ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 26 December 2019

SENJATA API MELAYU


Sebenarnya saya agak terkejut apabila tiba- tiba sahaja timbul isu senjata api Melayu sejak beberapa tahun lepas. Kononnya hal ini tidak diajar di sekolah sebab disorok British.
Setahu saya hal ini memang diajar di sekolah. Tak disorok pun. Sejak mula pandai membaca, saya selalu membaca buku subjek Sejarah dan Sastera saudara- mara saya yang lebih tua. Memang ada diceritakan perihal senjata api Melayu.
Maksudnya saya telah mengetahui orang Melayu sudah menggunakan senjata api sejak kanak- kanak. Selain itu perkara ini saya tahu melalui pembacaan cerita dongeng atau rakyat.
Bila dah masuk sekolah menengah tahap SPM kebetulan saya tergolong sebagai murid kurang pandai. Jadi saya masuk ke dalam aliran Sastera atau lebih tepatnya Sastera tulen.
Lagi sekali saya berjumpa dengan senjata api bangsa Melayu lama yang digunakan orang Melayu zaman dahulu. Saya jumpanya melalui sumber bacaan yang tersedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran formal di dalam kelas ( Sastera 2001-2002 & Sejarah 1998- 2002). Biasanya ia digelar sebagai bedil, ubat bedil, rentaka, pemuras, istinggar & meriam. Periuk api pun ada! Tak lupa mercun.
Jujurnya saya tak kenal fizikal setiap senjata api atau bahan letupan itu secara spesifik sebab tak pernah jumpa dan tiada atau sangat kurang bahan bergambar. Apa yang pasti kesemuanya tercatit.
Walaupun begitu saya tak takjub langsung sebab saya bukan belajar secara bawah tanah dan berdasarkan sumber bawah tanah. Sebaliknya melalui arus perdana. Dan saya percaya saya bukan satu- satunya manusia yang mengambil mata pelajaran Sejarah dan Sastera. Saya masa tu percaya ramai orang tahu perihal ini.
Tup tup tiba- tiba beberapa tahun lepas (termasuklah tahun lepas) timbul isu ini konon tak diajar di sekolah.
Bukan saya mahu mempersoalkan pengetahuan orang lain; "Pergi sekolah belajar ke tak? " atau "Buat latih tubi soalan ramalan sebab nak lulus periksa je ke?". Bukan itu niat saya. Lagipun nampak macam saya ni poyo pulak: "Macam dia sorang je yang belajar." Padahal saya pun taklah berjaya mana.
Dan saya juga tak cakap cikgu tak tahu mengajar; sekadar ikut silibus mana masuk periksa atau cikgu tu bukan ahlinya.
Namun saya hairan juga; tiadakah individu yang belajar dan mengajar sastera tulen atau paling kurang tahu mengenainya yang cuba membetulkan tanggapan bahawa tiada yang disembunyikan mengenai senjata api Melayu? Mungkin ada cuma tidak menonjol barangkali.
Tidak mengapa kerana ada isu lain yang lebih utama yang ingin saya sentuh.
Tatkala kita heboh dengan senjata api tradisi Melayu kononnya baru dibongkar tetapi pernah terfikir tak faktor lain yang menyokong penggunaan senjata api tersebut?
Ada yang mempersoalkan mengapa Melayu kalah walaupun guna senjata api? Ada yang menjawab disebabkan faktor strategi dan pengkhianatan.
Saya tak tolak faktor- faktor yang dikemukakan itu sebagai jawapan tetapi saya percaya faktor lain tidak kurang penting; penambahbaik teknologi melalui penciptaan berterusan dan pembuatan besar-besaran secara berpiawai dan seragam.
Suka dimaklumkan bahawa saya tiada kelayakan langsung dalam bidang sains tulen dan senjata api tetapi ada sejarah menarik yang ingin saya kongsi secara ringkas.
Telah beratus tahun senjata api tak kira namanya bedil, istinggar atau rentaka tidak mengalami evolusi perkembangan yang ketara; masih menggunakan bahan peledak (ubat bedil) yang sama dan juga sistem peledak yang sama yakni pakai batu api.
Sekitar kurun ke 19 potassium klorat telah dijumpai sebagai komponen ubat bedil yang lebih kuat berbanding potasium nitrat (juga dikenali sebagai saltpetre) yang biasa digunakan selama ini. Kemudian mercury fulminate ditemui sebagai bahan peledak yang hebat.
***terdapat variasi bahan kimia sebagai komposisi ubat bedil yang ditemui kemudiannya.
Masalahnya dengan kedua bahan ini walaupun ianya kuat dan hebat tetapi ianya terlalu berbahaya dan sukar dikawal. Jika penggunaan potasium nitrat lebih berfungsi sebagai bahan pencetus pembakaran dengan membekalkan oksigen kepada campuran serbuk arang dan belerang (sulfur) di dalam ubat bedil, tetapi potassium klorat dan mercury fulminate lebih kepada bahan peledak.
Para pencipta zaman dahulu cuba menyesuaikan formula pemuatan/loading yang sesuai ke dalam senjata api namun kesemuanya gagal.
Sistem pembakaran dan peledak senjata api zaman dahulu terdiri secara asasnya terdiri daripada tiga komponen: bekas bertutup yang dipanggil pan, plat besi untuk diketuk dan penukul batu api untuk mengetuk bagi menghasikan percikan bunga api.
Sebelum penggunaan batu api, sistem cucuhan sumbu digunakan dalam pembakaran untuk meledak ubat bedil. Biasanya sumbu dibuat daripada serat tumbuhan seperti ganja dan sudah siap dinyalakan dengan kadar yang amat perlahan. Kelemahannya tentulah tidak boleh digunakan dalam hujan atau dalam air. Juga kurang sesuai digunakan di kawasan berangin kuat. Selain kepanjangan sumbu perlu diubahsuai bagi memastikan cucuhan sampai pada ubat bedil.
Kemudian sistem yang menggunakan batu api (flint stone) diperkenalkan telah dapat menutupi banyak kelemahan penggunaan sumbu.
Sistem sebegini sememangnya sesuai untuk ubat bedil yang terdiri daripada campuran serbuk arang, belerang dan potasium nitrat. Namun sangat tidak sesuai untuk potassium klorat atau mercuric fulminates. Malah sangat bahaya khususnya penggunaan batu api itu sendiri.
Akhirnya timbullah idea bijaksana tetapi sangat ringkas sebagai penyelesaian kepada masalah ini. Batu api disingkirkan dan penukul hanyalah terdiri daripada besi semata- mata. Hasilnya sangat menakjubkan; kedua jenis bahan kimia kuat yang bahaya dan sukar dikawal itu berjaya dimanfaatkan begitu baik sekali.
Berikutan penemuan bijak ini, timbul usaha untuk mencipta katrij atau kelongsong memandangkan penemuan ini sesuai untuk perkembangan penciptaan kelongsong.
Suatu ketika dahulu proses pemuatan peluru dan ubat bedil membabitkan prosedur yang rumit, bahaya dan mengambil masa. Penciptaan kelongsong membolehkan peluru dan ubat bedil dimuatkan dengan serentak pada satu masa yang singkat, campuran ubat bedil yang seragam dan selamat.
Pelbagai jenis kelongsong dicipta oleh pelbagai pihak berbeza. Akhirnya kelongsong yang secara asasnya terdiri daripad tiub sebagai badan, buntutnya sebagai tempat untuk menerima ketukan, tengah badan sebagai tempat menyimpan bahan peledak dan muncung hadapan sebagai tempat peluru.
Pembuatan atau produksi memainkan peranan penting dalam menyokong senjata api. Moden macam mana sekalipun, jika pembuatan lemah, tidak ke mana.
Senjata api dibuat besar- besaran dalam jumlah yang banyak di kilang- kilang. Ianya bukan lagi produk dari rumah atau bengkel kecil yang dihasilkan secara terhad.
Pembuatan skala besar- -besaran secara pukal atau "mass production" dijayakan oleh mesin-mesin hasil teknologi dan kejuruteraan yang maju.
Dahulu pembuatan senjata api melibatkan tidak ramai pekerja dan mereka itu adalah tukang mahir yang menghasilkan produk dengan kualiti yang berbeza di antara setiap satunya atau setiap tukang. Ianya lebih kepada kerja seni.
Seiring dengan kemajuan, pembuatan secara pukal melibatkan ramai pekerja atau buruh tidak mahir. Kerja yang dahulunya merupakan kerjaya seni yang memerlukan kepakaran dan ketelitian yang tinggi tetapi kemudian bertukar menjadi satu kerja rutin yang berulangan. Kualiti produk atau senjata api yang dihasilkan adalah seragam.
Peristiwa yang saya sebutkan berlaku sekitar kurun ke 18 dan 19. Temasuk kurun 20. Selari dengan revolusi perindustrian di Eropah. Pada masa yang sama kemuncak negara Eropah sebagai kuasa penjajah. Perkembangan pesat yang selanjutnya membimbing kepada perang dunia pertama dan kedua.
Selari dengan itu juga ilmu pentadbiran perniagaan semakin berkembang pesat dengan kemunculan pelbagai teori dan kaedah pengurusan yang tercetus dan digunapakai dalam revolusi perindustrian serta kancah perang dunia dan selepasnya. Contohnya PERT (Program Evaluation & Revision Technique), CPM (Critical Path Method), Gantt Chart, Linear Programming, Assembly Line, Layout Analysis, Teori Hirarki Keperluan Abraham Maslow dan sebagainya.
Sumber Sejarah;
Sejarah Asia Tenggara, Asia Tengah dan Asia Timur 1800- 1963/Edisi Kedua/Abdullah Zakaria Ghazali, Azharudin Mohd Dali, Azhar Hj Mad Aros & Suffian Mansor/ Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd 2003/ Cetakan pertama 2000

Sumber sastera;
1) Analisis Kritis Pantun dan Puisi Melayu Tradisi STPM/ Moechtar Awang/ Penerbit Elman Sdn. Bhd/ 1992

2) Edisi Pelajar Sulalatus Salatin Sejarah Melayu/ Penyelenggara: A. Samad Ahmad/Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur/2003/ Cetakan pertama 1979
Sumber gambar;
Keris And Other Malay Weapon/ G. B. Gardner (Johore Civil Service/ Diedit B. Lumsden Milne/ Progressive Publishing Company/Jalan Killiney, Singapura/1932

Sumber sokongan;
1)Pengajian Perniagaan STPM/ Teng Yoon Soon, Lok Chung Hwa & Abdullah Munsi bin Abdul Rahim/Pustaka Saujana 1999

2)Operation Management/ Roaimah Omar/ Pusat Perkembangan Pendidikan Universiti Teknologi Mara 2002/ Cetakan pertama 1999
Sumber lain;
Wikipedia

Sumber sejarah kartrij;
Laman web Positive Shooting: The History Of The Cartridge

Copy and paste: 26/12/2019: 8.05 am

No comments:

Post a Comment