ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 25 October 2020

Sejarah Kedah Tua dalam sastera India

Oleh Siti Hawa Yusop
Berita Harian Online : 7 Disember 2019

KUALA LUMPUR: Maklumat mengenai aspek politik dan pentadbiran Kedah Tua adalah sangat sedikit jika dibandingkan dengan Kesultanan Melayu Melaka.

Meskipun terdapat sumber sastera sejarah seperti al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan Hikayat Merong Mahawangsa memiliki naratif tersendiri mengenai Kedah Tua tetapi kesahihannya masih belum boleh dibuktikan secara keseluruhan melalui data arkeologi.

Sehingga kini, kebanyakan data sahih yang diperoleh adalah daripada sumber India.

Hal ini berdasarkan, kedudukan pelabuhan Kedah Tua di pintu Selat Melaka serta Teluk Benggala dan Pantai Timur India, menyebabkan Kedah Tua lebih menjadi pilihan pedagang India dalam hal perdagangan berbanding pelabuhan lain di Kepulauan Melayu.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nasha Rodziadi Khaw, berkata perhatian diberikan pedagang dan pengembara India itu secara tidak langsung menyebabkan wujudnya sumber India yang banyak mengenai kerajaan Kedah Tua misalnya dalam bentuk prasasti kerajaan juga karya sastera.

Nasha berkata, antara sumber India termasuk syair Pattinappalai dan Sillappadikaram dari abad kedua Masihi, Kisah Jataka (abad keempat Masihi), Kathasaritsagara dan Kaumudimahotsava (abad kelapan Masihi) serta Parunkathai (abad ke-10 Masihi).

“Bagaimanapun, penggunaan teks terbabit sebagai sumber sejarah masih boleh diperdebatkan disebabkan tujuan naratif karya sastera yang lebih kepada kesenian dan bukan bertujuan sebagai rekod sejarah.

“Hal ini sedikit berbeza untuk prasasti memandangkan ia dokumen rasmi yang cuma boleh dikeluarkan pihak pemerintah dan tidak lagi boleh dipinda selepas dipahat pada sesuatu masa,” katanya pada Bicara @ Muzium: Negara Kota Yang Hilang yang dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Baharin A Kasim di Auditorium JMM, di sini.

Tambah Nasha, keadaan ini menyebabkan prasasti menjadi sumber terpenting yang mampu memberi gambaran paling konkrit mengenai masa lampau Kedah Tua.

Walaupun setakat ini masih belum ditemui sebarang prasasti di Lembah Bujang mengenai perkembangan Kedah Tua, gambaran sedemikian ditemui pada Prasasti Kepingan Leiden Besar di India Selatan.

Nasha berkata, sehingga kini, prasasti mengenai Kedah Tua yang datang dari India kebanyakannya dikeluarkan oleh raja dari Kerajaan Chola. Hal ini boleh dikaitkan dengan hubungan politik atau ekonomi dengan empayar yang menguasai Kedah Tua sejak zaman Sanggam lagi.

Prasasti Kepingan Leiden Besar itu menurut Nasha, dikeluarkan Raja Rajaraja I yang dipahat menggunakan bahasa Sanskrit dan Tamil sekitar 1006 Tahun Masihi.

Berdasarkan penelitian semula terhadap terjemahan awal prasasti itu, dapat disimpulkan mengenai sejarah politik dan hubungan antara kerajaan Kedah Tua, Srivijaya dan Chola.

Pemerintah Chola katanya, memberi beberapa gelaran kebesaran kepada Raja Srivijaya dan dalam konteks politik antarabangsa, ia menunjukkan pengiktirafan Chola kepada Srivijaya sebagai pemerintah yang memiliki kedudukan setara dengannya.

“Di samping itu, pemerintah Srivijaya turut diberi gelaran Makara Dhvaja bermaksud pemegang lambang Makara, iaitu makhluk laut mistik yang menjadi tunggangan Dewa Varuna, iaitu Dewa Laut dalam agama Hindu.

“Gelaran itu menunjukkan penguasaan kerajaan Srivijaya terhadap laut dan ia selari dengan data sejarah dan arkeologi yang menunjukkan penguasaannya kepada jaluran perdagangan maritim,” katanya.

Nasha berkata, daripada aspek politik, kedudukan Kedah Tua pada awal kurun ke-11 Masihi dapat ditafsir menerusi satu gelaran diterima Raja Chulamanivarman yang bermaksud “Pemerintah kerajaan Srivijaya yang menjalankan pentadbiran di Kedah Tua”.

Pemerhatian semula terhadap beberapa perkataan Sanskrit memberi terjemahan alternatif yang lain.

Frasa ‘kaṭaha-adhipatyam-atanvat’ misalnya dapat dipecahkan kepada tiga elemen utama, iaitu kataha (Kedah), adhipatyam (kata nama adhipati) dan atanvata (kata kerja ātanvate).

“Perkataan adhipati bermaksud kekuasaan, kepunyaan dan atanvate bermaksud meluaskan, melaksanakan, menguatkuasakan dan apabila digabung diterjemahkan semula sebagai yang meluas atau melaksanakan kekuasaannya di Kedah Tua,” katanya.

“Dalam ayat seterusnya pada prasasti itu, Chulamanivarman hanya dirujuk sebagai Raja Kedah dan ini jelas menunjukkan cuma pada kurun ke-11 Masihi, Kedah Tua berada di bawah pemerintahan langsung kerajaan Srivijaya,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Baharin berkata Bicara @Muzium: Negara Kota Yang Hilang dalam konteks ini merujuk kepada kerajaan atau negara kota yang pernah menjadi pusat pemerintahan sesebuah kerajaan yang hilang pada zaman sejarah moden.

“Sehingga kini, bukti kewujudan kerajaan awal di Nusantara yang bersifat negara kota masih dapat dilihat daripada beberapa aspek seperti binaan dan tinggalan kota, candi serta batu bersurat dalam bentuk bahasa Melayu kuno dan Sanskrit serta artifak.

“Kota ini wujud sekitar abad satu hingga 14 Masihi dan mempunyai pengaruh besar daripada aspek politik, ekonomi dan sosial merangkumi kebudayaan serta kepercayaan masyarakat pada zaman itu,” katanya.

Copy and paste: 25 Oktober 2020 : 8 Rabiulawal 1442H; 10.11 am

No comments:

Post a Comment