ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 28 March 2020

Datuk Gong: Dewa Melayu yang disembah kat Nusantara


Tentu ada di antara kita yang pernah nampak tempat penyembahan (shrine) warna merah atau kuning kat depan bangunan, ladang, tempat pembinaan atau rumah. ‘Shrine’ ni dibina atas tanah dan dihias dengan colok, buah nanas, air dan sebagainya.


Bagi korang yang tak tahu, mungkin korang akan anggap yang ni perkara biasa je. Tapi korang tahu tak dewa yang disembah itu sebenarnya orang Melayu? Ya! Ia adalah ‘Dewa Melayu’ yang dikenali sebagai ‘Datuk Gong’ atau ‘Na Tuk Kong’ dalam bahasa Cina. Bentuk patung dewa tu jugak ada ciri-ciri Melayu (macam gambar kat atas).


Kenapa patung tu macam orang Melayu? Macam mana kepercayaan Datuk Gong ni boleh muncul? Betul ke yang disembah tu ‘Dewa Melayu’? Itulah mungkin persoalan yang bermain kat minda korang sekarang. Oleh itu, mari kita bermula dengan sejarahnya…



Konsep Datuk Gong ini muncul dari campuran amalan orang Cina dan Melayu

Penyembahan terhadap Datuk Gong ni dikatakan mula bertapak kat Malaysia sejak awal abad ke-19 lagi. Datuk Gong ni boleh dianggap sebagai dewa tempatan yang menjaga kesejahteraan, keamanan, kekayaan dan kesihatan. Apa yang uniknya, amalan ni hanya wujud kat Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Selatan Thailand je (nusantara).

Sebab tu lah, kita takkan dapat jumpa Datuk Gong ni kat negara China, Taiwan atau sebagainya. Untuk nak buat korang lebih faham, segalanya bermula pada abad ke 19 bila berlaku penghijrahan rakyat China ke Asia Tenggara. Masa tu diorang bawa amalan dan kepercayaan diorang sekali. Dalam waktu yang sama, mereka cuba suaikannya dengan amalan masyarakat tempatan (Melayu).

Kedatangan masyarakat Cina dipercayai bermula sejak zaman Kesultanan Melaka lagi. Imej dari Asian Inspirations.



Dari segi agama masyarakat Cina, diorang dah ada Dewa Tanah yang dikenali sebagai ‘Tu Di Gong’ . Dewa ni penting sebab kebanyakan diorang adalah petani. Tapi bila sampai ke Tanah Melayu, diorang nampak yang orang Melayu masa tu jugak amalkan satu amalan yang agak serupa dengan diorang.

Waktu tu, sebahagian masyarakat Melayu masa tu masih lagi percaya dengan amalan animisme. Contohnya macam bagi ancak dan memuja kubur/makam tertentu.


“Tapi bila mereka (masyarakat Cina) sampai ke sini, mereka nampak orang tempatan, orang Melayu juga menyembah dan caranya tu agak sama dengan cara mereka menyembah Tu Di Gong tadi. Apa yang dilakukan oleh orang Melayu adalah memuja kepada Datuk Keramat atau keramat worship.



Contohnya mereka percaya adanya penunggu atau roh di sesuatu kawasan itu. Jadi cara orang Melayu menyembah Datuk Keramat digabungkan dengan cara orang Cina menyembah Tu Di Gong. Maka muncullah dewa yang bersifat gabungan orang Melayu dan orang Cina. ‘Datuk’ ialah Datuk Keramat dan ‘Gong’ ialah Tu Di Gong. Maka jadi Datuk Gong.” – Dr Lee Yok Fee, pensyarah Jabatan Ekologi UPM.

Itulah permulaannya konsep Dewa Melayu yang dikenali sebagai Datuk Gong ini. Boleh dikatakan yang kepercayaan ni muncul hasil dari amalan dua bangsa yang berbeza iaitu Melayu dan Cina tapi dalam cara yang agak sama.

Seseorang yang luar biasa dalam hidupnya, ada kemungkinan dilantik jadi dewa



Macam apa yang dah dicerita tadi, amalan ni muncul hasil campuran amalan orang Cina dan Melayu. Tapi secara detailnye pulak, Datuk/Dato adalah gelaran terhormat masyarakat Melayu kepada seseorang dan jugak gelaran kepada orang telah tua. Manakala, Gong pulak adalah gelaran hormat masyarakat Cina kepada dewa-dewa mereka.

Menurut seorang pensyarah yang kami interview, Datuk Gong dianggap sebagai Dewa Tanah tempatan, manakala Tu Di Gong pulak adalah Dewa Tanah yang berasal dari Tanah Besar Cina. Tapi kedudukan Datuk Gong mungkin bawah sedikit dari kedudukan Tu Di Gong tadi.

Datuk Gong selalunya diukir dengan ciri-ciri Melayu. Imej dari azzardd.



Menurutnya, masyarakat Cina percaya dengan konsep kelahiran semula (rebirth) dan konsep kejadian dewa dari kalangan manusia. Hal ni bermakna, sesiapa yang dalam hidupnya dah lakukan banyak kebaikan, jasa atau sebagainya, maka bila diorang meninggal dunia, kemungkinan besar roh mereka akan dilantik jadi dewa.

“Maksudnya, jika ada sesiapa yang memiliki kedudukan luar biasa atau semasa dia hidup dia ada kuasa yang luar biasa atau seorang hero, seorang bomoh yang kuat kuasanya. Bila mereka meninggal, roh itu akan disembah.

Tapi pada peringkat awal, memang bermula dengan roh orang Melayu. Sebab itu, kita boleh nampak mereka ukir patung itu dalam bentuk orang Melayu.”

Dalam pada tu, kalau kita nak katakan yang masyarakat Cina beragama Buddhism, Confucianism atau Taoism, tu sebenarnya tak berapa tepat. Ini kerana, mejoriti masyarakat Cina (kecuali Islam, Kristian & Ateis) sebenarnya menganut Chinese Folk Religion atau dikenali jugak sebagai Agama Cina (Chinese Religion).

Konsep agama ni adalah agama yang menyembah nenek moyang dan campuran antara Buddhism, Confucianism atau Taoisme. Sebab tu lah, kita boleh nampak dewa yang ada dalam Bhuddism juga disembah dalam Taoisme. Maka apabila dikaitkan dengan amalan orang Melayu pada masa dulu, ia berkaitan rapat dengan pemujaan ‘semangat’ terhadap sesuatu tempat yang dianggap keramat.

Ada jugak sultan yang diiktiraf sebagai Datuk Gong



Pada peringkat asalnya, kebanyakan Datuk Gong yang disembah bukan dalam bentuk patung, tapi tablet (papan yang ditulis namanya), pokok tertentu, busut atau batu. Tapi disebabkan berlakunya peredaran zaman, patung mula diukir.

“Ada jugak batu yang diikat dengan kain kuning, sebab mereka percaya roh itu ada dalam batu tersebut. Kemudiannya batu pun tak ada, tapi busut pula, ia pun sama kepercayaannya. Selain tu ada jugak tablet, yang mana ukiran kayu ada tertulis nama Datuk Gong.

“Tapi sekarang ni ada pula patung dan wajahnya hampir semuanya sama. Jadi boleh pilihlah nak yang pakai tongkat ke atau pegang keris ke. Itu terpulang.”

Disebabkan kebanyakan Datuk Gong ni adalah orang Melayu maka patungnya pun diukir dengan ciri-ciri orang Melayu, macam bersongkok, berkopiah, samping, tengkolok, baju Melayu dan sebagainya. Datuk Gong jugak bukan satu je sebenarnya, tapi Datuk Gong kat tempat-tempat tertentu akan ada nama yang lain, tarikh hari jadi berbeza dan personaliti berbeza.



Walaupun Datuk Gong selalunya kita nampak kat shrine yang kecik je. Sebenarnya ada jugak Datuk Gong yang ada tokong sendiri. Jangan terkejut kalau ada tokong khas Datuk Gong yang berasal dari sultan Melayu. Tokong tu terletak kat Banting, Selangor yang mana Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad dianggap sebagai dewa. Tokong ni jugak dah berusia lebih 100 tahun.

Selain tu, ada jugak nama Datuk Gong yang berdasarkan warna macam:



Datuk Panglima Hitam
Datuk Panglima Hijau
Datuk Panglima Kuning
Datuk Panglima Putih
Datuk Panglima Merah

Datuk Gong berdasarkan warna-warna mereka. Ada pendapat yang kata Datuk Hijau paling garang. Imej dari courses.nus.edu.sg



Warna-warna ni ada lambangnya yang masing-masing. Macam warna hijau melambangkan flora dan fauna dan warna kuning melambangkan kesejahteraan. Oleh itu, dari apa yang kita nampak ni, dah jelas yang kebanyakkan Datuk Gong yang disembah itu adalah berasal dari orang Melayu.

Tapi sebenarnya ada jugak Datuk Gong yang bukan Melayu. Macam yang ada kat Broga, di mana ‘Sak Dato’ yang berasal dari orang Asli. Manakala kat Kedah pulak, ada Datuk Che Pu Long (Siam), Datuk Ah Chong (Cina) dan Datuk Mutu (India).

Tak boleh hidangkan makanan tak halal kat Datuk Gong Melayu



Dalam penyembahan Datuk Gong, selalunya lilin berwarna putih digunakan menggantikan merah, serta colok dan kemenyan. Disebabkan kebanyakkan Datuk Gong ni adalah orang Melayu, maka diorang tetap dianggap sebagai orang Islam. Kerana tu jugaklah para penganutnya yang nak bagi hidangan pada Datuk, mesti bagi makanan yang halal.

Antara makanan yang popular adalah seperti rendang ayam, kari kambing/ayam, pulut kuning, kopi O, daun sirih dan rokok daun (ada jugak yang bagi sate, nasi lemak & sebagainya). Makanan yang halal ni bukan je terhad selain khinzir atau arak, tapi ayam, kambing atau lembu tu jugak mestilah betul-betul halal, maksudnya disembelih secara Islam.

Kalau korang bagi jugak makanan tak halal, mengikut kepercayaan, Datuk tu akan marah dan orang tu akan ditimpa bala. Walaupun begitu, kalau Datuk Gong tu bukannya Melayu/Islam (macam dikatakan tadi), maka diorang boleh hidangkan makanan yang tak halal. Tentang macam mana pulak diorang tahu yang Datuk Gong ni ada kat satu-satu tempat, ia boleh jadi dengan beberapa cara:



“Berdasarkan kajian, asal usul bagaimana mereka tahu di situ perlu bina satu tempat untuk memuja adalah pertama berdasarkan pengalaman. Mereka melihat dengan mata kasar, terutamanya pada waktu malam. Contohnya mereka nampak banyang putih, lalu di situlah adanya ‘roh’ itu.

Kedua ialah melalui mimpi, iaitu akan ada roh masuk dalam mimpi mereka dan beritahu: ‘bina satu shrine untuk saya ditempat ini, saya Datuk’. Lalu roh itu beritahu namanya. Ketiga pula mereka akan cuba cari orang tertentu, dan orang tu akan panggil roh tersebut. Kalau ada, ada lah. Kalau tak ada, maka tak ada lah.”

Ada sambutan hari jadi untuk Datuk Gong



Selalunya, bila penganut nak berhubung dengan Datuk Gong, diorang akan gunakan orang pengantara (atau dikenali sebagai medium). Orang yang jadi medium ni pulak bukan orang biasa-biasa, hanya orang tertentu je yang boleh jadi. Kira macam orang yang terpilih.

Upacara memanggil Datuk Gong ni selalunya akan dijalankan oleh medium (bomoh/orang tertentu) dengan bantuan beberapa orang. Bila kita nampak medium tu mula berkelakuan agak pelik atau berkhayal (trance), tu tandanya yang Datuk dah datang. Bila Datuk tu dah masuk badan medium tadi, medium tu akan mula berkelakuan seperti personaliti Datuk Gong tersebut macam: cakap bahasa Melayu, gaya berjalan macam orang tua dan sebagainya.

Ketika ni lah, diorang akan sambut birthday Datuk Gong tadi dengan hidangkan macam-macam makanan, persembahan dan sebagainya. Diorang jugak boleh mintak sesuatu kat Datuk tu, macam berikan keselamatan, keamanan dan kesihatan. Tapi benda yang selalunya dimintak adalah nombor ekor.

Antara syarat orang yang nak mintak bantuan Datuk tu pulak adalah dia tak boleh makan khinzir sekurang-kurangnya sehari sebelum jumpa Datuk. Bagi wanita wang datang haid pulak, diorang dianggap tak suci dan tak boleh sentuh Datuk, terutama sekali bahagian kepala.



Tapi perkara ni bukan je terhad masa birthday Datuk tu je. Ada jugak medium yang jalankan upacara ni pada hari-hari tertentu macam setiap malam jumaat (khamis malam), hari pertama dan ke 15 dalam kalender Cina, Hari Raya Puasa dan Raya Haji.

Kepercayaan ini muncul hasil interaksi budaya dan amalan dua bangsa



Kepercayaan ini diterima kerana sistem Agama Cina di Malaysia ni yang dianggap longgar dan tak bersifat eksklusif. Kerana itulah, penerimaan terhadap amalan baru mudah diterima di kalangan masyarakat Cina. Selain itu, ia jugak boleh kita katakan sebagai amalan turun temurun masyarakat Cina.

“Kepercayaan ini diturunkan dari generasi ke generasi. Mungkin bagi yang generasi baru, mereka tak tahu maksud sebenar kenapa perlu buat sedemikian atau hanya ikut sahaja. Jika ada mereka yang dah tak percaya dengan kepercayaan ini, jadi mereka akan meninggalkannya.

Itulah yang saya ingin katakan, sistem kepercayaan orang Cina di Malaysia, ia sangat longgar. Sekiranya sesuatu perkara itu boleh membawa kebaikan kepada mereka, mereka akan percaya. Ini kerana sistem kepercayaan orang Cina ia bersifat inklusif bukannya eksklusi, mana-mana elemen boleh digabung dan diamalkan.”

Kepercayaan kepada Datuk Gong tak terhad pada orang Cina je. Imej dari presenttensemedia.org



Kepercayaan terhadap Datuk Gong ni boleh dikatakan muncul hasil dari interaksi budaya dan amalan dari dua bangsa iaitu Cina dan Melayu. Walaupun, dua bangsa ini pernah melalui zaman hitamnya, tapi nampaknya kerpercayaan terhadap Datuk Gong masih kukuh bertahan hingga kini.

Oleh itu, bersempena dengan musim perayaan ini, marilah kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan bersama-sama bersatu padu membina satu bangsa Malaysia yang terbuka dan saling menghormati.

Sumber: Cari Gold Forum
1 April 2020 / 7 Syaaban 1441H : 11.59 am

No comments:

Post a Comment