ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 2 October 2020

MERAIH HIDAYAH

Hidayah dari segi bahasa ialah "Petunjuk", manakala dari segi istilah ialah petunjuk Allah ke arah kebenaran. 

Allah menganugerahkan hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya agar beriman dan mentaati perintah-Nya, untuk menuju ke arah jalan yang benar dan diredhai-Nya. 

Hidayah datang dari Allah SWT dan bukan diberi oleh manusia. Namun manusia perlu berusaha untuk mencapainya. 

Firman Allah SWT didalam surah Al-Fatihah ayat 6 yang bermaksud, "Tunjukilah kami jalan yang lurus."

Hidayah terbahagi kepada 2 kategori:

  1. Hidayah dengan makna menunjuk jalan ke arah jalan yang benar dan memberi bimbingan untuk melakukan kebaikan. Inilah adalah tugas para rasul diikuti oleh para ulama dan pendakwah selepas tidak ada lagi para nabi.
  2. Hidayah memberi petunjuk dan menerima kebenaran. Hidayah jenis ini hanya Allah SWT saha yang berhak untuk memberinya. 
Hidayah juga terbahagi kepada dua iaitu:
  1. Hidayah Dilalah - bersifat umum dan ianya berlaku kepada semua manusia. 
  2. Hidayah Ma'unah - diberikan khusus bagi mukmin yang konsisten mengikut manhaj Allah SWT. 
Sesungguhnya hidayah itu perlu dicari dan bukannya dinanti. Ianya ibarat satu papan tanda yang akan menunjukkan kita ke arah destinasi yang perlu kita tuju. 

Setiap Muslim pasti bercita-cita untuk mendapat hidayah petunjuk ke jalan yang benar, "Al-Sirat Al-Mustaqim" iaitu matlamat atau cita-cita setiap muslim. 

Diantara kaedah yang boleh membantu seseorang itu untuk mendapat petunjuk ialah: 

Pertama : Berlapang dada dan terbuka untuk menerima Islam dan segala ajarannya. Kunci untuk berlapang dada dan menerima Islam ialah Tauhid mengEsakan Allah tanpa dicampurkan dengan sebarang unsur-unsur syirik kepada-Nya. 

Kedua: Berterusan dalam berzikir kepada Allah SWT dalam setiap keadaan kerana zikir itu mengikat hati kepada Allah dan sumber utama untuk ketenangan hati dan kelapangan dada. 

Ketiga: Membaca Al-Quran, bertadabbur dengan memerhati makna dan maksudnya. 

Keempat: Berfikir tentang kejadian makhluk Allah, melihat kepada kekuasaan ciptaan langit dan bumi bagi menambahkan keimanan dan kekusyukan kepada Allah SWT. 

Kelima: bersahabat dengan orang yang baik dan soleh, kerana seseorang itu akan terikut-ikut dengan cara dan gaya hidup temannya. 

Keenam: Berdoa yang merupakan senjata bagi mukmin ketika didalam kesenangan dan kehebatan. Doa dan istiqomah adalah salah satu sebab dan cara untuk meraih hidayah dari Allah SWT. 

Ketujuh: Menuntuk Ilmu dan sentiasa melakukan amal kebajikan. 

Dr. Wahbah az-Zuhaily dalam tafsir Al-Munir membahagikan hidayah kepada beberapa jenis iaitu : 

1. Hidayah Ilhami - petunjuk yang wujud daripada perasaan mengikut fitrah atau tabiat semenjak lahir ke dunia seperti lapar, dahaga, panas, sejuk dsb. Ia juga dikenali sebagai naluri yang sangat diperlukan oleh setiap manusia dalam menjalani kehidupan di dunia ini. 

2. Hidayah Hawasi : petunjuk pancaindera yang lima iaitu mata, hidung, telinga. lidah dan kulit. Manusia menggunakan pancainderanya untuk berinteraksi dengan persekitarannya dan kehidupan akan menjadi sempurna dan lengkap. 

3. Hidayah 'aqli (akal): Sesuatu yang diberikan khusus untuk manusia. Dengan akal, manusia dapat berfikir, menilai sesuatu dan meneroka ilmu sedalam-dalamnya. 

4. Hidayah Taufiq: petunjuk yang mendorong manusia untuk melaksanakan segala tuntutan agama. Apabila memperolehi hidayah taufiq, seseorang itu akan mampu meninggalkan larangan dan menjalankan segalam arahan Allah SWT. 

Hati manusia yang semulajadi mudah untuk berbolak-balik. Dengan itu manusia perlu memohon hidayah secara berterusan tanpa mengenal erti jemu. 

Ulama Indonesia, Aa Gym menyatakan "Hidayah itu hadir bagaikan matahari. Jika pintunya dibuka, maka teranglah hatinya. Namun, jika ianya tertutup, maka berdoadan berusahalah untuk membuka jendela hati agar karektor diri itu dapat dibangunkan. "

Didalam Al-Quran dijelaskan ada 3 kelompok manusia yang tidak mendapat hidayah: 
  1. Kaum yang kafir (Surah al-Nahl ayat 107)
  2. Orang yang fasik (Surah al-Maaidah ayat 108)
  3. Orang yang zalim (Surah al-Baqarah ayat 258)
Walaupun hidayah merupakan anugerah yang Allah bahagikan kepada sesiapa yang dikehendakinya, namun kita disaran untuk berdoa memohon kepada Allah SWT meminta petunjuk dan hidayah dari-Nya. 

Sahid al-Fadilah Dr Abdul Hayel bin Abdul Shukor dalam kitab Pedoman Muttaqin menyebut:
"Berdoa kepada Allah agar ditetapkan di atas jalan yang lurus merupakan prasyarat baagi mendapat kelurusan dalam perjalanan menuju Allah SWT. "

Antara doa yang diajarkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW ialah ,
"Ya Allah! Wahai Tuhan yang membalik-balikkan hati, tetapkan hatiku atas agama-Mu. " Aamiin.....

ALLAHU AKBAR

Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, KL
2 Oktober 2020 / 14 Safar 1442H : 9.59 am



No comments:

Post a Comment