ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 28 December 2020

Review Filem: 99 Cahaya di Langit Eropa

Filem ini sungguh dekat dengan hati saya. Saya tertarik untuk menonton filem ini kerana terdapatnya perkataan ‘Eropah.’ Saya mula tertarik dengan sejarah eropah selepas saya mengenal dia, Ibnu Rusyd. Mungkin saya akan titipkan coretan lain yang khas mengenai Ibnu Rusyd, saya belum menghabiskan beberapa buah buku lagi mengenainya.

Filem ini hasil daripada novel dengan tajuk yang sama, 99 Cahaya di Langit Eropa. Saya tidak pernah membaca buku ini. insyaAllah saya akan cuba mencari dan membaca kembali isi penulisannya melalui bukunya selepas saya menikmati isi melalui filemnya. Seperti mana-mana filem lainnya yang diadaptasi daripada novel, sudah pasti tidak semua hal diambil bulat-bulat daripada novel yang diadaptasi. Sudah pasti ada sedikit gubahan dan olahan agar senimotografi filem itu lebih segar dan mantap. Filem ini juga banyak menyentuh tentang, Kara Mustafa Pashya.

*          *          *

Suka saya memetik kembali beberapa dialog yang menarik untuk dihayati. Ini hal Rangga menerangkan tentang haramnya makan babi kepada kawannya non-muslim.

Stefan: Kamu diet? (sambil melihat hanya ada buah di tangan Rangga)

Rangga: Tidak, tadi di kantin tiada ayam.

Stefan: Kamu tidak makan Babi? Enak sungguh. Tahukah kamu di sini dagingnya murah sekali.

Rangga: Itu anjing kamu?

Stefan: Ya.

Rangga: Di negaraku ada beberapa orang yang memakan anjing seperti ini.

Stefan: wah. Itu gila! Aku tidak mungkin makan daging aku sendiri.

Rangga: Kenapa?

Stefan: Aku sayangkannya sangat-sangat.

Rangga: Sama. Saya sayangkan Tuhan saya sungguh-sungguh. Tidak mungkin aku melanggar aturan dia.

*          *          *

Hanum: Kenapa masuk gereja?

Fatma: Masuk gereja jika hanya untuk memanaskan badan tiada salahnya kan. (mereka bertiga berdiri di hadapan lilin untuk memanaskan badan.)

*          *          *

Bukit Kahlen. Bukit ini menjadi saksi sejarah kekalahan orang-orang Turki yang ingin berkembang di Eropah Barat.

Hanum: Cappucino Itali, ini yang asli. (sambil menghirupnya dari gelas putih)

Fatma: Kopi yang kamu minum itu bukan asli dari itali, tapi dari sejarah perang diantara Turki dan Austria. Jadi setelah perang di bukit Kahlen ini, banyak biji-biji kopi yang tertinggal oleh pasukan Turki. Biji-biji kopi ini diambil oleh orang Eropah dan diolah menjadi kopi yang kamu minum ini.

*          *          *

(Perbualan dua pemuda yang didengari Hanum) Apa kau pernah dengan tentang cerita roti ini? Saat orang Turki menyerang Eropah. Kita mengalahkan mereka. Dan roti ini sebagai simbol kejadian itu. Mengapa begitu? Kau tahu bentuk bendera Turki bukan? Bentuknya seperti roti ini. Dan setiap kali aku makannya, aku seperti mengalahkan mereka (Muslim).

Hanum: Jangan makan roti itu. (keras dia melarang Aisya memakannya). Orang itu cakap, sepertinya kita makan diri kita sendiri jika kita makan roti ini. (dia bangun dari tempat duduknya) Sepatutnya aku beri pengajaran kepada mereka!

Fatma: Hanum! Hanum! Aku ada cara lain. (dia mengambil kertas dan menulis sesuatu pada kertasnya dan membayar makan-minum dua orang Eropah itu.)

Hanum: Kau Pengecut Fatma! Tadi kenapa kita tidak bela diri? Pasal agama, kamu dihina sama mereka. Malah kamu bayarkan kesemuanya. Kita harun melawan Fatma. Aku tidak mahu dipijak-pijak seperti ini. Kita harus tunjuk yang kita ini kuat, bukan hanya mengalah begitu sahaja.

Fatma: Dan mengatakan kita ini teroris. Begitu?

. . .

2 Lelaki Eropah: Mereka ke kaunter untuk membayar dan pelayan memaklumkan makanan mereka sudah dibayar. Dan memberikan sekeping kertas yang tertulis:

“Hai, nama saya Fatma. Saya seorang Muslim. Saya menikmati makanan anda. Disertakan bersama email.”

. . .

Fatma: Aku dulu seperti kamu. Dingin. Dan memerlukan penyesuaian diri sahaja. Lama-lama kamu akan berasa hangat dan lebih berfikir jernih menghadapi situasi begini.

Hanum: Aku bukan Malaikat Fatma. Aku Cuma manusia biasa.

Fatma: Tapi aku wajib. Dengan jilbabku ini. Aku wajib menjadi agen Islam yang baik. Jadi berkah. Ikhlas. Dan membawa kedamaian kepada sesiapa pun. Termasuk mereka yang tidak beragama Islam.

Hanum: Dan membiarkan kita selalu kalah. Begitu?

Fatma: Kadang-kadang itu yang membuatkan kita menang.

. . .

Beberapa hari kemudian, Fatma mendapat email dari salah seorang dari 2 lelaki eropah itu. Dia perkenalkan diri sebagai Paul. Dia memohon maaf atas keterlanjuran kata pada tempoh hari dan mengucapkan terima kasih kerana sudi belanja mereka.

Daripada kisah ini, Hanum mengungkapkan sesuatu yang menjadi monolognya selepas membaca email yang telah di forward kan kepadanya itu. Katanya:

“Tak mudah untuk percaya. Ketika dengan kebaikanlah cara terbaik untuk membalas perlakuan buruk. Tapi hari ini aku belajar bahawa senyuman dapat mengalahkan amarah dan kebencian apapun.”

*          *          *

Suka saya memetik kata Hanum dalam filem ini:

Bahawa Islam itu tak hanya Iman tetapi amalannya

*          *          *

Hanum menyebut kepada sahabatnya Fatma, dan dua lagi sahabat Fatma yang menjadi sahabat baru Hanum. Sikap dan toleransi sahabatnya itu menjadikan Hanum membuka mata. dari seorang yang dingin menjadi seorang yang berfikir sebelum bertindak. Katanya:

“Apa yang kalian lakukan itu benar. Kalian telah menebus kesalahan Kara Mustafa Pasya.”

Sebenarnnya apa kesalahan Kara Mustafa Pasya? Pada tahun 1683, pasukan Turki dibawah kepimpinan Mustafa berhasil mengepung pasukan Austria. Mungkin ini yang disebut Hanum sebagai kesalahan Mustafa. Non-Muslim pada hari ini telah didoktrin bahawa Islam itu berdiri di atas kekerasan. Hidupnya hanya untuk perang dan menggunakan pedang. Non-muslim di barat terutamanya, begitu memandang negatif dengan perkataan ‘Jihad’ sehingga sebahagian besar masih menganggap muslim ini teroris.

Filem ini cuba membawa kejernihan terhadap kefahaman Islam itu sebenarnya tidak teroris. Hanum diajar Fatma untuk lebih bersikap realistik dan tidak dingin. Fatma tidak mahu Islam itu dipandang sebagai teroris lagi.

Bagi saya, tidak patut kesalahan itu dilemparkan kepada Kara Mustafa Pasya sepenuhnya, kerana suasana diwaktunya berkehendakkan untuk menggunakan kaedah perang. Sekarang keeadaannya sudah berbeza. Keadaannya lebih kearah diplomasi dan demokrasi. Tiada lagi istilah peperangan. Walhal jika tetap mahu menggunakan perkataan peperangan, saya fikir ianya bukan lagi peperangan antara pedang dengan pedang tetapi kepada perang antara idea dengan idea.

Lihat saja di barat. Perdebatan idea, isu semasa, pandangan dan tulisan buku menjadi tarikan ramai orang untuk hadir mendengar. Barat sudah lama mengintelektualkan rakyatnya. Di Malaysia, ia sudah kearah itu. Alhamdulillah. Namun, masih lagi di tahap merangkak.

Kembali mengenai jihad tadi, secara peribadi, saya cukup tidak suka dengan pakaian yang dicop atau ditulis “Jihad is only the Solution.” Mana mungkin non-muslim bakal tertarik untuk bertanya apa itu Islam jika kita cuba menonjolkan agama Islam yang damai itu dalam keadaan yang agak kekerasan. Kita perlu cara lain. Cara yang lebih harmoni. Bukankah Negara kita Malaysia ada pelbagai bangsa dan agama? Umat Islam harus faham dan jelas kepelbagaian yang wujud di Negara kita.

Lagi kata Hanum:

“Sekarang aku memahami tentang makna Islam yang sebenarnnya. Kerana dalam Islam itu bukan pedang tetapi kedamaian.”

*          *          *

Saya suka bahagian ini. Apabila Marion, kawan kepada Fatma yang menemankan Hanum sepanjang beliau berada di Paris bersama Rangga. Ianya membuka kisah kebudayaan dan pemikir Ibnu Rusyd. Leretan senyuman saya panjang bila dengar nama ini kerana saya sudah membuat sedikit kajian terhadap Ibnu Rusyd, saya baca karyanya dan karya terhadapnya. Benar kata Marion kepada Hanum:

Islam berperang besar dalam mengembangkan kebudayaan di Eropah. Tahukah Hanum kota mana yang disebut ‘The City of Life’ ? Pariskan, kota ini.  Jawab Hanum. Bukan, balas Marion. Ada sebuah kota yang menjadi inspirasi eropah sehingga semaju sekarang ini. Filsuf Ibnu Rusyd atau Averroes, ilmuan muslim yang membuka jalan eropah menjadi peradaban yang cerah. Oh ya, kota Mana? Tanya Hanum. Cordova, jawab Marion.”

Jawapan kebudayaan Islam ini tersebar di eropah dibuktikan dalam scene yang seterusnya di Muzium Louvre. Marion menunjukkan sebuah potret lebih fenomena dari potret monalisa. Marion membawa Hanum dihadapan potret wanita yang mengendung seorang bayi (saya tidak dengar dengan jelas nama potret ini disebut) yang mempunyai kalimah arab ‘Tiada Tuhan Melainkan Allah.’

Maron kemudian menunjukkan gambar lukisan jubah Raja Rojus (saya juga tidak pasti, sebutannya tidak jelas) yang tertera kalimah yang sama ‘Tiada Tuhan Melainkan Allah.’ Mereka kemudian naik ke bangunan yang disebut ‘gerbang kemenangan’ atau dipanggil ‘arch the Triomphe’ (sebutannya juga tidak jelas) yang terletak di atas sebuah garis yang lurus.

Garis lurus yang mempunyai keunikan dan ‘fenomena.’ Di titik scene ini, filem ini memberikan kekuatan untuk saya terus membina hasrat dan impian untuk menjelajah ke eropah. Jika kita tarik garis lurus kearah timur daripada ‘arch the Triomphe’ kita akan menemui bangunan yang paling agung di muka bumi ini. Garis lurus itu diluncurkan ke luar perancis kearah tenggara kita akan melalui gunung alphad, lalu kita akan melalui itali, terus ke yunani, laut medetarian, kemudian mesir, kemudian Saudi Arabia, Mekah… Kaabah. “Jadi Napoleon sengaja membangunkan bangunan itu lurus kearah kaabah? Tanya Hanum terpesona. Lirik senyuman manis Marion membalas.

Sungguh! Saya juga terpesona…

Kata Hanum ini mengakhiri coretan ini:

Semakin kita melakukan perjalanan, semakin kita jadi banyak tahu, semakin kita banyak kenal, kita jadi lebih tahu lagi apa erti saling menghargai.”

*          *          *

99 Cahaya di Langit Eropah. Sungguh mempersona pengalaman penulis buku ini. Tuan Rangga dan Puan Hanum. Saya fikir ini kisah benar mereka. Masakan tidak, mereka meletakkan nama mereka sebagai pemain watak penulisan ini. Saya berhasrat sungguh moga Allah pertemukan saya dengan dua penulis ini. Ingin saya titipkan bahawa apa yang mereka temui di eropah itu benar. Akhirnya aku berazam mahu merasai sendiri fenomena kebudayaan Islam di eropah. Akan aku bermula penggembaraan aku di The City of Life, Cordova.

 Kata Abduh itu benar:

Aku ke Paris, aku melihat Islam tanpa Muslimnya. Aku pulang ke Mesir, aku melihat Muslim tanpa Islamnya.

Kata ilmuan itu benar:

Hikmah itu telah hilang dari diri umat Islam, jika kamu menemuinya, maka ambillah.”

Copy and paste: 28 Disember 2020 / 13 Jamadilawal 1442H: 12.43 pm


No comments:

Post a Comment