ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 18 March 2020

IBNU ABBAS PROFESOR ULUNG DUNIA ISLAM

Kredit : FB Belang Post / Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)

Abdullah bin Abbas atau Ibnu Abbas adalah di antara tokoh Islam yang belum menjangkau usia dewasa ketika wafatnya Rasulullah saw iaitu sekitar 15 atau 16 tahun.
Namun ketika mencapai umur dewasa, beliau telah menjadi ilmuwan terbilang setaraf dengan ilmuwan Islam lain seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan lain-lain.
Beliau juga turut terlibat berjihad dalam Perang Hunain, Fathu Makkah, Haji Wida' hingga Perang Jamal dan Siffin bersama Saidina Ali bin Abi Thalib.
Salah satu keistimewaan Abdullah bin Abbas berbanding sahabat Rasulullah yang lain ialah keluasan ilmunya.
Abdullah bin Abbas terkenal sebagai tokoh yang menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan antaranya ilmu sastera dan bahasa Arab, ilmu tafsir, matematik serta ilmu faraid.
Abdullah bin Abbas telah meriwayatkan lebih dari 1,600 hadis, menjadikan jumlah tersebut adalah ke-5 terbanyak setelah Saidatina Aisyah ra.
Semasa hidupnya, Abdullah bin Abbas dikenali dengan banyak gelaran seperti Hibrul Ummah (pemimpin umat), Faqihul Ashr (orang yang paling pandai memahami agama di zamannya), Imam Tafsir (ahli tafsir), al-Bahr ("lautan" kerana luasnya ilmu) dan banyak gelaran lain.
Justeru keluasan ilmunya itu, wajar jika beliau digelar sebagai "Pendeta Islam" atau "Profesor" dalam konteks bahasa moden hari ini. Maka Abdullah bin Abbas merupakan profesor ulung dalam Dunia Islam.
Salah satu punca kejayaan yang beliau peroleh adalah daripada doa Rasulullah. Doa Rasulullah dimakbulkan Allah swt apabila Abdullah bin Abbas berjaya memiliki sifat-sifat tersebut tatkala beliau mencapai umur dewasa.
Abdullah bin Abbas tergolong dalam keluarga Rasulullah dan beliau adalah sepupu baginda kerana ayahnya iaitu Abbas bin Abdul Muttalib adalah bapa saudara Rasulullah.
Diriwayatkan bahawa beliau telah melakukan solat di belakang Rasulullah sebelum berumur 8 tahun.
Sejak kecil Abdullah bin Abbas gemar bermain di rumah baginda dan pada suatu hari ketika berlari menuju ke rumah baginda, beliau ternampak baginda Rasulullah sedang berwuduk. Maka dengan segera Abdullah bin Abbas menghulurkan air wuduk untuk Rasulullah.
Perbuatan Abdullah bin Abbas amat menggembirakan Rasulullah dan setelah selesai menunaikan solat, baginda memangku Abdullah bin Abbas sambil mengusap kepala beliau dan berdoa,
"Ya Allah, berikanlah keberkatan kepadanya dan berikanlah perkembangan ilmu daripadanya.”
Satu lagi peristiwa yang diriwayatkan mengenai Abdullah bin Abbas ialah kisah beliau terpandang Malaikat Jibril. Menurutnya, pada suatu hari ketika beliau memasuki rumah Rasulullah, Abdullah bin Abbas ternampak seorang lelaki yang tidak dikenali sedang bersama Rasulullah.
Lantas Abdullah bin Abbas segera pulang akibat terlalu gementar dan terus memberitahu ayahnya, Abbas bin Muttalib. Kemudian ayahnya berkata,
"Wahai anakku, kau telah melihat Jibril yang kebetulan sedang bertemu dengan Rasulullah saw."
MENCAPAI PELBAGAI KEJAYAAN
Ketika Abdullah bin Abbas meningkat dewasa, beliau telah mencapai kedudukan yang terkemuka di kalangan sahabat Rasulullah. Beliau bekerja keras mengumpulkan hadis-hadis Rasulullah dan memahami al-Quran sedalam mungkin serta memberi fatwa-fatwa kepada masyarakat berhubung dengan hukum agama.
Menjelang zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab ra, Abdullah bin Abbas telah mencapai pelbagai kejayaan, antaranya sebagai ahli tafsir dan hadis yang terkemuka sehingga orang ramai dari seluruh pelusuk negeri berminat untuk menuntut ilmu dengannya.
Khalifah Umar al-Khattab bukan sahaja sentiasa berada di sisi Abdullah bin Abbas, bahkan sentiasa bertukar pandangan dengannya seperti yang selalu Rasulullah lakukan dengan para sahabat.
Sebagai tanda penghargaan kepada Abdullah bin Abbas, Khalifah Umar al-Khattab telah mengatakan, "Ibnu Abbas adalah seorang pemuda yang telah tua ilmunya, mempunyai lidah yang amat berharga dan mempunyai hati yang bersih."
Selain itu, Khalifah Umar al-Khattab pernah berkata, "Sebaik-baik tafsir al-Quran adalah daripada Ibnu Abbas. Jika umurku masih panjang, nescaya aku akan selalu berdamping dengan Abdullah bin Abbas."
Di samping itu, Khalifah Umar al-Khattab juga pernah berkata, "Tidak ada fatwa yang lebih baik yang pernah aku dengar melainkan daripada fatwa Ibnu Abbas."
Demikianlah kebesaran Ibnu Abbas sebagai tokoh tafsir yang tiada tolok bandingnya.
Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan ra, Abdullah bin Abbas juga memperoleh keutamaan sama seperti di zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab.
Walaupun Abdullah bin Abbas pernah dilantik sebagai "Amirul Haji" pada tahun terakhir pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, beliau tetap tegas.
Jika sesuatu perkara itu adalah hak atau benar, Abdullah bin Abbas akan memberitahu Khalifah Uthman bin Affan walaupun Khalifah amat sayang kepada beliau.
Menurut satu riwayat, pada suatu hari ada serombongan sahabat telah datang mengadap Khalifah Uthman bin Affan untuk membicarakan sesuatu masalah. Antara yang terlibat dalam rombongan tersebut ialah Abdullah bin Abbas.
Semua anggota rombongan kembali tanpa memperoleh manfaat daripada kunjungan tersebut melainkan Abdullah bin Abbas dimana beliau meneruskan perbincangannya dengan Khalifah secara mendalam dengan menggunakan bahasa yang lebih lembut serta sindiran-sindiran yang halus dan dalam sehingga Khalifah Uthman bin Affan memperkenankan apa yang diminta oleh Abdullah bin Abbas serta para sahabat yang terlibat dalam rombongan tersebut.
Ketika meletusnya ketegangan pendapat antara pihak Saidina Ali bin Abu Talib ra dengan pihak Muawiyah bin Abu Sufyan berkaitan dengan pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan, Abdullah bin Abbas dengan tegas telah memberikan sokongannya kepada Saidina Ali bin Abu Talib sebagai Khalifah yang seterusnya.
Khalifah Ali bin Abu Talib amat menyenangi dan menyayangi Abdullah bin Abbas serta mengangkatnya sebagai Gabenor di Kota Basrah.
Sungguh Allah telah melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya kepada Abdullah bin Abbas sehingga beliau memiliki otak yang cerdas dan telah berjaya menjadikan dirinya sebagai sumber utama ilmu tafsir pada abad pertama.
Pada akhir hayatnya, Abdullah bin Abbas telah menghidap penyakit mata sehingga buta. Namun beliau tidak pernah resah mahupun gelisah dengan keadaan yang menimpanya.
Abdullah bin Abbas memilih untuk menghabiskan sisa hidupnya di dataran tinggi Taif yang terletak sejauh 85 km dari Kota Mekah.
Beliau berpesan agar dimakamkan di sebuah tempat tidak jauh dari makam syuhada Perang Hunain. Baginya, dimakamkan di tanah dimana 11 syuhada sahabat Nabi yang gugur syahid dalam Perang Hunain di Taif adalah kehormatan tertinggi.
Beliau meninggal dunia pada tahun 78 Hijrah ketika berusia 81 tahun.
Tidak jauh dari makam beliau, sebuah masjid yang dilengkapi dengan perpustakaan telah dibina dan dinamakan "Masjid Abdullah bin Abbas". Masjid ini dibina pada tahun 592 Hijrah.
Sebagai generasi Islam hari ini, kesungguhan Abdullah bin Abbas menimba ilmu wajar dijadikan teladan kerana ilmu adalah wadah dunia hingga nyawa terlepas dari badan.
-Debu-
Copy and paste: 18 March 2020 / 23 Rejab 1441H : 3.35 pm

No comments:

Post a Comment