ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 30 May 2020

GEOPOLITIK BATU PUTEH


Permohonan semakan berkaitan kes Batu Puteh (“Pedra Branca”) adalah selari dengan ketetapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008. Malaysia boleh mengemukakan permohonan untuk menyemak semula keputusan tersebut dalam tempoh masa 10 tahun sekiranya menemui bukti baru. Jadi, adalah hak kita untuk berbuat sedemikian.
Kemilikan Batu Puteh bukan sekadar isu sejarah atau isu maruah, isu akarnya ialah geopolitik yang berkait rapat dengan keselamatan Malaysia. Apa tujuan Singapura mahu sebuah batuan yang tidak mempunyai sebarang sumber asli? Dalam geopolitik, kawalan ke atas ruang fizikal yang strategik, walhal seinci pun, akan menambah kekuatan negara.
Sejak ia mencapai kemerdekaan pada 1965, Singapura secara geografinya dikunci (“locked”) oleh wilayah perairan Malaysia dan Indonesia. Singapura rasa keadaan ini bukan sahaja mengehadkan kebebasannya malah tidak bagus untuk keselamatannya dalam masa jangka panjang. Jadi, Singapura memerlukan strategi untuk memecah (“breakthrough”) batas wilayah perairan Malaysia dan Indonesia, dan lagi bagus kalau ia dapat mencapai Laut China Selatan.
Maka, Singapura telah memulakan permainan geopolitiknya pada 14 Februari 1980. Dari 1973 hingga 1982, penggubalan Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Tentang Undang-Undang Laut (UNCLOS) sedang berlangsung dan negara-negara yang menjadi parti kepada UNCLOS perlu mengemukakan pemetaan sempadan wilayah perairan (“territorial sea”) dan pelantar benua (“continental shelf”) masing-masing. Singapura telah menyuarakan bantahan ke atas peta Malaysia (“Territorial Waters and Continental Shelf Boundaries of Malaysia”) yang diterbitkan pada 21 Disember 1979 yang telah menggariskan Batu Puteh dalam wilayah Malaysia. Singapura tahu kaedah undang-undang ICJ yang sedia ada akan memihak kepadanya, maka ia telah membawa kes tersebut kepada ICJ dan ia telah berjaya “merampas” Batu Puteh daripada kita.
Menurut Artikel 3 UNCLOS, kedaulatan Singapura ke atas Batu Puteh membolehkan ia menuntut wilayah perairannya sehingga 12 batu nautika (22 kilometer). Namun tindakan ini tidak dapat diteruskan oleh Singapura tanpa menimbulkan kes baru: Batuan Tengah (“Middle Rock”) masih dimiliki Malaysia dan jarak di antara Batu Puteh dan Batuan Tengah adalah lebih kurang 1 kilometer sahaja. Sudah tentu wilayah Malaysia dan Singapura akan bertindih. Maka, Jawatankuasa Teknikal Bersama (MSJTC) ditubuhkan oleh Malaysia dan Singapura untuk mencari penyelesaian kepada masalah tersebut, namun ia tidak bermaksud Malaysia akan melepaskan Batu Puteh begitu sahaja.
Singapura juga menyatakan niatnya untuk menuntut 200 batu nautika zon eksklusif ekonomi (EEZ) yang akan betul-betul membenarkan Singapura melancarkan kuasa (“projecting power”) ke wilayah Laut China Selatan. Cuma, Singapura tidak dapat bertindak kerana Batu Puteh ialah sebuah batuan, bukan pulau. Menurut Artikel 121(3) UNCLOS, batuan (“rocks”) hanya boleh menjana wilayah perairan, bukan EEZ. Maka, ada netizen melakar gambar rajah di bawah untuk menyindir Singapura. Tapi, siapa bilang ia tidak akan terjadi? Maklumlah, Singapura memang hebat dalam menambak laut.
Copy and paste: 30 Mei 2020 / 7 Syawal 1441H : 1.15 pm

No comments:

Post a Comment