ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 16 December 2020

PEMIKIRAN & ANALISIS KRITIS :

Oleh: Roujin d'Umi
Dari FB: Kingdom of Tanah Melayu

(Critical Thinking & Critical Analysis)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Menghidupkan "Gerak Hati" yang paling dalam (Qalbu) supaya kita tidak mudah menjadi "PAK TURUT" yang BEBAL seperti "Lembu (Goyyim) yang Dicucuk Hidungnya".
Bila hati berasa SYAK, selidikilah ...
Atau abaikan dan tinggalkan begitu sahaja. Kecuali, atas hal-hal yang "Sesat Dan Menyesatkan", WAJIB DIPERANGI !!!
...
1] PEMIKIRAN KRITIS : (Critical Thinking)
Pemikiran Kritis (Minda Kritis) adalah suatu anugerah ALLAH yang semulajadi. Namun ianya memerlukan latihan berterusan untuk beroleh istiqamah dan kekal sebagai "Minda Yang Kritis Dan Analytical".
Laksana ilmu mantiq (logic), minda dan aqal perlu dilatih selalu supaya HATI TIDAK MATI (KERAS) dan tidak mudah terperangkap dengan "Zon Selesa" iaitu :
~ Mengikut jadi Pak Turut Yang Bebal ~

ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala berFirman :
. وَنَفْسٍ وَّمَا سَوّٰٮهَا ۖ 
"Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya)"
. فَاَ لْهَمَهَا فُجُوْرَهَا وَتَقْوٰٮهَا ۖ 
"Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawa nya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa"
. قَدْ اَفْلَحَ مَنْ زَكّٰٮهَا ۖ 
"Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan Iman dan amal kebajikan)"
[QS Asy-Syams (91) : Ayat 7 - 9]
...
2] ANALISIS KRITIS : (Critical Analysis)
"Analysis Kritis" bukannya banyak bertanya di mulut, kerana banyak bertanya di mulut menghilangkan tumpuan (fokus) kepada apa-apa keadaan yang sedang kita hadapi atau sesuatu perkhabaran yang kita terima.
Namun, banyak bertanya di minda adalah sesuatu yang natural kerana minda kita sentiasa hidup terutamanya bila menghadapi sesuatu berita atau keadaan yang mencurigakan atau yang mendatangkan "SYAK" di hati.
Cukup sekadar "berdiam diri" dengan bertekad untuk menyelidiki dan merujuk kepada "Yang Ahli" untuk mencari kepastian dan kebenaran.
Bila kita sentiasa ingat kepada ALLAH maka Insyaa ALLAH, kita akan dikurniakan "Ilham" untuk mencari jalan mencapai sesuatu kepastian atau "Kebenaran".
Kita perlu berikhtiar dengan beberapa "Rujukan Lintang" (Cross References) dari pelbagai sumber dan PAKAR RUJUK yang AHLI dalam membantu kita mencari "KEBENARAN".
Itulah sebabnya kita diutamakan untuk melatihi diri dengan konsep SOP ISLAM; iaitu "TABAYYUN" ... 
...
3] TABAYYUN : (Penerimaan & Penyampaian Berita)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Mutakhir kini, dalam era globalisasi yang serba maju, seiring dengan kecangihan teknologi global, tidak menjadi satu masalah dan kesukaran bagi seseorang untuk menyebarluaskan sesuatu maklumat untuk disampaikan kepada masyarakat.
Bahkan manusia kini lebih banyak berinteraksi di "alam maya" yang terkumpul di dalamnya limpahan berita yang diperolehi melalui pelbagai saluran media seperti akhbar online, majalah, media massa (WhatsApp, Facebook, Instagram, YouTube,) dan sebagainya yang bersifat "online" dan mudah diakses keberadaannya.
Taip sahaja "kata kunci" pada enjin carian internet, setiap perincian maklumat yang diperlukan akan dipamerkan.
Isunya, adakah maklumat yang mudah diperolehi ini, mampu untuk kita tapis dan pastikan kebenarannya sekelip mata?
Jika perkhabaran itu merupakan satu kebenaran, maka ia adalah baik bagi yang menerimanya, namun jika ia adalah kepalsuan maka pastilah mengundang kepada permusuhan dan perselisihan.
Mungkin juga kita bakal terdedah kepada keadaan, "SESAT LAGI MENYESATKAN".

Kehidupan bermasyarakat pada hari ini tidak lekang daripada membincangkan isu-isu semasa sebagai bahan gosip dan hujjah. Keadaan ini diperkeruhkan lagi dengan kehadiran sekelompok masyarakat yang menjadikan gossip dan 'aib orang lain sebagai "bahan dagangan" dan "persendaan" untuk kepuasan hati sendiri dan mengaut keuntungan populariti dunia.
Akhirnya, masyarakat akan hidup dalam keadaan bermusuhan dan kucar kacir.
Kita sering terlupa bahawa ALLAH SWT berpesan di dalam firman-NYA bahawa umat Islam perlu berhati-hati dengan cara meneliti dan mencari bukti yang berkait dengan isu mengenai sesuatu berita atau dakwaan.
ADAB atau sikap yang terkait dengan “tabayyun” ini ditekankan agar kita tidak terjerumus ke dalam "Kancah Fitnah" termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas ke'aiban dan membahayakan pemikiran umat.
Demikianlah akhlak dan prinsip AlQuran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran.
Konsep "tabayyun" sebagai "SOP Minda Mukmin" dalam menerima segala berita dan maklumat, haruslah dihayati dan menjadi pegangan para Mukmin sekelian.
...
4] PERINTAH TABAYYUN :

Firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala :
. يٰۤاَ يُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْۤا اِنْ جَآءَكُمْ فَا سِقٌ بِۢنَبَاٍ 
فَتَبَيَّنُوْۤا اَنْ تُصِيْبُوْا قَوْمًا بِۢجَهَا لَةٍ فَتُصْبِحُوْا 
عَلٰى مَا فَعَلْتُمْ نٰدِمِيْنَ .
"Wahai orang-orang yang beriman!
Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) hingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan".
[QS Al-Hujurat (49): Ayat 6]
...
" فَتَبَيَّنُوْۤا "
Tabayyun merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud, "Menthabitkan dan menyemak asas kebenarannya"
Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian, apalagi yang mungkin menyesatkan diri kita.
Perintah untuk “tabayyun” merupakan perintah yang sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka.

Imam al-Syaukani berkata, “Yang dimaksud dengan "tabayyun" adalah memeriksa dengan teliti, dan dan yang dimaksud dengan "tatsabbut" adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sesebuah peristiwa atau kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan
terang baginya”
[Lihat Fath al-Qadir, 5/65]
...
ALLAH SWT memerintahkan supaya kita menyelidik serta mendapatkan kesahihan kebenaran berita yang disampaikan oleh seseorang seperti Firman-NYA dalam [Surah Al-Hujurat (49): Ayat 6] tersebut. Ini kerana bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku.

~ Ibn Jarir berkata, "Hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguh seketika maklumat atau berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu "makrifah" dan yakin akan kebenarannya. Jangan sekali-kali kamu gelojoh untuk menerimanya".
[Lihat Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Quran, 22/286]

~ Ibn Kathir berkata, "ALLAH perintahkan supaya kita thabitkan dahulu perkhabaran orang yang fasiq sebagai "ihtiyat". Ini kerana supaya seseorang tidak berhukum dengan ucapannya  sehingga yang demikian itu boleh membawa kepada DUSTA atau tersilap.
[Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 7/370]

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa, "ALLAH SWT telah mengajar hamba-NYA supaya berADAB MULIA dalam soal Agama ataupun Dunia. Dan berhubung dengan perkara itu, apabila seseorang yang fasiq datang memberitahu sesuatu berita yang bertentangan dengan Syiar Agama, jangan mempercayai beritanya itu melainkan dengan menyelidik serta menelitinya dahulu"
[Lihat Tafsir al-Maraghi, 26/126]

Syeikh Ali al-Sobuni di dalam tafsirnya menyatakan, "Jika datang kepada kamu seorang lelaki fasiq, yang mana ia tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilannnya dengan apa yang diberitakan, maka hendaklah kamu menyemak akan kesahihan berita nya itu. Ini supaya kamu tidak menghukum atau menuduh sesuatu kaum sedangkan kamu jahil tentang Hakikat sebenar. Ketika itu, jadilah kamu menyesal tak sudah atas perbuatan kamu.
[Lihat Sofwah al-Tafasir, 3/216]

Penelitian di dalam menerima sesuatu berita itu mestilah diambil berat bagi memastikan kebenarannya. Ini supaya dapat mengelak daripada berlakunya penyebaran BERITA PALSU dan perbuatan ini akan mendatangkan kemurkaan ALLAH SWT serta tergolong dalam golongan pendusta.

Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Hafs bin Asim RA, sabda Nabi ﷺ :
. كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
"Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun)"
[Riwayat Muslim (5)]

Hadis ini telah diletakkan pada bab khusus oleh Imam Nawawi dengan tajuk :
"Larangan terhadap menceritakan semua perkara yang didengari”.

Dalam menjelaskan hadis ini, Imam Nawawi berkata :
"Seseorang boleh dikatakan berdusta disebabkan berita yang didengar boleh jadi ditambah-tambah. Adapun makna hadis ini mengandungi peringatan daripada membicarakan setiap yang didengari. Ini kerana ia boleh jadi benar dan boleh jadi dusta".
[Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/75]

Ibn Hibban pula berkata, "Dalam hadis ini terdapat larangan bagi seseorang untuk menyebarkan semua berita yang dia dengar sehinggalah dia mengetahui secara yakin akan kesahihannya.
[Lihat Kitab al-Majruhin, 1/25]

5] KAEDAH KRITIS MENERIMA BERITA :

Akhlak dan prinsip yang terkandung di dalam AlQuran mengajar manusia sentiasa bersangka baik dan tidak terburu-buru dalam membuat kesimpulan dalam sesuatu pengkhabaran.
Hal ini ditekankan oleh Baginda Rasulullah ﷺ di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Sabda Nabi ﷺ:
. إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ، 
وَلاَ تَحَسَّسُوا، وَلاَ تَجَسَّسُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، 
وَلاَ تَدَابَرُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا ‏
"Jauhilah daripada berprasangka buruk, kerana prasangka buruk merupakan dusta yang besar. Dan janganlah melihat kesalahan orang lain, dan janganlah suka mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah saling membenci, dan janganlah memutuskan hubungan tali persaudaraan (atau berkonspirasi) akan tetapi jadilah kamu semua sebagai hamba ALLAH yang bersaudara"
[Riwayat al-Bukhari (6724)]

ALLAH SWT memperingatkan bahawa janganlah meyakini sesuatu perkara itu sebelum memastikan kebenarannya. Dan tidak mengikuti prasangka dan khabar berita yang buruk. Ini kerana setiap pancaindera dan hati manusia akan diperhitungkan di hari Akhirat kelak.

Firman ALLAH SWT:
. وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ
وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukan
nya"
[Surah al-Isra’ : Ayat 36]

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menyatakan, “Janganlah mengikuti apa yang tidak kamu ketahui. Bahkan perkara ini bergantung di atas apa yang dikata kan dan dilakukan. Ini kerana setiap perbuatan serta anggota tubuh itu akan di pertanggungjawabkan sama ada dari segi perbuatan atau percakapan. Dan tujuan penciptaan nya adalah bertujuan untuk ibadah kepada ALLAH SWT dan berkerja untuk Islam”
[Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/457]

Oleh itu, memastikan sesuatu pengkhabaran itu merupakan satu tuntutan bagi mengelak terjadinya fitnah dan permusuhan diantara manusia.

Satu kaedah yang masyhur ada menyebut :
. إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ 
وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ
“Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahih kan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti”
Justeru, cakapan yang dinukilkan tanpa sebarang Dalil, Hujjah dan Nisbah yang Sahih hendaklah ditinggalkan, bukan menjadi pegangan utama. Apatah lagi sebagai hujjah dan bukti.
...
6] PENDIRIAN KHALIFAH UMAR r.a.

Suatu ketika seorang lelaki datang kepada Amirul Mukminin Khalifah saidina Umar bin Abdul Aziz RA, lalu dia menyampaikan sesuatu yang tidak baik perihal seorang
temannya. Lalu Umar bin Abdul Aziz RA berkata kepadanya:
"Sekarang kami terpaska menyiasat perkara ini! Jika kamu dusta, maka kamu termasuk dalam golongan orang yang dinyatakan dalam Firman

ALLAH SWT";
. إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا
“Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.”
[Surah al-Hujurat: ayat 6]

Jika sekiranya kamu bercakap benar, maka kamu tergolong di dalam kumpulan orang yang dikatakan di dalam Firman ALLAH SWT;
. هَمَّازٍ مَّشَّاءٍ بِنَمِيمٍ
“Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai)”
[Surah al-Qalam: Ayat 11]

Tetapi, jika kami memaafkan kamu dengan syarat kamu tidak akan melakukannya lagi? Lelaki itu menjawab: Maafkan sahaja, hai Amirul Mukminin, saya tidak akan mengulanginya lagi perbuatan itu".
[Lihat: al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, 604-606]

Kecanggihan pelbagai alat komunikasi dibantu media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram, blog, dan seumpamanya mempercepatkan penyampaian segala maklumat dan juga berita media sosial seperti ini adalah termasuk alat komunikasi bagi memudahkan perhubungan sesama manusia.
Hukum asal menggunakannya adalah HARUS jika tujuan dan kaedah penggunaannya tidak melanggar mana-mana Hukum Syarak. Ini berdasarkan Kaedah Fiqh:
. الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة
"Asal bagi sesuatu perkara adalah harus".
[Rujuk Al-Asybaah wal-Nazhair, Al-Suyuthi (1/133)]

Namun, sesetengah masyarakat menggunakan media sosial ini dengan menyampaikan berita dan juga menerimanya tanpa memeriksa kesahihan sumber dan maklumat dalam berita tersebut. Maklumat atau berita yang diperolehi itu adakalanya membawa kepada perselisihan dan ada juga yang menyatakan kebenaran.
Secara pastinya, limpahan maklumat pada hari ini yang mudah untuk diperolehi, tidak lagi mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya. Segala berita atau perkhabaran yang diperolehi tanpa asas kebenaran dan kepastian yang jitu, dapat mengundang kepada permusuhan dan perselisihan sesama kita.
Oleh itu, khabar yang benar, maklumat yang tepat dapat menjadikan kita sebagai seorang yang mampu untuk menilai, berfikir dan yang paling utama adalah bertindak di atas asas kebenaran yang kukuh dan menepati kehendak umum.
Perselisihan yang berlaku akibat daripada kekaburan maklumat atau berita yang diperolehi menjadikan seluruh masyarakat sentiasa hidup dalam keadaan syak wasangka terhadap sesama sendiri, namun lebih mudarat lagi apabila melibatkan keluarga atau kerabat yang terdekat.
Inilah bala dan perkara yang mesti di ambil peduli dan sikap yang tegas dalam mencari dan menyampaikan maklumat dan berita yang betul dan tepat. 
Begitu juga dengan sikap terburu-buru dalam menyampaikan berita, kerana sikap tergesa-gesa itu datang daripada syaitan sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
. التَّأَنِّي مِنَ اللهِ، وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ
“Ketenangan datangnya dari ALLAH, sedangkan tergesa-gesa datangnya dari syaitan”.
[Riwayat al-Baihaqi (20270)]

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
. أَلَا أُنَبِّئُكُمْ مَا الْعَضْهُ؟ هِيَ النَّمِيمَةُ الْقَالَةُ بَيْنَ النَّاسِ
“Mahukah aku ceritakan kepada kamu apa itu al’adhhu (الْعَضْهُ)?
Itulah namimah, perbuatan menyebarkan berita untuk merosakkan hubungan antara sesama manusia
[Riwayat Muslim (2606)]

Imam al-Nawawi dalam syarahnya menukilkan kata-kata ulama’ mengenai makna al-Namimah:
. النَّمِيمَةُ نَقْلُ كَلَامِ النَّاسِ بَعْضِهِمْ إِلَى بَعْضٍ 
عَلَى جِهَةِ الْإِفْسَادِ بَيْنَهُمْ

"Al-Namimah adalah menyampaikan perkataan seseorang kepada orang lain dengan tujuan merosakkan hubungan di antara mereka”
[Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/112]

Penyampaian berita itu tidak boleh membuka 'aib orang lain. Dalam sebuah hadith daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :
. مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ المُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، 
وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي 
جَوْفِ رَحْلِهِ
"Barangsiapa yang mencari-cari 'aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya ALLAH akan membuka 'aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya"
[Riwayat al-Tirmizi (2032)]

Justeru dalam berhadapan dengan zaman fitnah ini, dengan bantuan teknologi maklumat begitu canggih masa kini, umat Islam seharusnya lebih berhati-hati dan mengamalkan "prinsip tabayyun" sebelum menyebarkan, menerima, mahupun berkongsi satu-satu berita. 
Di samping itu juga, pemberitaan atau perkhabaran yang mudah diterima pada hari ini melalui Facebook, emel, twitter, surat khabar, majalah atau sebagainya tidak pasti akan ketepatan dan kesahihan maklumat.
Akhir kalam, kami berdoa kepada ALLAH SWT agar memberikan kepada kita semua kefahaman yang tepat dalam beragama.
ALLAH humma aamiin,  Yaa arhamar raahimiin.
...
7] KESIMPULAN :
Dalam konsep menerima atau menyampaikan sesuatu berita itu, untuk memastikan kebenaran dan keabsahan sesuatu berita itu mestilah melalui beberapa proses semakan, rujukan silang (cross-references) supaya dapat memperhalusi dan meneliti khabar itu. Oleh itu, beberapa faktor-faktor yang patut diambil berat ialah:
~ Mestilah berhati-hati di dalam menyampaikan sesuatu berita;
~ Memastikan tidak akan berlakunya salah faham dan kesalahan dalam fakta yang boleh menyebabkan fitnah;
~ Memastikan kesahihan & kebenaran berita yang diterima atau yang akan disampaikan.
~ Tidak terburu-buru dalam membuat kesimpulan atau menjatuhkan hukum ke atas sesuatu berita;
~ Menanamkan prasangka yang baik dan menjauhi su’u zhan (prasangka buruk) sesama manusia;  
~ Menjaga silaturrahim dan tidak memutuskan hubungan silaturrahim
di antara masyarakat.

ALLAH SWT melarang menyakiti saudara muslim dan menjanjikan azab yang berat kepada siapa yang mencemarkan kehormatan saudaranya.
Kami akhiri untuk sama-sama kita berdoa kepada ALLAH SWT agar kita sentiasa mendapat petunjuk dan dihindari daripada didedahkan 'aib.

SUMBER RUJUKAN :
1] Bayan Linnas Siri Ke-184 : "Tabayyun Dalam Penerimaan Dan Penyampaian Berita"; Muhammad Fathi Noordin 13 Jun 2019 Pejabat Mufti WP.


Copy and paste:
16 Disember 2020 / 1 Jamadilawal 1442H: 11.25 am

No comments:

Post a Comment