ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 4 December 2020

HATI PERLU DI TARBIAH DAN DIJAGA DENGAN BAIK


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT akan mempersoal hati manusia ketika dia datang bertemu dengan-Nya pada hari kiamat mengenai apa dilakukan semasa di dunia. Hal ini ditegaskan Allah SWT menerusi ayat 36 surah al-Israa maksudnya: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. "

Ini kerana hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengeluarkan arahan terhadap bala tenteranya. Dia boleh bertindak untuk menerus atau memberhentikan sesuatu peperangan jika dia melihatnya tidak memberi apa-apa keuntungan.

Nabi SAW. menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruhnya anggota manusia, tetapi jika sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya, itulah hati manusia.

Paling penting, setiap mukmin perlu mencari jalan bagaimana mereka dapat meluruskan hati mereka daripada terkena penyakit berbahaya yang boleh mencacatkan hubungan mereka dengan Allah SWT pada hari kiamat.

Terdapat tiga jenis hati manusia iaitu :
Pertama : Hati yang sejahtera, 
Kedua : Hati yang sakit.
Ketiga : Hati yang mati.

Huraiannya :

Pertama : Hati yang sejahtera.

Hanya hati yang sejahtera sahaja dapat menyelamatkan kita semasa berada di hadapan Allah SWT di hari akhirat nanti.

Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera.

Ini ia dirakam menerusi ayat 88-89 surah as-Syu'araa yang bermaksud: "Iaitu pada hari di mana harta dan anak-anak tidak berguna. Melainkan mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera). "

Iaitu sejahtera, bersih dan selamat daripada penglibatan dalam perkara syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT.

Hati yang sejahtera adalah hati yang terselamat daripada menuruti hawa nafsu serakah yang menyalahi perintah Allah SWT, tidak terjebak dalam perlakuan syirik kepada-Nya, tidak melakukan tindakan yang menyalahi ajaran Rasul-Nya. Ia adalah hati yang sentiasa tunduk kepada kehendak Allah, mencintai-Nya lebih daripada isi dunia, takut kepada seksaan-Nya, rindu untuk menemui-Nya, ikhlas kerana-Nya, mengasihi seseorang mukmin dan membencinya kerana-Nya, sentiasa sokong dan cenderung kepada hukum-hakam- Nya, terselamat daripada jangkitan virus penyakit hati. Inilah hati yang hidup sejahtera, lembut, sedia menerima nasihat. Hati yang sejahtera juga akan cinta kepada kebenaran dan akan memilih hanya pemimpin yang amanah, beriman dan bertakwa bukannya pemimpin yang fasik dan munafik.

Kedua : Hati yang sakit.

Hati yang sakit mengakibatkan pandangan dan tanggapan hati terhadap sesuatu tidak betul. Hati yang sakit menyebabkan kebenaran tidak dapat dilihat walaupun ianya merupakan satu kebenaran, hati yang sakit melihat kebatilan sebagai satu kebenaran, atau ia melemahkan pemahamannya terhadap sesuatu kebenaran lalu mematikan hatinya untuk menerima kebenaran.

Hati yang sakit menyebabkan hati membenci kebenaran yang memberi kebaikan kepadanya. Hati yang sakit menyukai kebatilan sedangkan kebatilan itu akan memudaratkannya. Hati yang sakit juga tidak tahu memilih antara kebenaran dan kebatilan, akhir cenderung kepada kebatilan kerana mengikut hati dan perasaan.

Justeru orang yang hatinya sakit sukar untuk melihat kebenaran sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan. Apabila melihat sesuatu dia akan melihat manusia yang melakukan atau kejadian semulajadi, lupa bahawa Allah s.w.t yang sebenarnya menjadikan tiap sesuatu. Apabila ditimpa bala dan bencana, mereka melihat manusia yang menyebabkan bala bencana tetapi mereka tidak nampak ia merupakan qada' dan qadar dari Ilahi.

Hati yang sakit adalah hati yang tidak konsisten, adakalnya cenderung kepada kebaikan dengan mendengar nasihat penceramah dan pada masa sama cenderung kepada kejahatan, inilah hati jenis sekejap baik sekejap jahat.

Ketiga : Hati yang mati

Hati yang mati adalah hati yang berlawanan dengan hati yang sejahtera iaitu membiarkan untuk tidak terus mengabdikan sebagai hamba Allah, menuruti hawa nafsu, menyanggah hukum-hukum- Nya, membenci golongan yang menyeru kepada kebaikan, menghalang majlis-majlis ilmu, tidak mahu menerima nasihat yang baik malah melawannya, bersahabat dengan orang-orang jahat. Itulah hati yang mati dengan Islam.

Ciri-ciri hati yang mati.

Orang yang hatinya mati ialah orang yang tidak menerima iman dan hidayah Allah SWT. Itulah orang-orang kafir dan musyrik yang dimurkai Allah SWT. Justeru antara sifat-sifat orang yang hatinya telah mati ialah seperti berikut;

1. Menolak keimanan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta perkara-perkara yang wajib di imani sebagai orang Islam.
2. Menyekutukan Allah SWT.
3. Menolak ajaran Islam dan memilih kekufuran.
4. Tidak ada perasaan rasa bersalah apabila melakukan dosa dan maksiat.
5. Menjadikan akal dan fikiran dan logik semata-mata dalam membuat penilaian dan keputusan.
6. Menjadikan dunia sebagai matlamat hidup mereka.
7. Tidak mempercayai dosa dan pahala serta kehidupan alam akhirat.
8. Sentiasa melakukan penindasan dan kezaliman di atas muka bumi.
9. Tidak mengenal halal dan haram dalam kehidupan mereka.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita menjaga hati kita dengan iman dan takwa. Kita didik hati kita supaya sentiasa yakin dan reda dengan ketetapan dan takdir Allah SWT. Hati yang sentiasa melalui proses tarbiah ini akan menjadi hati yang hidup, hati sejahtera dan hati yang bersih. Hati ini sahaja akan dijemput oleh Allah SWT untuk masuk ke dalam syurga-Nya seluas langit dan bumi.

Jauhkanlah diri kita daripada hati yang sakit kerana hati yang sakit adalah hati orang fasik dan orang derhaka, ianya berada didalam keadaan merbahaya kerana bila-bila masa hati yang sakit ini akan jadi mati, jika hati sudah mati maka pintu taubat dan hidayah semakin jauh dan akan mudah tergelincir ke neraka.

Minta dijauhi Allah SWT daripada hati yang mati kerana hati ini adalah hati orang kafir dan munafik yang akan dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam.


Copy and paste:
4/12/2020 : 19 Rabiulakhir 1442H: 8.05 pm

No comments:

Post a Comment