ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 9 July 2020

GURINDAM BERBISA RAMADAN

Ahmad Fetri Yahya
Sarjana Muda Komunikasi
(Filem Penyiaran & P.Islam) USM

Bangun sahur setiap hari
Selepas sahur tidur kembali

Tika sahur menghisap rokok
Masjid dan surau haram tidak jenguk

Punyalah liat untuk bersahur
Lebih selesa melawan dengkur

Lupa sahur dijadikan alasan
Untuk tidak puasa Ramadan

Sungguh sedih melihat saudaraku
Makan tengahari tidak tahu malu

Begitu lemah iman di dada
Bagai puasa tidak berharga

Disuruh puasa dia puasa
Solat fardhu tidak kuasa

Disuruh puasa dia puasa
Aurat diri terbuka jua

Hanya menahan lapar dahaga
Segala larangan dibuat selamba

Orang mengejar keberkahan Ramadan
Dia masih tak kenal Tuhan

Diajak ke masjid dia tak mahu
Kononnya berpuasa sehingga lesu

Semangat tarawikh di malam pertama
Berganti hari berkurang semua

Biarpun perut jenuh puasa
Mata yang nakal menjamu selera

Biarpun tahan lapar dahaga
Umpat dan fitnah tetap membara

Bulan puasa gigih berniaga
Solat fardhu entah ke mana

Melelong barang ke larut pagi
Kemudian tidur separuh mati

Katanya nak tambah rezeki keluarga
Tetapi berkat tidak dijaga

Kerja kerja dan juga kerja
Tiada masa menghadap yang Esa

Puasa dianggap dianggap suatu bebanan
Nafsu tak sabar menanti lebaran

Budak-budak bermain mercun
Putus jari menyesal bertahun

Makin dekat menyambut raya
Zikir munajat tak dengar suara

Terlalu asyik melayan adat
Tidak perhebat amal ibadat

Setiap hari menjadi rugi
Kerana agama tidak difahami

Puasa buat solat pun buat
Namun sukar tinggal maksiat

Telah didengar bermacam ceramah
Namun iman semakin lemah

Bagaimana nak dapat lailatulqadar
Segala amalan begitu hambar

Bagaimana nak dapat lailatulqadar
Degil sombong tak suka diajar

Bagaimana nak dapat lailatulqadar
Ujian sedikit selalu tak sabar

Bagaimana nak dapat lailatulqadar
Lebih banyak terlentang di cadar

Bagaimana nak dapat lailatulqadar
Pesan ulama tak mahu didengar

Siapa taat dalam mencari
Pasti Allah akan memberi

Tanamkan ikhlas sepenuh hati
Manisnya iman kita nikmati

Untuk mencipta suasana iman
Pilihlah teman bersifat budiman

Untuk mendapat inspirasi ibadah
Kita berjuang tak kenal lelah

Mulakan dengan diri sendiri
Kepada keluarga kita berbakti

Walau hanya sepotong ayat
Ia tetap memberi manfaat

Jangan dihirau cercanya orang
Di jalan Allah kita berjuang

Tambahlah ilmu segenap dimensi
Tapi terasnya Al Quran yang suci

Kerana Ramadan bulan Al Quran
Kita berguru tingkatkan pengetahuan

Korban tidor korbankan rehat
Kita mengejar Rahmat dan Syafaat

Setelah jiwa dilimpahi cahaya
Tak lagi dihirau godaan dunia

Memang berat pada pandangan
Berdoalah selalu ia berkekalan

Sebar-sebarkan murni tazkirah
Menjadi bekalan kita di barzakh

Moga berjiran kita di syurga
Bahagia untuk selama-lamanya

(Majalah Manhaj 1436H)

Disalin pada 9/7/2020 @ 18 Zulkaedah 1441H: 9.31 pm

No comments:

Post a Comment