Agnes Keith, antara destinasi Jejak Warisan Sandakan adalah Masjid Jamek yang tertua di Sabah iaitu lebih 120 tahun, tangga seribu, peninggalan Tangga Lama, Tokong Goddess of Mercy dan gereja St Micheal and All Angels.

Tiga lagi adalah tokong Sam Sing Kung, Pancutan Malaysia dan Pusat Maklumat Pelancong.

FAKTA:

  • Agnes Keith House terletak di Jalan Istana, lima minit dari bandar Sandakan 10 kilometer dari Lapangan Terbang Sandakan
  • Tambang bas dari bandar Sandakan 50 sen, manakala RM5 bagi teksi untuk perjalanan sehala
  • Dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang
  • Yuran masuk bagi warga Malaysia RM2, manakala RM15 bagi pelancong asing
  • Kemasukan percuma bagi pelajar berpakaian seragam, orang kurang upaya, warga tua dan pemandu teksi.

Copy and paste:
9/12/2020 : 23 Rabiulakhir 1442H: 12.45 pm

No comments:

Post a Comment