ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 5 November 2020

PENDEKAR MELAYU TERAWAL DALAM CATATAN SEJARAH

Kredit: Hasanuddin Yusof - FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)

Dari pengamatan saya, pendekar Melayu terawal dalam catatan sejarah ialah catatan zaman dinasti Tang tentang seorang pendekar Melayu yang masyhur di China pada abad ke-9 Masihi.

Seorang penulis hikayat zaman dinasti Tang yang bernama Pei Xing (825-880 M) telah menulis tentang seorang pendekar yang bernama Mo Le (dalam sebutan China) yang berbangsa Kun Lun (Melayu), telah menetap di Guang Dong dan menjadi guru dan pendekar seni mempertahankan diri yang masyhur.

Pei Xing mencatatkan tentang kehebatan Mo Le dalam ilmu seni bela diri iaitu antaranya Mo Le seorang yang kebal, mampu terbang dari bumbung ke bumbung dan memiliki kebolehan yang luar biasa.

Melihat tentang betapa aktifnya pelayar-pelayar Melayu Srivijaya ke China pada abad ke9 Masihi, maka Mo Le juga berkemungkinan besar berasal dari wilayah di bawah kekuasaan Srivijaya.

Seperti sedia maklum, ilmu seni beladiri Melayu secara umumnya ialah silat. Walaupun saya meyakini bahawa perkataan silat itu wujud sejak kedatangan Islam (dari perkataan صلة), namun ilmu seni bela dirinya telah wujud jauh sebelum zaman Hindu-Buddha, sebelum ianya berkembang sehingga ke zaman kedatangan Islam.

Pembuatan senjata-senjata besi zaman prasejarah, keperluan kepada ilmu pertahanan diri dan pemerhatian pada gerakan-gerakan manusia dan haiwan di alam khatulistiwa membawa kepada pembentukan seni silat sejak sebelum zaman Masihi lagi.

Tambahan pula ilmuwan seperti Heine-Geldern dan Majumdar turut mengakui bahawa pembuatan keris dan pedang di Alam Melayu telah berlaku jauh sebelum kedatangan Hindu-Buddha dari tanah besar India ke wilayah ini.

Gambar : Lakaran tentera Srivijaya sedang bersilat dan bertempur di dinding Candi Borobudur. Kelihatan jelas teknik kuda-kuda serta gerakan elak dan serang.

Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Copy and paste: 5/11/2020 ? 20 Rabiulawal 1442H : 9.10 pm

No comments:

Post a Comment