ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 6 December 2020

POLITIK TIDAK LAGI RELEVAN DAN TIADA MASA DEPAN?

Oleh Hambali Idrus

Saya melihat ada di antara kita berbalah di media sosial berkenaan pergolakan politik di negeri Perak. Kemelut yang berlaku menyebabkan fikiran saya melayang jauh mengenangkan apakah nasib bangsa kita di tanah air ini. Persoalan ini seringkali menjengah fikiran saya, tentang sikap taksub orang Melayu terhadap satu parti dan satu pemimpin. Lama juga saya termenung melihat kekurangan bangsa Melayu yang satu ini, seakan tiada kesudahan, selayaknya dianggap jalan mati. Apalah nasib kita, ditelan mati emak, diluah mati bapa!
Boleh dikatakan setiap hari kita melihat pertelingkahan di ruangan komen, selain daripada pengikut tegar pendakwah selebriti hinggalah ke pentaksub parti politik juga handal di Facebook. Ramai yang ghairah cuba membuktikan dan memenangkan parti mana yang paling benar. Parti mana yang paling berjasa dan aman. Parti mana yang tiada keburukan dan pemimpin mana yang paling maksum. Bangsa yang paling kuat berbalah di ruangan komen adalah bangsa Melayu itu sendiri.
Melayu memerli Melayu. Melayu membodohkan Melayu. Melayu memacaikan Melayu. Melayu membangsatkan Melayu. Melayu mencaci pemimpin Melayu. Itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa orang Melayu tidak akan pernah bersatu. Percayalah.
Mesti saudara tertanya kenapa saya merasakan sedemikian? Adakah saya ingin memenangkan parti politik yang bukan dikalangan bangsa Melayu? Semestinya tidak.
Cuma, pernahkah kita terfikir setelah puluhan tahun kita merdeka, pernahkah parti politik Melayu itu bersatu secara keseluruhan. Cuba kita lihat, parti daripada bangsa manakah yang paling banyak berpecah? Pemimpin dikalangan bangsa apakah yang tidak bersetuju dan menentang antara satu sama lain. Makna penyatuan adalah apabila jumlah parti yang ada di tanah air kita semakin berkurang, bukannya bertambah parti baharu yang juga diketuai oleh bangsa Melayu. Apabila tidak setuju tentang sesuatu isu maka tertubuhlah parti baru. Kali kesepuluh tepuk dahi!
Cuba lihat parti politik daripada bangsa manakah yang paling banyak di Malaysia? Anda sudah ada jawapannya. Ya, nama bangsa yang tertera di minda saudara itulah jawapannya.
Perebutan kuasa ini sebenarnya adalah dikalangan bangsa kita sendiri bukannya bangsa lain. Itu adalah fakta dan itu adalah sejarah. Tetapi masih ada yang tidak sedar tentang hal ini. Di dalam minda mereka komunis, komunis dan komunis. Tidak pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, apakah yang akan berlaku jika semua parti Melayu bersatu? Itulah sebaik-baiknya tetapi hal itu tidak berlaku dan tidak akan berlaku.
Kenapa?
Kerana kuasa jika dapat kepada orang yang tidak layak memegang kuasa hanya menciptakan kehancuran bukan keamanan. Sedangkan kuasa adalah bebanan berat untuk pemimpin tetapi dianggap remeh lantas mereka berebut untuk menjadi pemimpin. Orang yang takut pada Allah adalah yang merasakan diri tidak layak menjadi pemimpin kerana gendongan berat di akhirat kelak. Tetapi itulah yang menjadi rebutan. Wang dan kuasa membutakan mata dan hati. Namun sejahat mana seseorang pemimpin itu pasti akan ada juga pengikutnya. Ajaran sesat juga ada pengikut, Dajjal juga ramai pengikut! Kenapa? Kerana itulah pemimpin bagi mereka.
Apalah gunanya untuk kita berbalah sesama sendiri? Saya sering menyoal diri sendiri apakah jaminan jika saya memilih pemimpin kelak. Bagaimana jika saya tidak mahu memilih kerana pada pendapat saya tiada keperluan kerana tiada pilihan? Apakah ketelusan dan jaminan yang boleh diberi kepada pengundi? Tiada.
Untuk apa kita berjuang, berbalah, bertekak, mencaci maki antara kita tetapi di penghujungnya tetap sama, hari ini parti lawan, kemudian hari menjadi kawan. Itulah politik, mengikut situasi dan keadaan tetapi yang tertipu hanyalah pengundi yang terikat dengan satu parti, rakyat yang ditipu berkali-kali. Maka jadilah rakyat itu seperti lembu dicucuk hidung atau seperti lalang ditiup angin!
Adakah bahaya keterbukaan ini? Tidak. Tetapi ini adalah tanda keterbukaan generasi baru dalam menilai politik di Malaysia. Pandangan ini perlu difikirkan oleh ahli politik khususnya. Mereka perlu bertanya apakah sebab generasi baru tidak mempunyai perjuangan seperti orang terdahulu yang hanya setia pada satu parti sehinggakan ada yang menjadi ahli seumur hidup. Adakah masih relevan untuk ahli politik mencari pengundi seumur hidup, biar baik atau buruk tetap setia kerana itulah perjuangan yang dibawa. Mengarut!
Hal ini tidak lagi relevan buat generasi baru. Kerana keterbukaan ini meletakkan politik sebagai bukan keutamaan, tiada kebergantungan dengan sesebuah parti politik kerana di zaman ini, kita dapat melihat ramai golongan muda yang sudah mempunyai bisnes sendiri, tidak terikat dengan bantuan yakni bekerja keras dengan tulang empat kerat sehinggakan bantuan itu bukanlah keutamaan tetapi disyukuri jika dikurniakan nikmat tersebut. Tiada lagi kepentingan politik. Apakah keperluan untuk setia pada parti politik atau bermati-matian mencaci parti lawan di Facebook?
Malah generasi baru juga sudah semakin bosan dengan politik kepartian yang hanya di akhirnya memenangkan orang politik sahaja. Suara rakyat tidak didengari dan diperhalusi malah diambil sambalewa oleh ahli politik. Malah ada dikalangan ahli politik yang dilihat tidak sesuai menjadi pemimpin malah ada yang hanya memikirkan periuk nasi sendiri berbanding ada periuk nasi yang perlu diisi.
Jadi saranan saya adalah agar kita semua menjadi lebih terbuka dalam menilai sesuatu perkara terutamanya politik yang penuh dengan helah dan muslihat, bergantung pada situasi dan zaman semuanya boleh berubah. Tidak ada gunannya kita taat pada sebuah parti atau taksub pada satu pemimpin kerana di akhirnya parti lawan juga boleh berkawan. Yang dikutuk, dihina boleh kembali duduk semeja. Lalu malulah kita kerana sebelum ini merasakan bahawa pemimpin yang kita sokong tidak akan sekapal dengan musuh tetapi berlaku sebaliknya.
Keterbukaan ini bukan sahaja sihat untuk tanah air ini, tetapi keterbukaan ini bakal menjadi titik mula agar ahli politik lebih peka dan tidak lagi merasakan bahawa mereka akan sentiasa kekal bertakhta selamanya. Suatu hari, generasi ahli seumur hidup tidak akan wujud lagi di tanah ini digantikan pula dengan generasi baharu yang lebih terbuka dalam menilai keadaan politik semasa. Tidak lagi taat membuta tuli pada satu parti atau satu pemimpin yang hanya akan merugikan diri sendiri dan menjadi penyesalan di kemudian hari.
Saya juga pasti generasi baru akan memilih siapakah yang benar-benar ikhlas membantu rakyat tanpa mengira parti. Ini adalah reformasi baru yang akan membuatkan ahli politik tidak senang duduk kerana mereka sedar kuasa mereka boleh dijatuhkan oleh rakyat dan kedudukan mereka tidak akan kekal selamanya.
Terbukalah dan buktikan kuasa terletak pada rakyat malah yang benar amanah dalam menjalankan tanggungjawab akan dijunjung oleh masyarakat kelak. Berhenti taksubkan parti dan pemimpin, ia merugikan.

Copy and paste: 6/12/2020 @ 20 Rabiulakhir 1442H: : 7.36 am

No comments:

Post a Comment