ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 22 December 2019

BAIBARS - HAMBA YANG MENJADI SULTAN


Oleh Amirzayyanid
Baibars I merupakan seorang Sultan yang sangat diingati terutama kerana kepemimpinannya, lebih-lebih lagi semasa memerangi Tentera Salib dan Mongol di samping kemahiran diplomatiknya yang tidak kurang hebat. Beliau sering dianggap sebagai Sultan Mamluk paling terkenal yang memerintah Mesir dan Syria pada Zaman Pertengahan.

Baibars I (juga dieja sebagai Baybars) merupakan Sultan Mamluk ke-4 yang memerintah Mesir dan Syria. Beliau secara umum dianggap oleh sejarahwan sebagai pengasas Dinasti Bahri. Tambahan lagi, Baibars juga bertanggungjawab memperluas sempadan Kesultanan Mamluk menerusi kempen-kempen ketenteraan dan diplomatik yang dilancarkannya.
{BAIBARS BERKHIDMAT KEPADA SULTAN}
Nama penuh Baibars adalah al-Malik al-Zahir Rukn al-Din Baibars al-Bunduqdar dan beliau dilahirkan di Kipchak Turk yang terletak di pantai utara Laut Hitam. Sekitar tahun 1242M, Kipchak Turk diserang oleh Mongol dan Baibars sendiri menjadi salah seorang tawanan perang yang dijual sebagai hamba.
Beliau kemudiannya dibeli oleh Sultan al-Salih Najm al-Din bin Ayyub, pemerintah Ayyubiah yang menguasai Mesir dan Syria. Baibars dihantar menjalani latihan ketenteraan di sebuah pulau di Nil, bersama hamba-hamba baru yang lain. Dalam sesi latihannya itu, Baibars memperagakan kekuatan tempur yang luar biasa dan menjelang kemerdekaannya, beliau dilantik sebagai komander bagi sebuah pasukan pengawal peribadi sultan.
{BAIBARS NAIK TAKHTA}
Pada tahun 1249M, Perang Salib ke-7 yang diketuai oleh Raja Perancis, Louis IV berlangsung di Damietta, Mesir. Kota pelabuhan itu tumbang pada bulan Jun dan pihak Salib kemudiannya melanjutkan kemaraan ke Kaherah pada bulan November, sekitar masa sampainya khabar berkenaan kemangkatan as-Salih Ayyub.
Walau bagaimanapun, Tentera Salib ditakdirkan tidak berjaya menakluk Mesir dan pada Februari 1250M, mereka dikalahkan secara muktamad dalam Pertempuran al-Mansurah. Salah seorang komander Ayyubiah dalam pertempuran tersebut tidak lain tidak bukan adalah Baibars, di mana pertempuran tersebut merupakan kemenangan besar pertamanya sebagai seorang komander tentera.
Bagi Dinasti Ayyubiah, as-Salih Ayyub dianggap sebagai sultan hebat yang terakhir bagi mereka, yang dengan penuh berpengaruh memerintah Mesir dan Syria. Pewaris beliau yang bernama al-Muazzam Turanshah hanya sempat memerintah dalam tempoh yang singkat sebelum dibunuh oleh para Mamluk. Setelah Dinasti Ayyubiah digulingkan di Mesir, kaum Mamluk pun menaiki kerusi kuasa.
Sultan Mamluk yang pertama adalah Aybak, seorang individu yang sememangnya mempunyai pertegangan hubungan dengan Baibars. Oleh kerana itu, Baibars mengambil keputusan untuk membawa diri ke Syria dan menetap di sana selama bertahun-tahun.
Pada tahun 1260M, Baibars dijemput untuk kembali ke Mesir oleh Sultan Mamluk ke-3, Qutuz. Pada tahun yang sama, Mongol melakukan persiapan untuk menyerang Mesir. Konflik di antara dua kuasa itu memuncak dalam Pertempuran Ain Jalut yang berlangsung di Lembah Jezreel, Palestin.
Dalam pertempuran ini, Baibars berperanan sebagai komander pasukan hadapan Mamluk dan berjaya membuktikan dirinya sebagai panglima yang gagah. Mamluk secara muktamad berhasil menewaskan Mongol walaupun Qutuz sendiri tidak sempat meraikan kemenangannya itu dengan lebih lama. Dalam perjalanan pulang ke Mesir, beliau dibunuh oleh sekumpulan pengkomplot yang diketuai oleh Baibars.
{KEMPEN KETENTERAAN DAN DIPLOMATIK SEBAGAI SULTAN}
Berikutan kemangkatan Qutuz, Baibars diangkat sebagai Sultan Mamluk yang seterusnya. Salah satu impian Baibars sebagai seorang sultan adalah melancarkan perang suci menentang saki-baki tentera salib di Syria dan mengusir mereka dari tanah itu, bagi meneladani idolanya, Salahudin.
Baibars lantas menguatkan kedudukan tentera Mamluk di Syria dan menyerang pihak Salib sejak tahun 1265 hingga tahun 1271M. Satu demi satu kubu Salib yang berbaki, termasuklah Arsuf, Jaffa dan Antioch tumbang ke tangan Mamluk.
Walaupun pihak Salib tetap mengekalkan penguasaan kecil mereka di Levant (wilayah Tripoli misalnya dikuasai oleh mereka sehingga tahun 1289), kempen-kempen yang dilancarkan oleh Baibars ini secara umum menandakan berakhirnya pengaruh Salib sebagai pemain besar dalam politik di rantau tersebut. Selain pihak Salib, Baibars turut melancarkan kempen ketenteraannya itu bagi menentang Mongol, Armenia, Kristian, Makuria di Nubia dan ramai lagi saki-baki pengamal aliran Hashshashin.
Walaupun Baibars dikenali sebagai seorang komander tentera yang gagah, beliau juga berupaya menggunakan diplomasi dalam berhadapan dengan kuasa-kuasa luar. Misalnya, beliau berjaya mengekalkan hubungan baik dengan Empayar Byzantine. Selain itu, perjanjian perdagangan di antara Mesir dengan beberapa negara asing seperti Aragon, Leon dan Castile juga ditandatangani semasa tempoh pemerintahan Baibars.
{URUSAN DALAM NEGARA DAN KEMANGKATAN SULTAN BAIBARS}
Baibars juga memiliki keupayaan yang setara dalam menguruskan hal-ehwal dalaman negara. Di antara pencapaian pentingnya dalam aspek ini adalah penubuhan khidmat pos laju di antara Kaherah dan Damsyik di samping melantik empat orang ketua hakim bagi mewakili perundangan dalam keempat-empat mazhab Islam. Selain itu, beliau turut menjalankan pembinaan dan pembaikpulihan infrastruktur penting seperti terusan dan pelabuhan.
Pemerintah Mamluk yang hebat ini mangkat di Damsyik pada tahun 1277M. Menurut beberapa sumber, kemangkatan Baibars merupakan satu kesilapan atau kecuaian yang sangat besar – beliau dipercayai meminum secawan racun yang ditujukan untuk orang lain. Tempat persemadiannya ditemukan di bawah kubah Perpustakaan al-Zahiriyah di Damsyik, perpustakaan yang diasaskan sendiri penubuhannya oleh beliau.
DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI
Wu Mingren. (15 Jun 2017). From Slave to Sultan: Baibars I – The Slave Warrior Who Fought His Way to the Top. Ancient Origins.

Copy and paste: 22/12/2019: 12.17 pm

No comments:

Post a Comment