ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 2 December 2020

Mengapa Laksamana Zheng He bukan Sida-sida?

Sumber: Legasi Zheng He

為何鄭和不是宦官?
Terima kasih
Cilisos
atas perkongsian perihal hidangan Laksa yang juga masakan kegemaran admin.
😋
Di sini juga, izinkan admin untuk membentangkan pencerahan terhadap suatu perkara demi mengelakkan kekeliruan bersama.
😊
Dalam artikel Cilisos bertarikh 15 November 2020 yang bertajuk "In 1500s Malaya, Peranakan Wives Got Bored In The Kitchen… And Invented Laksa"
"In that time, it was said that Melaka enjoyed a good friendship with China, prompting many visits to Melaka by a Chinese explorer Admiral Cheng Ho, who was also rumored to be an eunuch, but we’re not gonna talk about that."
Disyaki adalah sida-sida?
Asal usul kenyataannya
Dalam perbincangan masakini, memang wujud pendapat bahawa Zheng He mungkin bukan sida-sida. Antara sebabnya:

Keterangan susuk dirinya
Keterangan terawal perihal rupa Zheng He dijumpai dalam kitab Gujin Zhijian 古今识鉴 nukilan Yuan Zhongche 袁忠彻: “...行如虎步,声如洪钟”
(...berjalan seperti harimau, suaranya [kuat] bagaikan loceng gong.)¹
Sejarawan Singapura Hsü Yün-ts'iao 许云樵 berpendapat: "As a eunuch definitely had no sonorous voice, so he inferred that Cheng Ho had not been fully castrated."
²Beliau menyatakan kemungkinan ayat keterangan ini adalah semata-mata mengagung agungkan Zheng He kerana sida-sida biasanya telah hilang hormon kelelakian selepas digembirikan.

Sebab Zheng He seorang Muslim
Pendapat ini dikemukakan oleh salah seorang rakan admin. Hujahnya, Zheng He sebenarnya disunat, bukan digembirikan.
Jika demikian, maka harus juga kita fahami bahawa, untuk seorang sida-sida dianugerahkan kenaikan pangkat, kriteria yang paling penting adalah alat sulitnya yang diawet dan disimpan rapi dalam bekas kecil. Dipanggil "khazanah" (bao / 宝), objek ini wajib ditunjukkan kepada ketua sida-sida untuk pengesahan sebelum dibenarkan kenaikan pangkat (dalam darjat kelas sida-sida). Siasatan ini dinamakan Yan Bao (验宝).³
Sekiranya Zheng He bukan sida-sida, mustahil beliau dianugerahkan Maharaja Yongle dengan kenaikan pangkat sebagai Pegawai Kanan Sida-sida Diraja (内官监太监) berdarjat 4 (四品), yakni darjat tertinggi dalam kategori sida-sida.

Zhèng He mempunyai anak angkat.
Disebut dalam Salasilah Zheng He Yuxi《玉溪郑和家谱》:“至宣德六年,钦封公三宝太监,公以兄文铭之子立嫡,名赐。”
(Pada tahun ke-6 Xuande (1431), Sida-sida Diraja Sanbao 三宝 (Zheng He) diberikan seorang anak daripada abangnya Wenming 文铭 sebagai anak angkat yang bernama Ci.)
Dalam usia tuanya, sebelum Zheng He berangkat untuk pelayaran ke-7 (dan terakhir), beliau diberikan anak angkat daripada abang Ma Wenming 马文铭. Anak tersebut adalah anak sulung Wenming bernama Ma Ci 马赐, juga bernama Ma Enlai 马恩来. (Ma adalah nama keluarga asal bagi Zheng He yakni 'Ma He'). Sekiranya Zheng He bukan sida-sida, maka beliau boleh saja berkahwin dan mempunyai anak kandung.

Menjadi Sida-sida bukan pilihannya
Harus kita ingat, Zheng He tidak memilih untuk menjadi sida-sida. Beliau diheret sebagai tawanan perang oleh tentera Dinasti Ming ke Nanjing semasa berusia hanya 11 tahun! Dan sebagai tahanan perang, beliau digembirikan menjadi sida-sida. Status ini di mata masyarakat Cina kuno bermakna: kecacatan abadi, lebih rendah darjat daripada manusia biasa, hamba kepada Istana, tidak boleh mempunyai zuriat kandung = gagal sebagai manusia.
Sungguhpun Zheng He membawa beban kehinaan ini sehingga ke liang lahat, namun ia tidak menjadi penghalang kepadanya. Bahkan, dengan izin dan hikmah Allāh ﷻ, beliau bekerja keras dan bijak sehingga mengatasi ramai manusia biasa. Kepimpinan pelayaran Armada Khazanah seramai 27,000+ pengikut adalah contoh terbaik baginya kerana ia adalah misi julung-julung kali yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dalam sejarah China.

Peranakan Cina bukan hanya daripada hasil pelayaran Zheng He
Seperkara lagi yang ingin admin tekankan, permahaman yang sering diutarakan adalah, masyarakat Peranakan Cina, atau lebih dikenali sebagai Baba Nyonya, adalah impak daripada pelayaran Zheng He.⁴
Sebenarnya apabila Laksamana Zheng He dan pasukannya mendarat di Nusantara, mereka mendapati di situ telahpun mempunyai komuniti Cina. Fei Xin 费信, penterjermah kepada Zheng He, merakamkan pemerhatiannya dalam kitabnya Xingcha Shenglan 星槎胜览:“...间有白者,唐人种也。”
(...Di kalangan mereka terdapat yang berkulit cerah. Merekalah orang Tang⁵.) ⁶
Begitu juga dengan Ma Huan 马欢, seorang lagi ahli penterjermah, dalam kitabnya Yingya Shenglan 瀛涯胜览:
“...一等唐人,皆广东、漳、泉等处人窜居此地,日用美洁,多有皈从回回教门受戒持斋者。”
([Kedua,] orang Tang, berasal dari Guangdong, Zhangzhou, Quanzhou dan sebagainya yang berhijrah dan menetap sini. Gaya kehidupan harian mereka indah dan teratur. Ramai di kalangannya memeluk Islām dan mengamalkan rukunnya.)⁷
Kesilapan paling ketara adalah menggunakan kisah para pengiring Hang Li Poh sebagai hujah kisah asal usul Peranakan Cina. Walhal dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hang Li Poh dan para pengiringnya diIslamkan oleh Sultan Mansur Syah dan kemudian dianugerahkan Bukit Cina sebagai kawasan kediaman mereka:
"Maka Puteri Hang Li Po itu disuruh baginda Islamkan. Setelah sudah Islam maka Sultan Mansur Syah pun kahwinlah dengan Puteri Hang Li Po itu; beranak seorang laki-laki, dinamai baginda Paduka Mimat. Ialah beranakan Paduka Seri Cina, ayah Paduka Ahmad dan ayah Paduka Isap. Maka segala anak menteri Cina yang lima ratus itu disuruhkan baginda Islamkan, dan disuruh duduk diam (mendiami) pada bukit di luar kota. Maka disebut orang bukit itu Bukit Cina. Dan Cina itulah yang menggali perigi di Bukit Cina itu; anak cucu orang itulah dinamai biduanda Cina."⁸
Semoga bermanfaat. Wallāhualām.

𝙇𝙄𝙆𝙀 & 𝙎𝙃𝘼𝙍𝙀
𝑳𝒆𝒈𝒂𝒔𝒊 𝒁𝒉𝒆𝒏𝒈 𝑯𝒆 ~ 鄭和遺風 ~ لڬسي چيڠ هو
ᴡᴡᴡ.ғᴀᴄᴇʙᴏᴏᴋ.ᴄᴏᴍ/ʟᴇɢᴀsɪᴢʜᴇɴɢʜᴇ

[Sumber/Nota]
1) 袁忠彻,古今识鉴,卷八
(Yuan Zhongche, Gujin Shijian, jilid 8)
2) Hsü Yün-ts'iao, Notes Relating to Admiral Cheng Ho's Expeditions. JMBRAS Vol. XLIX Part 1 (1976), pp. 134-140
3) Marcelo Duhalde, Life inside the Forbidden City, Chapter 2: How an army of eunuchs ran the Forbidden City, South China Morning Post, 23 Julai 2018
4) Craig S. Smith, The Armada's Gone, Leaving a Savory Memory; The New York Times, 6 Jun 2001, https://www.nytimes.com/.../the-armada-s-gone-leaving-a... , dicapai 16 November 2020
5) Orang Tang (唐人) adalah istilah yang biasanya digunakan oleh kaum Cina dari selatan China. Secara amnya, istilah Orang Han (汉人) lebih kerap digunakan terutamanya di utara China.
6) 费信,星槎胜览,卷一,满剌加国
(Fei Xin, Xingcha Shenglan, jilid 1, Melaka)
7) 马欢,瀛涯胜览,诸番国名,爪哇国
(Ma Huan, Yingya Shenglan, Catatan Pelbagai Negara, Jawa)

8) Ahmat Adam. 2016. Sulalat u’s-Salatin, yakni per[tu]turan segala raja-raja, dialih aksara dan disunting dengan kritis, serta diberi anotasi dan Pengenalan, Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan, hlm 173

Copy and paste from Facebook : 2/12/2020 @ 17 Rabiulakhir 1442H: 9.04 pm 


No comments:

Post a Comment