ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 22 February 2020

OPERATION REDWINGS

Kredit: FB Pencinta Dunia Ketenteraan dan Pertahanan
"Operation Redwings" pada 28 Jun 2005. Pada awalnya operasi ini dimulakan dengan penyusupan empat orang anggota komando Navy SEAL Amerika Syarikat ke lembah Korengal, Afghanistan. Misi tim SEAL ini adalah untuk mengumpul maklumat terkini mengenai kegiatan kepimpinan Taliban dan Al-Qaeda yang berada di lokasi tersebut. Keempat-empat anggota SEAL tersebut menyusup masuk ke kawasan pergunungan yang dipenuhi hutan tebal dan berkabus. Setiap anggota dilengkapi dengan pelbagai sistem dan peralatan canggih, termasuk raifal M-4 dipasangkan dengan sistem penyenyap bunyi, pelancar grened M-203, teleskop dan penunjuk laser. Peralatan elektronik yang dibawa bersama mereka adalah sistem pengukur jarak laser, komputer bimbit, sistem GPS, dan pelbagai lagi. Kelengkapan yang dibawa menunjukkan mereka adalah tim peninjau jarak jauh yang bakal merisik dan mengumpulkan maklumat kekuatan musuh. Mereka juga diberikan kebenaran oleh markas atasan untuk membunuh pemimpin Taliban sekiranya dijumpai. Dengan sistem GPS yang ada pada mereka, kedudukan mereka sentiasa dipamer sebilang masa kepada pusat operasi di Kabul.
Apa yang tidak diketahui oleh anggota SEAL tersebut ialah kehadiran mereka telah pun disedari oleh pejuang Taliban yang turut merancang untuk memburu anggota SEAL ini. Lima kumpulan pejuang Taliban dengan setiap kumpulan dianggotai oleh lima ke tujuh orang pejuang yang hanya bersenjatakan raifal AK-47 dan pelancar roket RPG-7 menuju ke kawasan pergunungan di mana anggota SEAL berada. Kumpulan Taliban ini dengan pantas mula menghampiri kedudukan tim SEAL menjelang tengahari, anggota SEAL yang menyedari posisi mereka telah terdedah terpaksa bertempur dengan pejuang Taliban. Dalam keadaan terdesak dan mengelak daripada terkepung, keempat-empat anggota SEAL cuba membolosi perangkapTaliban. Mereka sempat menghantar mesej pendek kepada pusat operasi di Kabul, meminta agar pesawat udara dihantar untuk membawa mereka keluar dari lokasi tersebut dengan kadar segera. Sejurus selepas mesej diterima oleh markas operasi di Kabul, kedudukan tim SEAL tersebut hilang dari paparan skrin komputer, ianya memberi isyarat bahawa keempat-empat anggota tersebut telah terpaksa membuang segala peralatan dan kelengkapan yang dianggap membebankan dalam usaha mereka memboloskan diri di kawasan pergunungan yang curam dan menyukarkan pergerakan mereka. Manakala pihak Taliban sentiasa bergerak pantas kerana hanya membawa raifal dan pelancar RPG sahaja. Setelah mendapat isyarat kedudukan anggota mereka dalam bahaya, satu pasukan mencari dan menyelamat tempur (SCAR) telah dibentuk yang terdiri dari lapan orang lagi anggota SEAL dan lapan anggota Task Force 160 "Night Stalkers" tentera udara AS bergerak ke Lembah Korengal dengan 2 buah helikopter Chinook, sebuah daripadanya sebagai pengiring perlindungan.
Sebaik tiba di kawasan operasi, helikopter tersebut berlegar-legar bagi mencari kedudukan sebenar anggota mereka yang terperangkap, pada waktu inilah salah satu kumpulan Taliban yang memburu anggota SEAL telah menembak jatuh sebuah helikopter MH-47 Chinook dan mengorbankan kesemua anggota SEAL dan krew pesawat. Manakala sebuah lagi Chinook terpaksa beredar menyelamatkan diri bagi mengelak menjadi sasaran seterusnya. Di Lembah Korengal, tiga dari anggota SEAL telah berjaya ditumpaskan oleh Taliban manakala seorang lagi berjaya memboloskan diri, dan dengan bantuan seorang pengembala kambing akhirnya beliau berjaya diselamatkan oleh pasukan tentera AS yang lain.
Operasi "Redwings" telah memberi pengajaran pahit kepada komuniti pasukan khas AS dengan kehilangan 19 orang anggota dari tim SEAL dan Task Force 160. Dimana dalam keadaan tertentu segala kekuatan dan kecanggihan yang dimiliki pasukan udara dan pasukan khas gagal menyelamat anggota mereka yang berada dalam bahaya.
Oleh Bob513
Copy and paste: 22 Februari 2020 / 29 Jamadil Akhir 1441H : 10.37 pm

No comments:

Post a Comment