ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 7 August 2020

Hubungan Kerajaan Uthmaniyyah, Alam Melayu-Acheh

Sumber : Ikatan Muslimin Malaysia

Perhubungan dunia melayu dan Tamadun Turk (sebelum Uthmaniyyah) telah bermula jauh sejak daripada pengakhiran kerajaan Abasiyyah kemudiannya Ibn Battuta mencatatkan dalam tulisannya ketika berhenti di Samudra-Pasai bahawa kehadiran orang Turk serta pengaruh mereka dalam kebudayaan di rantau ini pada tahun 1345 dan 1346. Tome Pires pula ketika melawat bandar Pasai 1511 menyebut bahawa terdapatnya pedagang dari ‘Rumi’ atau ‘Turki’ ketika berada disana.
Perhubungan secara rasmi diantara kerajaan Uthmaniyyah dan dunia melayu dicatatkan bermula pada abad ke 16 di bawah sultan Selim I dan perhubungan Uthmaniyyah bersama Kesultanan Acheh bermula lebih kurang pada tahun 1512-1520 dengan perdagangan rempah dan lada merupakan diantara bahan dagang terpenting antara Mesir dan Acheh sehinggakan apabila Portugis mula menjajah di alam melayu ini menyebabkan sumber pendapatan Mesir terjejas teruk (Mughul 1987:104).
Hubungan diantara Acheh dan Uthmaniyyah diperkukuhkan lagi dengan Sultan Acheh, Sultan Alauddin Kahhar, telah menghantar beberapa surat bagi memohon bantuan ketenteraan dan perlindungan daripada Portugis kepada Sultan Uthmaniyyah, Sultan Suleyman Qanuni, dan didalam satu surat dari Acheh kepada Daulah Uthmaniyyah pada tahun 1566 menggambarkan kepada kita bagaimana hubungan erat diantara alam melayu dan alam uthmaniyyah ini,
“ We sincerely request that your Imperial Majesty should no longer consider me, your servant in this land, to be an independent ruler, but instead to accept him as a poor, humble and down-trodden slave who lives thanks to the charity of your Imperial Majesty, Refuge of the World and Shadow of God [on earth], in no way different from the governors of Egypt and Yemen or the beys of Jiddah and Aden. “ [terjemahan oleh Giancarlo Casale,His Majesty’s servant Lutfi]
Uthmaniyyah dibawah Sultan Suleiman Al-Qanuni melihat diri mereka sebagai pelindung seluruh dunia islam kerana kekhalifahan mereka digabarkan oleh kerajaan-kerajaan di bawah Uthmaniyyah sebagai Zillulah Fil Ard (Naungan Allah di Bumi). Sebagai khalifah dunia islam mereka bertanggungjawab bagi memastikan laluan jemaah haji umat islam terjaga dan selamat dari sebarang ancaman. Keselamatan laluan perdagangan ke timur juga antara sebab mereka mula menyusun strategi maritim ke Timur. Hubungan yang baik diantara kesultanan acheh dan Uthmaniyyah ini dan sebagai pelabuhan dan lokasi Jemaah haji dari asia tenggara berkumpul memberikan Acheh gelaran oleh Uthmaniyyah yang dikenali sehingga kini sebagai “Serambi Makkah”.
Usaha menawan kembali Melaka dari Portugis juga menunjukkan keterlibatan dan usahasama diantara Acheh dan Uthmaniyyah bagi merbut kembali Melaka dari Portugis. Nuruddin Ar-Raniri, seorang ulama yang terkenal di alam melayu mencatatkan didalam karya beliau Bustan As-Salatin tentang hubungan akrab dan semangat jihad diantara kedua negara dalam melawan Portugis,
“Ia-lah yang mengadakan segala isti’adat kerajaan Aceh Daru’s-Salam dan menyuroh utusan kapada sultan Rum, ka-negeri Istanbul, kerana menegohkan ugama Islam. Maka di- kirim sultan Rum daripada jenis utus dan pandai yang tahu menuang bedil. Maka pada zaman itu-lah di-tuang orang meriam yang besar2. Dan ia-lah yang pertama2 berbuat kota di-negeri Aceh Daru’s-Salam, dan ia-lah yang pertama2 ghazi dengan segala kafir, hingga sendiri-nya berangkat menyerang Melaka” [Bustan As-Salatin, Fasal 13].
Konsep seperti ghazi/jihad merupakan antara aspek yang sering dikesampingkan dalam memahami keadaan, situasi dan pemikiran Daulah Uthmaniyyah dan Kesultanan Acheh kerana kajian sejarah yang masih dilihat samaada dari kacamata ‘eurocentric’ atau pergerakan sejarah ekonomi. Hubungan akrab dan peranan Daulah Uthmaniyyah dan Kesultanan Acheh ini jarang di tonjolkan dan dikisahkan dalam memahami hubungan antara Devlet-I Aliye Osmaniye (Uthmaniyyah), dan rantau alam melayu ini kerana kurangnya usaha-usaha untuk membesarkan kanta sejarah bagi meletakkan kedudukan alam melayu ini di dalam sejarah dunia dan sejarah umat islam .
Muhamad Amirul Asyraf
Penyelidik Tamadun ‘Devlet-I Aliye Osmaniyye’ (Uthmaniyyah
Copy and paste: 7 Ogos 2020 / 18 Zulhijjah 1441H : 7.35 pm

No comments:

Post a Comment