ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 29 February 2020

Perang Larut Di Tanah Melayu

Kredit : Iskandar Hasan Tan (FB Tamadun Melayu Masa Lampau)
Pertubuhan kongsi gelap Cina sebenarnya berasal daripada Pertubuhan Liga Hung atau Thien Te Hui yang telah wujud di Tanah Besar China. Upacara keanggotaan kongsi gelap Cina ini dijalankan di dua tempat iaitu Pulau Pinang dan Singapura. Kongsi gelap ini tidak bermotifkan politik tetapi lebih kepada perebutan kawasan perekonomian.
Justeru kewujudan kongsi gelap ini telah dikesan seawal tahun 1800an. Dalam hal ini, dua kongsi gelap telah berjaya menguasai Tanah Melayu iaitu Ghee Hin dan Hai San. Keahlian kongsi gelap Ghee Hin adalah datang daripada persatuan-persatuan seperti Persatuan Hok-Kien Ghee Hin, Persatuan Hok Hin, Persatuan Tie Kun Ghee Hin, Persatuan Kwong Hok atau Ghee Kee, Persatuan Siong Peh Koan, Persatuan Kwang Hui Siau, Persatuan Ghee Sin, Persatuan Ghee Hok dan Persatuan Hailam Ghee Hin. Manakala kongsi gelap Hai San dianggotai 36 persatuan. Walaupun begitu, kongsi gelap Ghee Hin merupakan kongsi gelap yang terkuat dan kaya jika dibandingkan dengan kongsi gelap Hai San. Upacara keahlian kongsi gelap ini berelemenkan tradisi kepercayaan Cina iaitu kepercayaan berhala seperti Tao Pek Kong dan sebagainya.
Perang Larut
Penglibatan kongsi gelap dalam pempolitikan kaum politik penghijrah etnik Cina amat memberi kesan sehingga hari ini. Kongsi gelap ini sebenarnya berasal daripada Sistem Kangchu iaitu satu kajian yang dilakukan oleh Trocki antara tahun 1784 sehingga 1885. Sistem Kangchu diasaskan oleh Tan Nee Soon yang merupakan ketua kongsi gelap Ngee Heng di Tebrau, Johor. Punca yang menyebabkan kongsi gelap ini wujud adalah apabila seorang pemimpin berjaya menguasai kawasan sungai atau mata air perlombongan. Maka pemimpin tersebut dilantik oleh pembesar Melayu untuk menjadi wakilnya mengutip cukai dan menguruskan kuli-kuli Cina di kawasan perlombongan. Akibatnya, pemimpin ini akan dilantik sebagai Kapitan Cina atau Pemimpin Setempat mewakili komuniti Cina. Majoriti kapitan Cina atau ketua kongsi gelap ini mahir dalam persilatan kung fud an mempunyai kekayaan. Dua kumpulan kongsi gelap yang terkenal iaitu Ghee Hin dan Hai San merupakan pemain utama dalam politik penghijrah etnik Cina selepas tahun 1860an. Kongsi gelap Ghee Hin dibentuk pada tahun 1820 di Singapura dan Pulau Pinang. Ghee Hin bermaksud kebangkitan golongan yang benar untuk menentang penguasaan etnik Hakka yang menguasai kongsi gelap Hai San. Majoriti ahli-ahli Ghee Hin adalah dikuasai etnik Kantonese diikuti beberapa cawangan yang dikuasai oleh etnik Hokkien, Teochew, Hainan, Foo Chow dan juga Hakka. Pengasas kepimpinan Ghee Hin adalah Chin Ah Yam seorang etnik Hakka yang berasal dari Dabu, Guangdong. Pejabat mereka adalah di jalan Lavender Singapura. Kumpulan Ghee Hin ini pernah melakukan kekacauan sehingga membunuh melebihi 500 penganut Cina Kristian Katolik termasuklah memusnahkan pos pengawal British pada tahun 1876 di Singapura.
Sejak dari peristiwa ini berbagai-bagai pengenalan peraturan diperkenalkan oleh pihak British bagi membendung kegiatan kongsi gelap. Manakala kongsi gelap Hai San berasal dari Selatan China yang digunakan untuk menentang Dinasti Manchu. Akhirnya dibawah ke Pulau Pinang pada tahun 1820 dan 1825 yang dipimpin oleh Ho Ah Kow, Low Ah Chong. Pejabat mereka terletak di Jalan Beach atau Ujong Passir, Pulau Pinang. Majoriti yang menyertai kongsi gelap Hai San sebenarnya sudah mempunyai ikatan dengan persatuan-persatuan rahsia kongsi gelap sejak tahun 1799 di Pulau Pinang. Tujuan penubuhan kongsi gelap-kongsi gelap ini adalah melindungi golongan penghijrah daripada penindasan pihak British dan pemimpin-pemimpin tempatan. Seterusnya, penyertaan kongsi gelap-kongsi gelap juga menguatkan ikatan persaudaraan, kekitaan dan kebersamaan golongan etnik penghijrah ini. Kongsi Gelap Hai San dan Kongsi Gelap Ghee Hin pada asasnya akan diketuai oleh seorang kapitan yang dilantik dan dibayar gaji oleh pihak British tanpa pengetahuan British. Kapitan ini dipercayai menguruskan, mengatur sumber manusia dan memimpin golongan penghijrah ini. Persatuan Wah Sang yang menguasai kongsi gelap Hai San pada tahun 1854 merupakan anti Kongsi Gelap Ghee Hin. Persatuan Wah Sang ini mempunyai 11 peraturan antaranya Peraturan Kian Tek (Toh Pek Kong) yang dimulai pada 30 Disember 1844. Kedua-dua kongsi gelap ini akan berebut-rebut tempat perlombongan dan perekonomian di Malaya. Ini disebabkan selain daripada kutipan yuran perlindungan dan tahunan dari ahli-ahli, sindiket jualan timah dan dadah di pasaran gelap juga terlibat. Keadaan ini menyebabkan pihak British kerugian dan mulai campur tangan di negeri-negeri Melayu selepas berlakunya tiga peperangan antara dua kongsi gelap ini.
Perang Larut Pertama (1861-1862)
Perang Pertama Larut berlaku pada Julai 1861 yang disebabkan oleh pertikaian antara kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San ke atas pengawalan sumber air untuk perlombongan. Ahli-ahli kongsi gelap Hai San ingin mengeluarkan ahli-ahli kongsi gelap Ghee Hin yang menguasai kawasan Klian Baharu (Kamunting). Situasi ini tidak disenangi oleh ahli-ahli kongsi gelap Ghee Hin. Ini disebabkan kawasan perlombongan Klian Baharu adalah diterokai dan diasaskan oleh ahli-ahli kongsi gelap Ghee Hin di atas jemputan pembesar Negeri Perak, Ngah Ibrahim. Walaupun, Perak Utara, Kedah dan Pulau Pinang pada masa itu dikuasai oleh ahli-ahli kongsi gelap Hai San tetapi pekerjaan perlombongan diusahakan oleh kuli-kuli ahli kongsi gelap Ghee Hin. Kapitan kongsi gelap Ghee Hin mengadu permasalahan ini kepada pihak British supaya mencampuri pertikaian ini. Keengganan pihak British mencampuri pertikaian ini pada awalnya disebabkan enggan terlibat dengan isu Perak yang dianggap bukan milik kawasannya. Pada masa yang sama arahan daripada London adalah hanya menumpukan perhatian ke atas Pulau Pinang.
Akibatnya pergaduhan dicetuskan apabila beberapa ahli-ahli kongsi gelap Ghee Hin dibunuh kerana isu perjudian. Situasi ini menyebabkan ahli-ahli kongsi gelap Ghee Hin membalas dendam dengan menyerang penempatan ahli-ahli kongsi gelap Hai San. Keadaan ini menjadi tidak terkawal apabila bantuan daripada ahli-ahli kongsi gelap Ghee Hin dari Selangor dan Singapura mulai tiba membantu ahli-ahlinya yang teranaiya di atas ketidak adilan layanan ahli-ahli kongsi gelap Hai San. Pergaduhan ini menyebabkan bekalan timah kepada pihak British terganggu dan menyebabkan harga timah naik mendadak apabila banyak kawasan perlombongan timah terjejas. Hampir separuh perlombongan timah di Malaya terlibat dalam Perang Larut Pertama kali berlaku dan menjejaskan bekalan timah kepada pihak British. Kedudukan pihak British semakin terganggu apabila berlakunya pergaduhan berlaku di Pulau Pinang dan Singapura yang melibatkan kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin. Banyak kerosakan awam berlaku dan serangan ke atas gereja yang melibatkan penganut Cina Katolik juga telibat. Ini menyebabkan pihak British memohon bantuan pembesar Perak iaitu Menteri Larut, Ngah Ibrahim untuk menyelesaikan pertikaian ini. Akibatnya pihak Menteri Larut, Ngah Ibrahim membayar ganti rugi kepada Ghee Hin sebanyak 17447 pound. Manakala Hai San juga perlu membayar ganti rugi kepada pihak British di atas kerosakan awam yang dilakukannya. Tanda tangan perdamaian ini mencerminkan kekalahan Hai San kepada Ghee Hin. Ini disebabkan pihak British menyebelahi Ghee Hin.
Perang Larut Kedua (1865)
Perang Larut kedua berlaku pada Jun 1865 juga melibatkan isu perjudian. Perjudian ini melibatkan pertaruhan antara dua kumpulan kongsi gelap. Ahli-ahli kongsi gelap Ghee Hin kalah dalam perjudian tersebut dan 14 ahlinya ditangkap dan 13 daripadanya dibunuh oleh ahli-ahli kongsi gelap Hai San. Hanya seorang sahaja yang terselamat dan melarikan diri untuk memberitahu keadaan yang sebenar. Ini menyebabkan kepimpinan kongsi gelap Ghee Hin marah dan mula menyerang perkampungan Hai San dan membunuh 40 ahli Hai San. Perkampungan tersebut dibakar dan dimusnahkan. Pembalasan dendam tersebut merebak dari satu kawasan ke satu kawasan sehingga ke Pulau Pinang dan melibatkan banyak persatuan Cina terlibat. Keadaan menjadi tegang sehingga kapitan Cina tidak mampu mengawal keadaan tersebut dan memohon bantuan pihak British. Pergaduhan ini akhirnya menjadi satu peperangan yang mengambil masa dua bulan dan akhirnya kedua-dua kongsi gelap dipaksa berdamai. Kedua-dua kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin dipaksa membayar 5 000 pound kerana menimbulkan kekacauan sehingga merosakkan kemudahan infrastruktur awam di Pulau Pinang. Kedua-dua ketua pemimpin kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin dibuang ke China. Sistem kapitan Cina diperkenalkan di Pulau Pinang bagi mengawal kegiatan kongsi gelap Cina. Tetapi kuasa kapitan Cina di Pulau Pinang hanya terhad di Pulau Pinang sahaja. Pada akhir tahun 1870, seramai 40 ribu etnik Hakka dan Kantonis bekerja di Larut dan penempatan mereka berhampiran antara satu sama lain. Kedua-dua etnik ini mengamalkan budaya yang berlainan dan memasuki kongsi gelap yang berlainan.
Perang Larut Ketiga (1871-1872)
Dalam perang ketiga ini sebenarnya melibatkan kes perzinaan antara ketua Ghee Hin dengan isteri saudara sepupu ketua Hai San iaitu Chung Keng Quee. Kedua-dua mereka disiksa dan diletakkan ke dalam bakul khinzir sebelum dilemaskan sehingga mati. Hukuman ini adalah hukuman undang-undang adat Cina. Kes ini berlaku pada tahun 1871. Hukuman kes ini dilihat berat sebelah kerana hukuman ini dijalankan tanpa adanya saksi dan bukti yang kukuh. Ini disebabkan hukuman ini dilaksanakan oleh ketua kongsi gelap Hai San ke atas ketua kongsi gelap Ghee Hin. Akibatnya ramai pengikut-pengikut kongsi gelap Ghee Hin ingin membalas dendam. Seramai 4000 tentera upahan dari Tanah Besar China yang dibiayai oleh kongsi gelap Ghee Hin tiba di penghujung tahun 1871 melalui pelabuhan Pulau Pinang. Akibatnya pengikut-pengikut kongsi gelap Ghee Hin bersama 4000 tentera upahan mula menyerang penempatan ahli-ahli kongsi gelap Hai San di Larut dan Matang. Ratusan pengikut kongsi gelap Hai San dibunuh dan seramai 10 000 pengikut-pengikut kongsi gelap Hai San melarikan diri ke Pulau Pinang. Mereka memohon bantuan British untuk perlindungan daripada dibunuh dan diburu oleh tentera upahan kongsi gelap Ghee Hin.
Situasi peperangan kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin memakan masa selama berbulan sehingga akhirnya pengikut-pengikut kongsi gelap Hai San berundur dari semua kawasan perlombongan di Larut dan Matang. Raja Abdullah dan Ngah Ibrahim menyebelahi kongsi gelap Ghee Hin untuk menentang penguasaan kongsi gelap Hai San yang disokong oleh Sultan Perak dan pembesar-pembesarnya.
Peperangan ini berhenti seketika apabila British memberi amaran akan mencampuri pertelingkahan ini dengan menyebelahi kongsi gelap Hai San. Maka, gencatan senjata dimeterai untuk memenuhi kehendak British pada pertengahan tahun 1872.
-Iskandar Hasan Tan
Copy and paste: 29 Februari 2020 / 5 Rejab 1441H : 5.06 am

No comments:

Post a Comment