ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 10 December 2020

Amanat Seorang Ayah Bernama Laksamana Zheng He

Oleh Zhang Faris : FB Neo Melayu

Laksamana Zheng He, atau dalam bahasa kita Cheng Ho, merupakan seorang sida-sida. Oleh sebab ini, beliau tidak dapat mempunyai anak kandung mahupun berkahwin. Sungguhpun demikian, pada penghujung usianya, abang sulungnya Ma Wenming 马文铭 memberikan kepadanya seorang anak sulung bernama Ma Ci 马赐 (nama lain Ma Enlai 马恩来). Anak angkat ini diubah nama keluarganya menjadi nama Zheng Ci 郑赐.
Digembirikan menjadi sida-sida merupakan antara hukuman yang paling hina, kerana kecacatan anggota badan yang merencatkan kebolehan meneruskan zuriat. Namun dengan izin Allah, generasi Laksamana Zheng He berpanjangan dan bertebaran di muka bumi hingga ke hari ini walaupun melalui zuriat secara tidak langsung.
Dalam Kangxi Jiangning Zhi (康熙江宁府志 : Rekod Jiangning di era Maharaja Kangxi), tercatat ayat demikian:
“净觉寺在府冶三山门内,洪武年敕赐,宣德年重修,郑和题请子孙世守之。”
(Masjid Jingjue terletak di pekan dalam Sanshanmen, Fuzhi. Dibina pada zaman Maharaja Hongwu dan diubahsuai pada zaman Maharaja Xuande. Zheng He berpesan kepada anak dan cucunya agar menjaganya [masjid tersebut])
Pesanan ini, nampak ringkas, dan tidak tercatat dalam mana-mana wasiat atau dokumen peribadi keluarganya. Petikan ini dijumpai dalam rekod kerajaan Dinasti Qing, yakni dinasti selepas Dinasti Ming yang Zheng He menumpahkan kesetiaan penuh kepadanya.
Melihat betapa ramainya waris Zheng He, mengingatkanku kepada firman Allah kepada Nabi Muhammad ﷺ agar tidak bersedih kerana terputusnya waris secara langsung:
اِنَّاۤ اَعۡطَيۡنٰكَ الۡكَوۡثَرَؕ‏﴿۱﴾
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانۡحَرۡؕ‏﴿۲﴾
اِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الۡاَبۡتَر﴿۳﴾
"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)."
[ Surah Al-Kautsar, 108:1-3 ]
Masjid Jingjue menjadi saksi kepada warisan Islam tinggalan Zheng He yang masih berdiri sehingga kini dan dijaga oleh waris-warisnya. Sesungguhnya, menyambung amanat moyang dalam perkara yang mendekatkan diri kepada Allah merupakan tugasan mulia. Hal demikian seiring dengan sabda Nabi.
Abu Usaid al-Saidi berkata, 'Ketika itu ada datang seseorang dari Bani Salimah, ia berkata, “Wahai Rasulullah, apakah masih ada bentuk berbakti kepada kedua orang tuaku ketika mereka telah meninggal dunia?”
Baginda menjawab:
"‏ نَعَمِ الصَّلاَةُ عَلَيْهِمَا وَالاِسْتِغْفَارُ لَهُمَا وَإِنْفَاذُ عَهْدِهِمَا مِنْ بَعْدِهِمَا وَصِلَةُ الرَّحِمِ الَّتِي لاَ تُوصَلُ إِلاَّ بِهِمَا وَإِكْرَامُ صَدِيقِهِمَا ‏"‏ ‏
"Ya, ada empat cara yang boleh kamu terus lakukan walaupun mereka telah meninggal dunia:
• Pertama, jangan tinggalkan di dalam doa kamu supaya sentiasa menyebut mengenai mereka.
• Kedua, tunaikanlah janji yang ingin dipenuhi oleh mereka ketika hidup dahulu, tetapi tidak berkesempatan untuk melakukannya. Pahala daripada amalan perbuatan baik yang dilakukan akan sampai pahalanya kepada mereka yang sudah meninggal dunia.
• Ketiga, muliakanlah sahabat dan teman yang baik terhadap arwah sewaktu dia hidup dahulu, kerana dengan berbuat demikian, Allah akan tunjukkan amalan itu kepada arwah.
• Keempat, sambung silaturahim yang menjadikan kamu dan dia tidak mendapat kasih sayang, melainkan daripada kedua-duanya."
[HR. Abu Daud no. 5142 dan Ibnu Majah no. 3664. Hadits ini disahihkan oleh Ibnu Hibban, Al-Hakim, juga disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahwa sanad hadits ini hasan]
Selain itu, Ibnu Dinar meriwayatkan, ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma pernah berkata: "Sesungguhnya ayah Badui tersebut adalah kenalan baik (ayahku) Umar bin Al-Khattab. Sedangkan saya pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
أَبَرُّ الْبِرِّ أَنْ يَصِلَ الرَّجُلُ وُدَّ أَبِيهِ
"Sesungguhnya sebaik-baik bentuk berbakti (berbuat baik) adalah seseorang menyambung hubungan dengan keluarga dari kenalan baik ayahnya"
[Sahih Muslim no. 2552, status Sahih]

Rujukan:
• 人民网: 郑和下西洋与净觉寺传说

http://www.people.com.cn/.../2013/0824/c25408-22679341.html 

Copy and paste: 10/12/2020 : 24 Rabiulakhir 1442H: 6.00 pm



No comments:

Post a Comment