ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 25 November 2020

KAEDAH DAN DISIPLIN KETIKA MENGGUNAKAN HADIS-HADIS NABI S.A.W


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sabda Rasulullah SAW :

4- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. (الإمام مالك)

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunah Rasulullah "
(Hadis Riwayat Imam Malik).

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa sumber kedua selepas al-Quran adalah sunah Rasulullah SAW. Semua amalan sunah baginda SAW dijelaskan dalam hadis-hadis Nabawi. Apabila kita membicarakan hadis Rasulullah SAW maka hadis boleh dibahagikan kepada 4 jenis :

1. Hadis Sahih

2. Hadis Hasan

3. Hadis Dha’if

4. Hadis Palsu (Mauduk -bukan hadis)

Ramai di kalangan kita yang suka mengemukakan “hadis Nabi SAW” kemudian di belakang “hadis” tersebut ditulis “AL-HADIS”.. Mungkin bagi sesetengah pihak tidak melihat ini sebagai satu kesalahan, tetapi darisegi ilmu hadis hanya menulis " AL-HADIS" masih belum sempurna kerana tidak ada penjelasan mengenai kedudukan hadis tersebut. Seelok-eloknya perkara sebegini diperbetulkan.. Ini kerana banyak yang didakwa sebagai “AL-HADIS” itu sebenarnya bukanlah hadis Nabi SAW.

Terdapat satu hadis dari Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya, tentang keadaan di akhir zaman, di mana akan ada pendusta (dajjalun kadzdzabun) yang akan membawakan hadis-hadis palsu.. Dalam hadis tersebut, Nabi SAW memberikan isyarat kepada kita supaya berhati-hati dalam dakwaan sesetengah pihak memalsukan hadis, “La yudhillunakum, wa la yaftinunakum – Jangan biarkan mereka menyesatkan kalian, dan jangan biarkan mereka menimpakan fitnah atas kalian.“

Namun sayangnya, tidak ramai antara kita yang sedar tentang perkara ini, dan secara tidak sengaja telah terjerumus ke dalam fitnah tersebut.. Bahkan lebih parah apabila mereka bukan sahaja percaya bahawa “hadis” tersebut adalah hadis, tetapi mereka turut memainkan peranan mereka dalam menyebarkan “hadis” tersebut..

Oleh itu kalian semua perlulah berhati-hati dan menjaga beberapa disiplin apabila hendak menulis atau menyebarkan sesuatu hadis daripada Nabi SAW.

Terdapat dua perkara penting yang perlu diambil perhatian serius iaitu :

Pertama: Apabila kalian ingin memetik mana-mana hadis, alangkah baiknya sekiranya kalian dapat menyertakan daripada kitab mana hadis tersebut diambil.. Misalnya dengan menulis, “Hadis Riwayat Al-Bukhari”, “Hadits Riwayat Abu Daud”, dll..

Perkara ini penting dalam memastikan tiadanya sebarang unsur penipuan dalam memetik mana-mana hadis Nabawi.. Kalian harus sedar, di sana adanya sekelompok manusia yang berniat buruk terhadap agama ini, lantas mereka mengatakan, “Hadis ini ada dalam kitab itu dan ini,” namun setelah diperiksa kembali, ternyata dakwaan tersebut tidak benar..

Begitu juga ketika sesuatu hadis yang dibacakan itu agak janggal bagi kita.. Sesuatu hadis yang tidak pernah kita dengar, tidak bererti hadis itu tidak wujud atau pun tidak sahih.. Jangan pula atas nama “sikap berhati-hati”, tanpa kita sedari kita telah menolak sebahagian hadis sahih.. Oleh itu, kaedah ini secara tidak langsung akan memudahkan urusan kita dalam mencari hadis tersebut dalam kitab tertentu..

Kedua: Apabila kalian memetik mana-mana hadis, alangkah baiknya sekiranya kalian boleh membawakan mana-mana pendapat ulama yang muktabar mengenai status hadis tersebut, sama ada sahih, hasan, dha’if, mauduk dll.. Ini bagi menghindarkan kita daripada menjadi agen penyebaran hadis palsu dalam masyarakat Islam hari ini..

Al-Imam Ibnu Hibban dalam kitab shahihnya (iaitu Shahih Ibnu Hibban), telah meletakkan satu pasal yang beliau namakan: “Pasal Menyebut Ketetapan Memasuki Neraka Bagi Sesiapa yang Menyandarkan Sesuatu kepada Al-Musthafa S.A.W, Sedangkan Dia Tidak Mengetahui Tentang Keshahihannya.”

Al-Imam Ibnu Hajar Al-Haitsami ditanya tentang seorang khatib yang menaiki mimbar setiap Jumaat dan meriwayatkan hadis-hadis tanpa diterangkan sumber dan kedudukannya, maka jawab beliau:

“Hadis-hadis yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadis, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadis. Ada pun jika dia hanya bergantung kepada kitab atau ucapan yang penulisnya bukan ahli hadis , maka tidak halal (berbuat demikian).

Sesiapa yang melakukannya ditakzirkan dengan keras. Inilah kebanyakan khatib. Mereka semata-mata hanya melihat khutbah yang mengandungi hadis-hadis lalu mereka pun hafal. Mereka berkhutbah menggunakan hadits-hadits tersebut tanpa mengetahui asal usulnya. Maka wajib atas pemerintah di setiap negeri menghalang para khatib daripada berbuat demikian.”

Seorang ulama hadis Syam, Badruddin Al-Hasani telah berkata: “Tidak harus menyandarkan sesebuah hadis kepada Rasulullah SAW kecuali apabila dinyatakan kesahihannya oleh salah seorang huffaz yang dikenali (huffaz ialah orang yang begitu luas ilmunya tentang hadis dan seni ilmunya, sehingga apa yang diketahuinya mengenai hadis dan kecacatan hadis lebih banyak daripada apa yang tidak diketahuinya). Sesiapa yang berkata: ‘Rasulullah telah bersada…’ sedangkan dia tidak tahu kesahihan hadis tersebut menerusi salah seorang huffaz, dibimbangi dia termasuk dalam hadis : 

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka." 
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Cara yang paling mudah untuk memenuhi kedua-dua syarat di atas adalah dengan memetik hadis-hadis yang tertulis dalam Sahih Al-Bukhari dan juga Sahih Muslim, kerana hadis-hadis yang terkandung dalam kedua-dua kitab tersebut telah disepakati kesahihannya oleh para ulama (walau pun ada beberapa hadis yang telah dipertikaikan, namun majoriti ulama mengatakan semua hadis-hadis riwayat Bukhari dan Muslim adalah sahih, wallahu a’lam..

Di dalam kitab-kitab lain seperti Sunan At-Tirmidzi, Sunan Abu Dawud, Sunan An-Nasa’i, Sunan Ibnu Majah, dll) didapati terkandung hadis-hadis yang tidak sahih.. Oleh itu, cara yang paling mudah, rujuklah Kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim menyebabkan kita tidak akan ragu-ragu akan kesahihan hadis yang kita kemukakan.

Terdapat riwayat dalam Sunan Ad-Darimi, dengan sanad yang sahih, yang menceritakan bagaimana Ibnu Mas’ud r.a. melarang sekelompok manusia yang berzikir kepada Allah dalam keadaan yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi SAW..

Menurut kelompok tersebut, mereka hanya ingin berbuat baik.. Jawab Ibnu Mas’ud kepada mereka: “Wa kam min muridillilkhair lan yushibahu – Dan betapa ramai yang bertujuan baik tetapi tidak menepatinya.”

Selain itu, sekiranya anda membaca Sahih Al-Bukhari mahu pun Sahih Muslim, ada satu riwayat yang menceritakan bahawa ada beberapa sahabat Nabi SAW yang ingin berpuasa sepanjang tahun, ada pula yang ingin solat malam tanpa tidur, dan ada juga yang ingin menjauhi wanita untuk menumpukan ibadah kepada Allah.. Ketiga-tiga amalan tersebut tidaklah dilakukan oleh mana-mana manusia, melainkan sudah pasti niat mereka ingin mendekatkan kepada Allah semata-mata.. Namun, Rasulullah S.A.W melarang ketiga-tiga sahabat tersebut daripada melakukan amalan-amalan tersebut.. Ternyata, niat yang baik, sekiranya tidak bertepatan dengan sunnah Nabi SAW, tidak akan diterima oleh Allah..

Sekiranya itu adalah keadaannya, maka menjadi tanggungjawab kalian untuk memastikan bahawa hadis tersebut memenuhi kedua-dua syarat di atas, kemudian katakanlah, “Nabi SAW bersabda maksudnya : …”

Ingatlah kata-kata Ibnu Hajar Al-Haitsami di atas: “Hadis-hadis yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadis, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadis.”

Begitu juga dengan kata-kata Badruddin Al-Hasani: “Tidak harus menyandarkan sesebuah hadis kepada Rasulullah SAW kecuali apabila dinyatakan kesahihannya oleh salah seorang huffaz yang dikenali.” Wallahu a’lam..

(Artikal ini di petik daripada wall Ridzuan Zulkifly bertajuk "Jagalah displin ini" )


Copy and paste: 25/11/2020 @ 9 Rabiulakhir 1442H: 4.24 pm

No comments:

Post a Comment