ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 12 December 2020

LAGENDA RAJA BERSIONG

Petikan Akhbar Berita Harian 8/5/2015
Dari FB Sejarah Kedah Tua

LAGENDA RAJA BERSIONG- Kota Aur di Gubir Kedah dikatakan milik Raja Bersiong.
SUATU yang aneh dan luar biasa diceritakan berlaku kepada Raja Ong Maha Perita Deria iaitu raja yang didakwa memerintah Kerajaan Kedah Tua di Lembah Bujang, pada zaman dulu.
Mengikut cerita, raja keempat keturunan Merong Mahawangsa itu asalnya berperwatakan seperti manusia biasa. Bagaimanapun, tokoh itu kemudian mula ketagihan darah manusia dalam santapannya sehingga menyebabkan mulutnya ditumbuhi dua siong tajam bagaikan taring pontianak.
Akhirnya, raja terbabit berkelakuan kejam dengan membunuh manusia sewenang-wenangnya sehingga dikenali sebagai `Raja Bersiong' sehingga ke hari ini.
Kisah Raja Bersiong sememangnya terkenal dan diwarisi sebagai warisan sastera dan budaya rakyat sehingga ke hari ini. Selain sebagai cerita lisan yang diperturunkan daripada generasi lama ke generasi baharu, kisah itu turut tertera dalam buku cerita dan catatan silam termasuk Hikayat Merong Mahawangsa. Kisah Raja Bersiong turut diadaptasikan menjadi filem epik pada 1968.
Terdapat beberapa versi cerita Raja Bersiong dan antara yang popular diceritakan bermula apabila tukang masak istana tanpa sengaja terhiris jarinya ketika memasak gulai. Akibatnya, darah luka menitis ke dalam santapan. Sebaik pulang memburu, Raja Bersiong menjamah nasi bersama gulai bercampur darah dan merasakan hidangan itu teramat lazat.
Lantas baginda bertanya kepada tukang masak dan selepas dipaksa, akhirnya tukang masak mengaku gulai itu sudah bercampur darah. Sebaik mendengar penjelasan itu, Raja Bersiong menitahkan pengawal membunuh tahanan setiap hari dan darah mereka diambil untuk dicampur dalam masakan.
Lama-kelamaan, habis banduan dibunuh tetapi ketagihan Raja Bersiong sukar dikawal. Apabila penjara kosong, raja itu menitahkan pengawal menculik kanak-kanak dan orang awam untuk dibunuh bagi mendapatkan darah. Mengikut cerita lagi, akibat terlalu banyak menelan darah manusia, dua siong tumbuh dalam mulut raja itu.
Kezaliman Raja Bersiong menyebabkan penduduk berang. Sekumpulan nelayan memberontak dan menyerang istana tetapi dikalahkan tentera.
Selain rakyat, menteri di istana turut tidak bersetuju dengan kezaliman Raja Bersiong. Seorang daripada menteri akhirnya bertekad menggulingkan raja itu. Lalu apabila raja terbabit keluar memburu bersama pengawalnya, menteri terbabit mengumpulkan tentera kerajaan untuk memberontak.
Sebaik Raja Bersiong pulang, baginda dikepung tentera pimpinan menteri terbabit. Raja itu mengarahkan pengawalnya menyerang tentera memberontak tetapi tanpa diduga, pengawalnya turut berpaling tadah dan menyertai kumpulan menteri berkenaan.
Melihat keadaan itu, Raja Bersiong melarikan diri ke hutan. Dalam pelariannya, Raja Bersiong insaf dan mencabut siongnya sebelum membaling ke hutan.
Mengikut sejarah asal-usul nama tempat di Kedah, tempat Raja Bersiong melemparkan taringnya kini dikenali Baling, manakala lokasi siong itu jatuh dikenali Siong. Tatkala menilai kisah Raja Bersiong, tidak dinafikan kejadian itu amat luar biasa dan menggerunkan.
Bagaimanapun, keinginan nafsu luar tabii manusia untuk meminum darah dan memakan daging manusia lain sememangnya wujud dan direkodkan di pelbagai tempat sejak ratusan tahun lalu. Malah, perlakuan `kanibalisme' dikatakan diamal secara meluas masyarakat pribumi Kepulauan Fiji sejak ratusan tahun lalu.
Dalam zaman moden, terdapat juga kes kanibalisme dilaporkan antaranya pada tahun 2003, seorang lelaki, Sumanto, 30, ditahan polis Purbalingga, Indonesia selepas mengaku memakan daging tiga mayat sejak tahun 1996. Menurut Sumanto, dia perlu memakan tujuh manusia untuk memperoleh kuasa sakti.
Di Narra, Filipina, empat lelaki ditahan polis pada Ogos 2004 selepas membunuh sebelum membakar serta memakan daging seorang pemuda. Lebih dahsyat, mereka menjamu daging manusia itu kepada tetamu lain yang mabuk dalam satu majlis perkahwinan.
Pada tahun 2012, kastam Korea Selatan merampas hampir 17,500 pil daging bayi dan janin yang dikisar menjadi serbuk. Pil itu kononnya dapat meningkatkan tahap kesihatan.
Pakar Psikologi Jenayah Bersiri, Dr Deborah Schurman Kauflin, berkata manusia yang memakan daging atau darah manusia sebenarnya menghidap penyakit mental luar biasa.
Dalam esei bertajuk Why Cannibals Love Eating People, beliau menjelaskan penyakit mental itu menyebabkan pelaku kanibal berasa kepuasan dan keseronokan tidak terhingga jika dapat melakukan perbuatan terkutuk itu.
Malah, mereka juga bangga dapat melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan manusia lain. Kepuasan, keseronokan dan rasa bangga akhirnya menyebabkan mereka ketagih untuk terus mengulangi jenayah itu. Selain itu, terdapat juga pelaku kanibal yang bertindak akibat terlalu taksub terhadap sesuatu kepercayaan karut.
Justeru, Hikayat Raja Bersiong secara tidak langsung sebenarnya sudah merekodkan perlakuan kanibal yang pernah berlaku di negara kita pada zaman silam. Bagaimanapun, tinjauan menerusi portal kesihatan mendapati tiada kaitan antara amalan meminum darah manusia dengan tumbuhnya siong.
Sebaliknya, kajian mendapati darah manusia bahaya untuk diminum kerana 'bertoksik' disebabkan unsur besi di dalamnya tidak dapat dikumuh badan manusia. Akibatnya, pihak yang meminum darah manusia berisiko mengalami haemochromatosis yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

BAGI peminat sastera rakyat dan cerita legenda, kisah kekejaman Raja Bersiong yang memakan darah manusia pastinya sering menarik perhatian. Bukan setakat kekejamannya, tetapi persoalannya ialah sama ada kisah itu benar-benar berlaku atau hanya cerita lisan yang diturun- temurunkan untuk hiburan bagi mengisi masa senggang. Kewujudannya hanya berdasarkan cerita legenda, dan tiada bukti fizikal.

Copy and paste: 12/12/2020 : 26 Rabiulakhir 1442H: 1.51 pm

 

No comments:

Post a Comment