ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 29 July 2020

Tiada Bukti India Hindu Asal Di Malaysia!

Kredit : Buletin Istiqomah
SAYA pernah menghadiri Bicara Arkeologi Siri 4/2017 anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Muzium Arkeologi Lembah Bujang dari Kedah pada 27 Februari 2017.
Hati saya agak terpaut dengan sesi ceramah Dr. Nazaruddin Zainun bertajuk Warisan Hindu-Buddha Di Kedah Tua – Suatu Kritikan. Ceramah beliau lebih kepada penemuan bukti-bukti di sekitar Lembah Bujang setakat ini.
Dan apakah implikasi penemuan ini terhadap pendapat umum tentang warisan Hindu-Buddha di Lembah Bujang dan di empayar Kerajaan Kedah Tua secara amnya.
Dengan mengutarakan tujuh keperluan asas berdasarkan pendapat George Coedes dalam proses Indianisasi sesebuah kerajaan dan masyarakat setempat, Dr. Nazaruddin mengetengahkan bukti-bukti ini.
Beliau turut membincangkannya dan kemudian memberi peluang kepada hadirin untuk membuat kesimpulan peribadi di atas perbincangan tersebut.
Oleh itu, saya terpanggil untuk menulis artikel ini berdasarkan fakta dan juga kritikan peribadi saya dalam membahaskan kebenaran akan kewujudan warisan Hindu-Buddha yang diamalkan oleh penduduk setempat.
Sebelum saya buat kesimpulan itu, apakah fakta terkini tentang Lembah Bujang dan apakah tujuh elemen penting untuk menentukan bahawa sesebuah kerajaan lokal itu mengalami proses Indianisasi menurut Coedes?
Baca: Melayu Pendatang, Malaysia Tanah Air Kaum India
Juga: Konsep Alam Melayu Dari Sudut Sejarah
Elemen pertama yang perlu ada ialah; adakah Kerajaan Kedah Tua itu mengamalkan sistem beraja seperti di India yang menekankan kepada konsep devarāja atau bahasa mudahnya ‘raja itu mewakili tuhan’ atau god-king?
Pertamanya, bagaimana kita hendak melihat interpretasi devarāja di dalam sesebuah kerajaan? Devarāja adalah satu konsep di mana raja itu adalah yang paling agung, tiada yang lebih agung daripadanya di muka bumi.
Iaitu tuhan di bumi. Konsep ini hampir kepada konsep Chakravartin di India seperti terdapatnya binaan monumen pengasas Empayar Maurya (323 – 185 SM) iaitu Chandragupta Maurya yang besar.
Elemen devarāja dapat dilihat dengan jelas di Kompleks Percandian Angkor Wat di Kemboja. Diukir di dinding wat itu ialah susuk Suryavarman II yang lebih besar daripada subjeknya.
Wajah Jayawarman VII juga diukir dengan gah dan besar sekali di Candi Bayon. Ini adalah antara contoh devarāja yang boleh dilihat jelas pada Kerajaan Khmer Angkor.
Adakah bukti devarāja ini dapat dilihat di Lembah Bujang?
TIDAK! Tiada satu pun bukti devarāja yang ada di Lembah Bujang apatah lagi di seluruh Kedah Tua. Maka, kerajaan lokal Kedah Tua TIDAK mengalami Indianisasi.
Elemen kedua yang perlu ada menurut Coedes ialah bukti penerimaan ajaran Hindu-Buddha oleh penduduk lokal. Apakah contoh bukti penerimaan ini? Contoh yang paling mudah ialah Kitab Sang Hyang Kamahayanikan.
Ia ditulis oleh Mpu Shri Sambhara Surya Warama dari Kerajaan Mataram Kuno di Jawa. Kitab suci ini menceritakan tentang ajaran Mahayana dan membicarakan dewa-dewa dalam Mazhab Mahayana.
Sebutan yang terdapat di Candi Borobudur seperti Ruphadatu dan Kamadhatu juga terdapat di dalam kitab ini.
Ini adalah contoh di mana kerajaan lokal itu sudah menyerap kepercayaan dan juga mengamalkan cara hidup Hindu-Buddha. Sinkretisme adalah sesuatu yang perlu untuk dikatakan adanya proses Indianisasi.
Adakah bukti ini terdapat di Lembah Bujang? membicarakan dewa-dewa dalam Mazhab Mahayana.
TIDAK! Tiada satu pun bukti konkrit yang boleh dianggap sebagai mutlak. Yang ditemui di Lembah Bujang hanyalah patung kecil yang dibawa masuk oleh orang luar dari India.
Penemuan arkeologi di Bukit Batu Pahat di Perlis pula lebih bersifat ajaran tantrik atau ritual sahaja.
Elemen ketiga pula ialah adanya adaptasi mitologi purana dalam sastera tempatan.
Epik Mahabhrata dan Ramayana serta kitab-kitab agama rujukan lainnya merupakan asas penting Hindu manakala Buddha pula mempunyai 3 buah kitab utama iaitu Sutta Pițaka, Vinaya Pițaka dan Abhidhamma Pițaka.
Di Indonesia, pujangga-pujangga mereka telah menyadurkan kisah-kisah di dalam kitab di atas ke dalam sastera tempatan. Antara contoh utama ialah watak Petruk, Gareng, Bagong dan Semar dalam sastera lokal.
Bukan di dalam buku sastera sahaja, saya pernah melihat tugu besar Irung Petruk di jalan raya menuju ke Selo dari Boyolali dan patung 4 watak ini tersedia menyambut anda di pintu masuk Taman Wisata Baturaden di Jawa Tengah.
Adakah Lembah Bujang mempunyai bukti penemuan adaptasi purana dalam sastera tempatan?
TIDAK! Hingga kini tiada satu pun penemuan kitab sastera yang menjurus kepada proses Indianisasi ini.
Elemen keempat pula adakah ditemui apa-apa tinggalan prasasti berbahasa Sanskrit di Lembah Bujang?
Di Indonesia, prasasti yang menggunakan Bahasa Sanskrit berhuruf Pallava ditemui Kabupaten Kutai, Kalimantan Timur. Prasasti sekitar 400 Masihi ini dinamakan Prasasti Kutai atau Prasasti Mulawarman.
Ianya menceritakan tentang Raja Mulawarman yang menghadiahkan lembu yang banyak kepada Kaum Brahmana. Satu lagi prasasti menggunakan Bahasa Sanskrit ialah Prasasti Cidanghiyang yang dibuat Kerajaan Tarumanegara di Jawa Barat.
Adakah sebarang prasasti berbahasa Sanskrit ditemui di Lembah Bujang?
TIADA! Walaupun dua prasasti ditemui iaitu Prasasti Cherok Tok Kun dan Prasasti Budhhagupta, namun, kedua-duanya ditolak sebagai bukti kukuh kerana tiada tarikh pada prasasti tersebut.
Elemen kelima, menurut Coedes, proses Indianisasi itu perlu ada bukti penggunaan ‘Kalendar Saka’.
Apakah Kalendar Saka? Kalendar ini menggunakan sistem ‘Candrasengkala’ yang bermaksud ‘Pernyataan Angka Tahun’. Hanya terdapat lima hari di dalam kalendar ini iaitu Legi, Pahing, Pon, Wage dan Klewon.
Antara prasasti yang bertanda tahun saka ialah Prasasti Canggal yang bertarikh 654 saka dan Candi Diyono bertarikh 682 saka. Isi baris Candi Diyono ialah;
‘svasti śaka varṣātīta 682’ yang bermaksud: ‘Kemuliaan di tahun Saka 682 yang telah berlalu.’
Adakah ditemukan sesuatu yang bertarikh Kalendar Saka di Lembah Bujang?
TIADA! Hingga kini tiada ditemukan apa-apa yang bertanda Kalendar Saka.
Elemen keenam pula ialah adaptasi sistem penulisan India. Terdapat 52 buah prasasti berbahasa Melayu Kuno/Sanskrit yang ditemui di Asia Tenggara dengan 29 buah daripadanya menggunakan aksara Pallava.
Manakala 16 buah prasasti menggunakan aksara Jawa Kuno atau Kawi, 4 buah prasasti pula menggunakan aksara rencong dan 3 buah prasasti yang terakhir menggunakan gabungan aksara Pallava, Jawa Kuno dan Arab/Jawi.
Adakah salah satu daripada 52 prasasti ini ditemui di Lembah Bujang?
TIDAK! 52 prasasti… dan satu pun tidak terletak di Lembah Bujang malah tiada prasasti yang berbahasa Sanskrit atau beraksara identifikasi Melayu ditemui.
Elemen ketujuh atau yang terakhir ialah penerapan atau pengaruh Dharmaśāstra (Undang-Undang Hindu-Buddha) dalam urusan kerajaan tempatan kuno. Dharmaśāstra ditulis dalam bentuk puisi.
Ia menerangkan tanggungjawab, tugas dan etika terhadap diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat. Undang-undang ini amat penting di Negara India, malah, ia diadaptasi di awal pembentukan negara moden India.
Kerajaan Khmer Angkor adalah salah sebuah kerajaan kuno yang menggunakan Dharmaśāstra ini.
Adakah teks Dharmaśāstra ini ditemui atau ia diguna pakai di Lembah Bujang?
TIDAK! Tiada langsung bukti penggunaan undang-undang ini ada di Kedah Tua.
Tujuh persoalan berdasarkan saranan Coedes sudah ditanya dan kesemuanya langsung TIADA pun di Lembah Bujang.
Apakah kesimpulannya?
Berdasarkan kepada bukti-bukti yang ada sehingga hari ini, penduduk asal dan tempatan di Lembah Bujang dan Kedah Tua TIDAK pernah menganut ajaran Hindu-Buddha.
Penemuan candi-candi purba di Lembah Bujang yang lebih bersifat tantrik dan seni binanya yang mudah adalah jelas tidak menampakkan suatu tamadun yang sudah diindianisasikan pernah terjadi.
Berdasarkan bukti hingga kini, relik dijumpai di situ berkemungkinan besar dibawa masuk oleh pendatang asing yang buat penempatan sementara dan tidak berasimilasi dengan demografi Lembah Bujang, mahupun Kedah Tua.
Oleh itu, ubahlah minda anda! Rantau Asia Tenggara ini bukan semuanya pernah melalui proses Indianisasi. Kedah Tua antara yang tidak melalui proses ini. Sekian.
(Tulisan asal oleh Afzan Yusuf)
Copy and paste: 29 Julai 2020 / 7 Zulhijjah 1441H : 7.34 am

No comments:

Post a Comment