ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 25 June 2020

Tragedi Lintasan Lemal 1972


Salah satu peristiwa yang masih segar dalam ingatan saya ialah Tragedi Lemal yang berlaku pada 30 Mac 1972 iaitu hari terakhir persekolahan bagi Penggal Satu pada tahun tersebut. Tragedi yang melibatkan kemalangan antara bas dan kereta api itu telah mengorbankan sebanyak 13 nyawa penumpang yang kebanyakannya murid sekolah. Tragedi yang berlaku semasa saya berada di Tingkatan Satu ini amat menyentuh hati memandangkan ianya melibatkan banyak kehilangan nyawa pada ketika itu.


Di sekitar daerah Pasir Mas pada ketika itu terdapat empat lintasan landasan kereta api iaitu pertamanya di Jalan Tengku Ahmad, di tengah-tengah bandar Pasir Mas, keduanya di Kampung Lemal berhampiran dengan Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (dulunya Lembaga Letrik Negara), ketiganya di pekan Rantau Panjang iaitu landasan ke Sungai Golok, Thailand dan keempatnya di Kampung Repek iaitu kira-kira 10 km dari bandar Pasir Mas. Kesemua lintasan ini merupakan lintasan terbuka sebagaimana juga di kebanyakan lintasan lain yang terdapat di seluruh negara pada ketika itu.

Tragedi yang melibatkan dua kenderaan awam iaitu kereta api barang berenjin kuasa wap milik Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan bas pendek model Seddon MK17 milik Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) ini telah mendapat liputan yang meluas di media dan mendapat perhatian utama pihak kementerian terbabit. Menteri Perhubungan Malaysia, Allahyarham Tan Sri Sardon Jubir beberapa hari selepas kejadian itu telah mengarahkan semua lintasan terbuka di seluruh negara dipasang dengan pintu pagar bagi mengelakkan berulangnya tragedi ngeri seperti itu.

Meskipun pada ketika itu baru di Tingkatan Satu, namun saya telah memberi perhatian serius kepada tragedi ini memandangkan tiap-tiap hari bas sekolah yang kami naiki melalui lintasan kereta api di Jalan Tengku Ahmad untuk ke bandar Pasir Mas. Yang lebih menyentuhkan perasaan lagi ialah tiga daripada mangsa tragedi tersebut merupakan saudara dan rakan saya yang tinggal di kampung berhampiran. Dua orang rakan saya terselamat tetapi saudara saya yang pada ketika itu pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Rendah Perempuan Pasir Mas (kini SMK Perempuan Pasir Mas) meninggal dunia di Hospital Besar Kota Bharu (kini Hospital Raja Perempuan Zainab II). Selepas itu beberapa kejadian kecil yang melibatkan kereta dan motosikal di lintasan yang sama turut berlaku tetapi tiada kehilangan nyawa. Malah semasa di Tingkatan Enam pada tahun 1978, bas yang saya naiki pernah nyaris-nyaris dirempuh kereta api di lintasan Jalan Tengku Ahmad semasa hujan lebat.

Ekoran daripada beberapa peristiwa tersebut saya pernah menghantar satu komentar dalam ruangan Forum Pembaca di akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan pada hari Jumaat 23 Jun 1978. Bagi saya komentar tersebut merupakan salah satu sumbangan dan tanggungjawab saya terhadap kepentingan umum dalam usaha untuk mencegah agar tragedi ngeri seperti yang berlaku pada 30 Mac 1972 itu tidak berulang lagi di mana-mana tempat di negara ini pada masa akan datang. Saya berpandangan bahawa melalui komentar seperti ini sekurang-kurangnya menjadi salah satu daripada senarai semak yang perlu diteliti oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Namun selepas 9 tahun kejadian itu, apa yang dibimbangi tersebut telah benar-benar berulang.

Pada 27 November 1981 satu tragedi yang seakan sama telah berlaku lagi, malah lebih dahsyat kerana jumlah mereka yang terkorban seramai 17 orang berbanding 13 orang dalam tragedi terdahulu. Tragedi kali ini berlaku di lintasan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam yang melibatkan sebuah bas yang membawa para belia untuk melancong ke Pulau Pangkor, Perak. Kedua-dua tragedi tersebut seakan-akan sama senario kejadiannya, cuma masa dan tempat sahaja yang berbeza. Saya yang pada ketika itu sedang menuntut di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu sekali lagi tersentak setelah membaca berita tragedi tersebut di akhbar. Seperti biasa sekali lagi pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan masing-masing berhubung dengan tragedi tersebut.

Sebagai insan kerdil yang sentiasa mengikuti perkembangannya, sekali lagi saya terpanggil untuk menulis tentang perkara ini dengan harapan yang sama sebagaimana saya menulis komentar terdahulu setelah kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh pelbagai pihak. Dengan merujuk kepada beberapa sumber saya telah menulis tentang perkara ini dan menghantarnya kepada majalah Sarina terbitan Amir Enterprise Sdn. Bhd. yang merupakan salah satu ‘digest’ berbahasa Melayu pada ketika itu. Rencana tersebut telah disiarkan di muka surat 110 majalah Sarina Jilid 7 No. 70 terbitan bulan Januari 1982. Dengan tersiarnya rencana tersebut, saya sekali lagi berharap agar luahan yang saya anggap mewakili masyarakat umum itu diberi sedikit perhatian oleh pihak-pihak berkenaan dengan sewajarnya.
Alhamdulillah, akhirnya aspek keselamatan pengguna telah diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan di mana mulai pertengahan tahun 1980-an semua lintasan utama kereta api di seluruh negara telah dilengkapi dengan pintu pagar serta pengawal bertugas.

Dengan adanya langkah keselamatan tersebut maka tragedi ngeri seperti yang berlaku di dua lokasi berkenaan telah dapat dielakkan sepenuhnya. Meskipun akibat daripada adanya pintu pagar tersebut telah menimbulkan masalah kesesakan lalu lintas pada waktu-waktu tertentu di bandar-bandar yang agak sibuk, namun itu adalah fenomena biasa yang lebih baik berbanding jika berlakunya sesuatu kemalangan ngeri. Bagi mengelakkan masalah kesesakan tersebut, kini di kebanyakan lintasan kereta api di negara ini sudah dibina jejambat dan jejantas untuk kenderaan dan orang ramai melintasinya. Sekian.

Copy and paste: 25 Jun 2020 / 4 Zulkaedah 1441H : 10.24 pm

No comments:

Post a Comment