ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 6 February 2020

Yahudi Terakhir di Malaysia

Kredit: Amir Syafiq
           FB MISI ALAM MISTIK
Inilah wajah Mordecai "Modi" David Mordecai yang diambil pada tahun 2001. Beliau merupakan mantan pengurus Hotel E&O di Pulau Pinang. Pada tahun 2011, beliau meninggal dunia pada usia 89 tahun akibat faktor umur. Apa yang membuatkan beliau lain daripada yang lain adalah beliau merupakan warganegara Malaysia yang berketurunan dan beragama Yahudi terakhir yang kekal tinggal di negara ini (namun masih ada lagi seorang keturunan Yahudi yang memegang kewarganegaraan Malaysia iaitu Tefa Ephraim, yang merupakan anak saudara Modi Mordecai yang sudah tinggal di Australia).
Sejarah orang Yahudi di Malaysia telah wujud sekian lama tetapi kian dilupakan oleh kerana konflik Israel-Palestin. Sejarah Yahudi di Malaysia bermula apabila pedagang-pedagang Yahudi mula membuat hubungan perdagangan dengan kerajaan Kedah Tua pada abad ke-9 tetapi tidak ada kesan peninggalan penempatan Yahudi sehinggalah pada abad ke-18. Melaka pada ketika itu (abad ke-18) mempunyai komuniti Yahudi pertama dan juga terbesar dalam sejarah negara ini.
Pada abad ke-19, penghijrahan Yahudi mula berkembang apabila Yahudi-Yahudi dari Iraq dan India berhijrah ke Malaysia dan membuka penempatan mereka di Selangor, Melaka, dan terutama sekali Pulau Pinang. Mereka membuka bisnes, serta membina Synagogue (rumah ibadat Yahudi) dan tanah perkuburan mereka sendiri. Sebuah jalan di George Town juga dinamakan sempena kaum Yahudi iaitu "Jalan Yahudi/Jewish Road" sebelum ditukarkan nama ke "Jalan Zainal Abidin". Komuniti Yahudi mencapai populasi kemuncak pada tahun 1899 iaitu seramai 177 orang. Kanak-kanak Yahudi ketika itu tidak ada masalah bermain dengan kanak-kanak Melayu, India, dan Cina. Pergaulan antara mereka dengan Yahudi sangat harmoni dan tidak ada sentimen anti-semitik terhadap Yahudi walaupun Malaysia ialah majoriti Muslim. Orang Yahudi Malaysia juga menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda mereka, dan Ibrani sebagai bahasa untuk upacara keagamaan.
Komuniti Yahudi mula menurun pada era 40an ketika zaman Perang Dunia Ke-II dan juga penubuhan negara Israel. Ramai orang Yahudi terpaksa dipindahkan ke Singapura dan majoritinya kekal disitu sehingga kini (boleh kata Yahudi Singapura adalah keturunan Yahudi Malaysia). Pada tahun 1963, hanya 20 Yahudi yang masih tinggal di Malaysia. Jumlah ini menurun sehinggalah pada era 70an, apabila Synagogue di Jalan Nagore, Pulau Pinang ditutup akibat kekurangan lelaki Yahudi untuk membuat upacara Minyan (yang bertanggungjawab atas upacara-upacara keagamaan).
Kematian beliau adalah pengakhiran bagi komuniti Yahudi asli Malaysia ini. Kini, Yahudi keturunan Malaysia sudah menetap di negara-negara seperti Singapura, Australia dan sebagainya namun mereka masih pulang ke tanah asal untuk melawat kubur nenek moyang mereka, ini menunjukkan hubungan mereka dengan Malaysia tidak begitu mudah untuk diputuskan. Ianya juga adalah satu kehilangan bagi Malaysia kerana kita tidak menjaga khazanah salah satu etnik di negara ini.

Kredit : Amir Syafiq
Copy and paste: 6/2/2020: 12.33 pm

No comments:

Post a Comment