ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 11 December 2019

Di Manakah Hang Tuah Ketika Melaka Diserang Portugis?

Yusrin Faidz - FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara

Pengkaji sejarah mengemukakan pelbagai faktor penyebab kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Ini termasuk faktor luaran iaitu Portugis yang lebih mahir dalam taktik pertempuran; dan faktor dalaman iaitu kelemahan pentadbiran dan juga perbuatan khianat pedagang terkaya Melaka iaitu Nina Chatu dan Utimutiraja.
Terdapat rekod dalam simpanan Maharaja Ming iaitu Ming Shi-lu (MSL) yang saya ingin kemukakan sebagai sebab utama kekalahan Melaka pada Ogos 1511. Ianya secara langsung menjawab persoalan mengapa Laksamana Melaka yang tangkas dan armada lautnya yang digeruni tidak mempertahankan Melaka dari serangan Portugis.
Seperti yang pernah dirumuskan, Laksamana Melaka sekitar 1470-1481, yang juga dicatat sebagai Laksamana Hang Tuah dalam karya agung Hikayat Hang Tuah (HHT) dan Sulalatus Salatin / Sejarah Melayu (SM), berada di Ryukyu pada April 1481 dan kemudian di Cina dari Ogos hingga Sept 1481. Menurut rekod Rekidai Hoan (RH) dan MSL, agenda diplomasi Melaka ketika itu adalah untuk membuat aduan tentang tindakan agresif Annam yang telah membunuh Laksamana Melaka sebelumnya (MSL: "Duan-ya-ma-la-di-na-da Wei-zhe-ran-na" / Tuan Laksamana DiRaja Sang Bija Ratna?) bersama-sama ahli rombongannya pada 1469, dan untuk mendapat keizinan Kerajaan Ming dalam melengkapkan bala tentera dengan senjata secukupnya bagi menyerang Annam.
Lihat:
Berdasarkan HHT, Laksamana Hang Tuah dikatakan membeli 6 ekor gajah di Siam dan sebelum itu telah melawat Brunei. Jika dirujuk silang MSL, beberapa ekor gajah telah dibawa rombongan yang diketuai Laksamana Melaka dan telah dihadiahkan kepada Maharaja Ming pada 27.8.1481. Berdasarkan HHT, terdapat catatan bahawa Laksamana Hang Tuah telah ke Turki Uthmaniyyah (Rum) sekitar 1482 untuk membeli 3,000 pucuk bedil dan pelbagai senjatapi, di mana beliau sempat menunaikan ibadah Haji pada musim haji 886H (8 hingga 12 Zulhijah) bersamaan 28.1.1482 hingga 1.2.1482. Melalui HHT juga kita maklum bahawa apabila belayar jauh, armada Melaka selalunya belayar dalam kumpulan 40 hingga 50 buah kapal bersama lebih kurang 1,500 hingga 2,000 anak kapal. Sebagai contoh, menurut HHT pelayaran Laksamana Hang Tuah ke Jeddah diiringi 42 buah kapal yang memuatkan 1,600 bala tentera.
Menurut catatan Mao Qiling, Melaka mempunyai bala tentera yang kuat. Direkodkan Mao Qiling juga bahawa 30,000 tentera Annam yang lengkap dengan istinggar dan rentaka telah dikalahkan oleh tentera Melaka di Lanxang sekitar tahun 1483. Dari sudut garis masa, perperangan ini berlaku sejurus Melaka mendapatkan senjatapi dan bedil dari Turki Uthmaniyyah. Jadi, secara logik, semestinya tentera Annam telah diperangi Melaka dengan menggunakan 3,000 bedil dan senjatapi Turki Uthmaniyyah tersebut.
Menurut MSL lawatan ufti Melaka ke Cina yang berikutnya berlaku dari 29.12.1508 hingga 2.1.1509. Akan tetapi, kali ini ketua rombongan ufti Melaka membahasakan dirinya sebagai Tuan Haji (MSL: 'Duan Ya-zhi' (端亞智)). Saya berpendapat berdasarkan cerita Hang Tuah ke Mekah dalam HHT, sosok Tuan Haji ini dan ketua rombongan Melaka yang sebelumnya (April 1481) iaitu Tuan Laksamana DiRaja (MSL: 端亞媽剌的那查 / Duan-ya-ma-la-di-na-zha) adalah orang yang sama.
Juga saya rujuk silang HHT & SM di mana ketika itu jawatan Laksamana telah diserahkan kepada penjawat seterusnya iaitu Laksamana Khoja Hassan dan kemudiannya Laksamana Hang Nadim. Juga terdapat cacatan dalam SM di mana Laksamana Melaka pada sekitar tahun 1492 (anggaran) adalah Laksamana Hang Nadim dalam kisah beliau membawa lari Tun Teja dan bertempur dengan perahu tentera Sultan Pahang di Pulau Keban (kini Pulau Aceh di Mersing).
Seperti yang kita maklum, kedatangan Portugis pertama pada September 1509 tidak mendatangkan hasil malah 20 laskar Portugis telah ditahan. Dalam kejadian lawatan pertama Portugis itu, HHT ada menyebut kewujudan seorang Laksamana tetapi beliau tidak diberi nama. Ketika itu, jika dibanding rekod MSL, Laksamana Melaka terdahulu yang ketika itu digelar Tuan Haji sedang dalam pelayaran ke Cina. Berpandukan jadual pelayaran berdasarkan angin monsun, beliau dianggar bertolak dari Melaka sekitar Ogos-September 1509 dan tiba di Guangdong pada Oktober-November 1509.
Portugis tidak putus asa dan telah kembali ke Melaka pada 1.7.1511. Ketika itu, Alfonso de Albuquerque mencatat hanya 4,000 tentera Melaka yang bersedia untuk perang (battle ready). Jadi kemana pergi yang lainnya? Juga amat pelik apabila Albuquerque mencatat terdapat jumlah senjata yang melebihi jumlah tentera. Iaitu terdapat antara 3,000 senjatapi pelbagai jenis yang ditinggalkan sejurus Melaka tumpas. Ini tidak termasuk senjata yang dibawa semasa berperang dan berundur ke Johor yang dianggar dalam jumlah 5,000. Albuquerque juga bersetuju dengan anggaran hasil risikan Nina Chatu dan Rui de Araújo yang menyatakan Kesultanan Melaka mempunyai lebih kurang 8,000 senjatapi.
Berbalik kepada rekod MSL yang ingin saya ketengahkan, terdapat catatan yang dibuat pada 2.3.1510 bahawa "Tuan Haji" iaitu pegawai tertinggi dalam rombongan ufti Kesultanan Melaka telah dibunuh oleh seorang bekas jurubahasa Cina bagi delegasi Melaka. Bekas jurubahasa tersebut bernama Huo-zhe Ya-liu (火者亞劉) (‘Haji Ya-liu' / Haji Melayu?) dan nama asal beliau adalah Xiao Ming-ju (蕭明舉) dari Jiang-xi, Cina. Beliau dicatat Cina sebagai bekas penjenayah dan pernah berkhidmat sebagai jurubahasa dibawah 'Tuan Haji' dan kemudian dinaikkan pangkat sebagai ketua rombongan ufti Melaka pada sessi ufti 1509. Memandangkan beliau juga bergelar Haji, boleh dirumuskan beliau juga menyertai rombongan Haji dari Melaka pada tahun 1482.
Dicatat bahawa pembesar Melaka seramai 21 orang termasuk Tuan Haji telah dibunuh di "Postal Relay Station" ('yi' 驛 atau 'yizhan' 驛站) di Guangdong oleh Haji Ya-liu dengan bantuan beberapa orang yang diketuai Peng Wan-chun. Perkara ini mungkin berlaku lebih kurang antara Oktober hingga November 1509 kerana rombongan ufti ini belum sempat bergerak melalui jalan darat ke Kota Larangan di Beijing.
Dicatat bahawa Haji Ya-liu, Peng Wan-chun dan kuncu-kuncunya telah ditangkap, dibawa ke ibu negeri di Beijing dan dihukum bunuh oleh Maharaja Zhengde atas kesalahan memberontak, membunuh, mencuri, memberi rasuah, dan menipu Kerajaan Ming untuk mengeluarkan dokumen kapal & mohor palsu dalam percubaan menipu dan mendapat barangan berharga dari Kesultanan Brunei melalui penyamaran sebagai wakil Kerajaan Ming.
Setelah dua kali siasatan dibuat, Haji Ya-liu dikenakan hukuman dihiris hidup-hidup (slow slicing / lingchi), manakala Peng Wan-chun dan beberapa orang yang lain dikenakan hukuman pancung. Kepala mereka telah diletakkan di perkarangan Kota Larangan.
Beberapa pegawai Kerajaan Ming yang terlibat didapati hanya bersubahat dalam memalsukan dokumen dan telah dikenakan hukuman ringan. Mereka terdiri dari:
1. Senior Interpreter Wang Yong. Setelah siasatan kedua dijalankan, hukuman bunuh beliau telah dikurangkan kepada denda 300 shi (18,000 kg) beras;
2. Usher Zhang Zi dibuang negeri ke sempadan dan dijadikan askar;
3. Pegawai 'Ministry of Rites' Hou Yong dibuang negeri ke sempadan dan dijadikan askar;
4. Battalion Commander Dong Yuan diturunkan 2 kenaikan pangkat;
5. Director Qiu Rang didenda 300 shi (18,000 kg) beras;
6. Menteri 'Ministry of Rites' Bai Yue dan lain-lain dihukum penggantungan gaji selama 3 bulan;
7. Guangdong grand defender, grand coordinator, pegawai dari 3 pejabat utama, dan pegawai-pegawai kawasan yang terlibat didenda 200 shi (12,000 kg) beras setiap seorang;
8. Pan Zhong pegawai 'Maritime Trade Supervisorate' telah diampunkan,
9. Pegawai-pegawai dari Jiang-xi (tempat asal Haji Ya-liu) dikatakan tidak berintegriti di mana 50 darinya telah dibuang kerja serta merta; dan catatan dibuat untuk tidak menaikan pangkat walau mereka tidak terlibat, juga catatan supaya calon daerah Jiang-xi tidak diambil bagi posisi kerja di Beijing, dan juga secara amnya mengurangkan calon pekerja dari daerah Jiang-xi tersebut.

Jika dilihat, pembunuhan delegasi Melaka ini dilakukan dengan terancang dan dengan bantuan penuh pegawai-pegawai Kerajaan Ming di Postal Relay Station Guangdong. Motif pembunuhan adalah dicatat berpunca dari pergaduhan antara Haji Ya-liu dan pembesar-pembesar Melaka, di mana Haji Ya-liu kemudian berkomplot untuk membunuh dan mencuri dari mereka. Saya percaya bahawa pembunuhan tersebut dilakukan dalam keadaan terdesak iaitu dalam motif untuk menutup perbuatan jenayah Haji Ya-liu yang telah didapati bersekongkol dengan pegawai Kerajaan Ming dalam mengeluarkan mohor palsu bagi menipu Kesultanan Brunei.
Memandangkan ketua dan pembesar mereka telah dibunuh, armada Melaka yang berlabuh di Guangdong tidak sempat pulang mengikut jadual pelayaran iaitu pada Disember 1509 hingga Januari 1510. Mereka perlu menguruskan pengkebumian pembesar-pembesar Melaka di Guangdong; dan kemudian mengikuti siasatan dan menunggu keputusan perbicaraan dan hukuman Haji Ya-liu dan lain-lain pesalah sekitar Februari 1510 di Beijing, dan kemudian menerima pesanan dan utusan Maharaja Ming untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka. Direkodkan perjalanan darat dari Guangdong ke Beijing mengambil masa 140 hari pergi dan balik.
Dalam catatan MSL dua pembesar Melaka yang terselamat iaitu "Po-jie-ya-ban" dan "Dun-du-si" (Tengku?) telah diarahkan untuk membawa balik laporan penuh siasatan dan butiran hukuman yang telah dijatuhkan terhadap kes pemberontakan Haji Ya-liu tersebut kepada Sultan Melaka. Armada Melaka kemudian perlu menunggu pertukaran angin seterusnya untuk belayar pulang. Akan tetapi tiada rekod dalam MSL tentang bila mereka memulakan pelayaran pulang.
Dirujuk silang dalam HHT & SM, adalah jelas bahawa Laksamana Hang Tuah tiada di Melaka semasa serangan Portugis pada Julai hingga Ogos 1511. Catatan Albuquerque pula menyatakan armada Melaka tiba disekitar perairan Melaka tapi tidak bertindak apabila mengetahui Melaka telah ditawan. Berdasarkan rekod MSL ini, adalah jelas kenyataan Albuquerque tentang Laksamana berumur 80 tahun yang dikatakan ingin kembali ke Melaka dan difitnah ingin berkhidmat dengan Raja Portugal adalah bukannya merujuk kepada Laksamana Melaka yang dibunuh di Guangdong (i.e. bukan Laksamana Hang Tuah menurut HHT & SM).
Pada pendapat saya penduduk Melaka yang menjadi asas teks penceritaan HHT dan SM tidak tahu sebab sebenar mengapa Laksamana dan armada Melaka tidak pulang untuk mempertahankan Melaka. Malah sehingga kini tidak diketahui kemanakah armada Melaka tersebut pergi setelah ditugaskan Maharaja Ming untuk memaklumkan kepada Sultan Melaka tentang tragedi yang menimpa 21 orang pembesar dan wakil Melaka di Cina.
Nota: Catatan ini hanyalah sekadar pendapat peribadi saya. Rekod-rekod MSL seharusnya diteliti dan dikaji lebih lanjut oleh ahli akademik dan mereka yang pakar dalam bidang kajian sejarah.
Rujukan:
1. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).
2. Ryukyuan Relations with Korea and South Seas Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hōan. Kobata, Atsushi and Mitsugu Matsuda (1969)
3. Sejarah Melayu diusahakan oleh W.G. Shellabear, Fajar Bakti, (1978).
4. Hikayat Hang Tuah, Kassim Ahmad (ed.), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975.
5. Mao Qiling. Mansi hezhi [A Comprehensive Record of the Aboriginal Chieftains]. Taipei: Guangwen Shuju, (1968).
6. Comentários de Afonso de Albuquerque, (1557), t. A Bailo, Combra (1923).
7. The postal stations (yizhan 驛站) in Ming China, Ralph Kauz in 'Trade and Transfer Across the East Asian "Mediterranean", Angela Schottenhammer (2005).
Copy and paste: 11.12.2019: 10.56 am

No comments:

Post a Comment