ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 6 February 2020

HUKUM KHUNSA MUSYKIL MELAKUKAN UMRAH .

KREDIT: FB SEJARAH ALAM MELAYU

Ahlussunnah Wal Jamaah Research Group (ARG) telah menerima beberapa soalan tentang hukum khunsa musykil melakukan umrah. Islam mempunyai aturan untuk segalanya, termasuklah hukum-hakam seorang hunsta yang mahu melakukan umrah dan haji. Hukum hakam ini perlulah dirujuk pada kitab-kitab fiqh yang muktabar dan tidak seenaknya diulas tanpa terikat dengan hukum hakam yang digariskan oleh ulama.
1. Haji dan umrah adalah kewajipan bagi kaum muslimin, baik lelaki atau perempuan bagi yang mampu. Termasuk juga khunsa musykil, iaitu seseorang yang memiliki dua alat kemaluan lelaki dan perempuan serta tidak tampak sifat salah satunya. Dalam umrah, amalan yang dilakukan adalah ihram, membaca talbiyyah, melaksanakan larangan ihram, tawaf, sa’i dan tahallul umrah (cukur rambut atau memotong rambut).
2. Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (XX/26) disebutkan:
ذَهَبَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ إِلَى أَنَّ الْخُنْثَى كَالأْنْثَى فِي شُرُوطِ وُجُوبِ الْحَجِّ ، وَفِي لُبْسِ الْمَخِيطِ ، وَالْقُرْبِ مِنَ الْبَيْتِ ، وَالرَّمَل فِي الطَّوَافِ ، وَالاِضْطِبَاعِ ، وَالرَّمَل بَيْنَ الْمِيلَيْنِ فِي السَّعْيِ ، وَالْوُقُوفِ ، وَالتَّقْدِيمِ مِنْ مُزْدَلِفَةَ ، وَلاَ يَحُجُّ إِلاَّ مَعَ ذِي مَحْرَمٍ لاَ مَعَ جَمَاعَةِ رِجَالٍ فَقَطْ ، وَلاَ مَعَ نِسَاءٍ فَقَطْ ، إِلاَّ أَنْ يَكُونُوا مِنْ مَحَارِمِهِ .

“Jumhur fuqaha berpendapat, khunsa hukumnya seperti wanita dalam syarat-syarat haji, memakai pakaian yang dijahit, dekat dengan baitullah, ramal (lari kecil) dalam thawaf, memakai pakaian selempangan, ramal antara dua mail dalam sa’i, wukuf, didahulukan dari Muzdalifah, tidak boleh haji kecuali dengan mahramnya, BUKAN bersama jama’ah lelaki sahaja dan TIDAK dengan jama’ah perempuan sahaja, kecuali mereka mahramnya”.

Ini menunjukkan bahawa mahram seorang khunsa itu bukanlah lelaki atau perempuan semata-mata, tetapi dari jenis khunsa juga atau ahli keluarga mahram khunsa tersebut.
3. Dalam kitab Asna al-Mathalib (VI/310) disebutkan:
وَفِي أَحْكَامِ الْخَنَاثَى لِابْنِ الْمُسْلِمِ مَا حَاصِلُهُ أَنَّهُ يَجِبُ عَلَيْهِ أَنْ يَسْتُرَ رَأْسَهُ ، وَأَنْ يَكْشِفَ وَجْهَهُ ، وَأَنْ يَسْتُرَ بَدَنَهُ إلَّا فِي الْمَخِيطِ فَإِنَّهُ يَحْرُمُ عَلَيْهِ احْتِيَاطًا قَالَ الْإِسْنَوِيُّ وَالْأَذْرَعِيُّ وَمَا قَالَهُ حَسَنٌ

“Dalam kitab Ahkam al-Khunatsa karangan Ibn Muslim disebutkan yang kesimpulannya adalah wajib bagi khuntsa menutup kepala, membuka wajah, menutup badan kecuali pakaian yang dijahit yang diharamkan kerana hati-hati. Al-Asnawi dan al-Adzrai berkata bahawa ucapan Ibn Muslim adalah bagus”.

4. Dalam Asna al-Mathalib juga disebutkan:
وَقَالَ فِي الْمَجْمُوعِ وَيُسْتَحَبُّ أَنْ لَا يَسْتُرَ بِالْمَخِيطِ لِجَوَازِ كَوْنِهِ رَجُلًا وَيُمْكِنُهُ سَتْرُهُ بِغَيْرِهِ هَكَذَا ذَكَرَهُ جُمْهُورُ الْأَصْحَابِ
“An-Nawawi dalam al-Majmu’ berkata: “Sunat tidak menutupi dengan pakaian yang dijahit, kerana boleh sahaja dia adalah laki-laki. Dan mungkin sahaja dengan pakaian selain yang dijahit. Demikian dikatakan jumhur ashhab”.
Juga disebutkan:
وَقَالَ السُّلَمِيُّ عَقِبَ ذَلِكَ قُلْت أَمَّا سَتْرُ رَأْسِهِ فَوَاجِبٌ احْتِيَاطًا ، وَلَا يَسْتُرُ وَجْهَهُ ؛ لِأَنَّهُ إنْ كَانَ أُنْثَى فَكَشْفُهُ وَاجِبٌ أَوْ رَجُلًا لَمْ يَلْزَمْهُ سَتْرُهُ ، وَأَمَّا سَتْرُ بَدَنِهِ فَيَجِبُ ؛ لِأَنَّهُ إنْ كَانَ أُنْثَى فَوَاضِحٌ أَوْ رَجُلًا فَجَائِزٌ وَالسَّتْرُ مَعَ التَّرَدُّدِ وَاجِبٌ
“As-Sulami berkata setelah itu. Dia berkata: “Komentarku, menutup kepala ada wajib kerana hati-hati, tidak boleh menutup wajah, karena jika dia perempuan, maka membuka hukumnya wajib atau dia laki-laki, maka tidak wajib menutup wajah. Adapun menutup badan adalah wajib, kerana jika dia perempuan, maka hukumnya jelas. Jika dia laki-laki, maka boleh sahaja. Dan menutup dengan keraguan (laki-laki atau perempuan) adalah wajib”.
5. Dalam al-Asybah wan Nazhair, Imam as-Suyuthi berkata:

و رفع الصوت بالتكبير و التلبية

“Khunsa tidak mengeraskan suara takbiran dan talbiyyah”.
6. Adapun dalam halqu atau taqshir, khunsa yang terbaik adalah taqshir seperti perempuan. Dalam al-Majmu’ disebutkan:
وظيفة الخنثي التقصير دون الحلق قال والتقصير افضل كالمرأة

“Tugas khunsa adalah taqshir (potong rambut) bukan cukur rambut. Qadhi Abu Futuh berkata, taqshir lebih utama seperti perempuan”.

7. Dengan demikian, ketika pergi umrah, khunsa mesti membawa mahram, memakai pakaian seperti wanita (menutup aurat seperti wanita), membaca talbiyyah dengan suara perlahan, boleh memakai pakaian yang dijahit (ada khilaf ulama’) dan yang muktamad sunat tidak memakai pakaian yang dijahit dan yang utama adalah taqshir (potong rambut) tidak cukur. Adapun amalan umrah yang lain sama seperti laki-laki atau perempuan yang tidak dibezakan.
8. Timbul juga persoalan bagaimana seorang lelaki yang membuang kemaluan lelakinya dan menggantikan dengan kemaluan perempuan? Adakah ia dikira sebagai khunsa juga? jawapannya ia adalah isu yang berlainan dan mempunyai perbahasan yang tersendiri.
Disediakan Oleh:
Nur Hidayat Muhammad

Unit Penyelidikan
Ahlussunnah Wal Jamaah Research Group (ARG)

Copy and paste:
6 Februari 2020: 7.57 am

No comments:

Post a Comment