ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 10 January 2020

SEJARAH TAPAK WARISAN GEREJA SACRED HEART OF JESUS, PAGAR TRAS

Oleh : Unit Pelancongan Dan Warisan
BUKIT MERTAJAM - Menurut cerita lisan oleh penduduk Sungai Lembu menceritakan, di sini terdapat sebuah gereja lama yang terletak kira-kira 1 kilometer dari simpang masuk Jalan Kulim yang dikatakan telah terbiar sekian lama sejak tahun 1942 di kawasan Bukit Mertajam.
Gereja Sacred Heart of Jesus, Pagar Tras, Sungai Lembu itu adalah sebuah runtuhan bangunan lama yang dibina 133 tahun yang lalu itu dikatakan mengandungi ciri-ciri struktur yang menyerupai Katedral Notre Dame yang terletak di Paris.
Gereja ini pada asalnya dibuat untuk masyarakat Katolik yang sebahagian besarnya adalah Cina berketurunan Hakka yang berpindah ke Pagar Tras sebagai petani.
Gereja itu juga dikatakan telah dibina pada tahun 1882 oleh seorang paderi dari Perancis sebagai pusat ibadat di Bukit Mertajam.
Menurut sesetengah pihak mengatakan, Misi ajaran Katolik telah ditubuhkan oleh Reverend Father Allaid dari Persatuan Misi Luar Paris (Societe des Misi Etrangeres de Paris) yang tiba 150 tahun yang lalu di Pagar Tras itu adalah sekitar tahun 1866.
Kawasan ini dahulunya didiami oleh petani-petani berketurunan Hakka yang berhijrah ke Bukit Mertajam kerana berlakunya pergolakan di negara China yang disebabkan oleh kebuluran dan pemberontakan.
Selepas 60 tahun Gereja Sacred Heart of Jesus ini digunakan oleh penduduk Pagar Tras, kesemua paderi-paderi dalam gereja itu dikatakan telah dibunuh dengan kejamnya oleh tentera Jepun dalam tahun 1942.
Tentera Jepun yang pada ketika itu bertindak zalim dengan misi "Hang The Pope and Burn Him" (ハンギングと彼女の牧師を燃焼) itu dikatakan telah menghancurkan kebanyakkan institusi gereja di sekitar Bukit Mertajam, namun keadaannya berbeza selepas 4 tahun Jepun bermaharajalela, apabila kawasan gereja di Pagar Tras itu dikatakan telah digunakan pula oleh pihak Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai tempat pelindungan strategi militan.
Pihak PKM dikatakan telah membina sebuah terowong sepanjang 3 kilometer dari kawasan gereja ke tokong Tangga Seribu di Bukit Mertajam.
Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua dalam tahun 1945, Bukit Mertajam telah dicengkam oleh pengganas Komunis. Penduduk Pagar Tras yang tinggal dalam sekatan dan tekanan di antara tentera kerajaan dan militan komunis, maka pihak British telah membuat keputusan untuk memindahkan penduduk-penduduk kampung keluar dari Pagar Tras berpindah ke kawasan lain bertujuan untuk mengelak para penduduk membantu serta melindungi pihak komunis secara rahsia.
Seramai 14 keluarga telah dipindahkan ke Sungai Lembu, manakala 30 keluarga lagi telah dipindahkan ke Machang Bubok dan selebihnya ditempatkan semula di tempat-tempat lain seperti Kulim, Bukit Mertajam dan Pulau Pinang.
Oleh kerana arahan berpindah itu dikuatkuasakan, maka Gereja Sacred Heart telah ditinggalkan begitu saja tanpa ada sebarang aktiviti keagamaan diadakan, yang ada hanyalah 100 perkuburan Kristian yang cuma dikunjungi pada hari-hari perayaan tertentu sahaja.
Selepas Pagar Tras ditinggalkan selama lebih 15 tahun, pihak komunis dikatakan tidak mampu lagi untuk berhadapan dengan pihak British. Kawasan berkenaan telah dikepung dan pihak komunis juga tidak mendapat bantuan daripada penduduk-penduduk kampung untuk terus mempertahankan Pagar Tras daripada diserang oleh tentera British.
Maka dalam tahun 1960, kesemua militan komunis yang berada di Pagar Tras itu dikatakan telah membunuh diri beramai-ramai dengan mengantungkan diri mereka di dalam terowong berkenaan.
Ada juga yang mengatakan tindakan membunuh diri itu disebabkan mereka tidak berpuas hati dengan keputusan pemimpin atasan mereka yang telah berunding dengan pihak kerajaan Malaya untuk menamatkan persengketaan dan meletakkan senjata.
Ekoran daripada dua peristiwa hitam yang berlaku di Pagar Tras, iaitu pertama tentang pembunuhan paderi oleh tentera Jepun dan yang kedua tentang penggantungan diri beramai-ramai dalam terowong oleh militan komunis itu, maka kawasan ini dikatakan sering berlaku perkara-perkara misteri yang menganggu penduduk setempat dengan jelmaan makhluk halus seperti wanita berpakaian putih sambil mendukung bayi dan jelmaan makhluk halus berpakaian tentera yang berada dalam kawasan gereja berkenaan.
Lokasi : Dropped Pin near Mukim 17, Penang
5.358248,100.520244


© 2016. UNIT PELANCONGAN DAN WARISAN
(MPSP - No. 045497535) All rights reserved.

Copy and paste:
10 January 2020 : 8.35 pm

No comments:

Post a Comment