ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 6 November 2019

SI GADIS RUPAWAN

Kata orang "Bunga yang berkembang dan cantik itu jarang berbau wangi. Begitulah juga dengan orang yang cantik jarang yang berbudi."

Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata "Awak ni cantiklah.", maka menguntumlah sebuah senyuman dibibirnya dan berbungalah jua hatinya. Tersipu-sipu malu dia. 
Siapalah yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji dan kecewa bila dikeji. 
Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya banyak kelebihan. 
Kata orang lagi, wanita cantik banyak ragamnya. Seakan seluruh dunia mahu digenggamnya. Andai dia seorang gadis, diri sanggup jadi tukaran dengan wang yang beribu. Bahkan ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat tetapi ditangkap lari. 
Andai dia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikan, maka suamilah yang akan menjadi sasaran. Sanggup berlutut dan kalah dengan belaian. Menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Kemana diarah disitulah langkahnya. Si isteri yang cantik rupawan, merajuk dan meragam andai kemahuan tidak tercapai. Mengugut, merajuk hendak balik kampung ataupun meminta cerai. 

Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita, sama ada cantik atau tidak, bukanlah terletak pada wajahnya yang rupawan. Tetapi akhlaknya yang yang indah menjadi santunan. 
Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi apatah lagi menderhaka kepada suami, tidak ubah seperti bunga raya. Cantik warnanya tetapi harumnya tiada. 
Sebaliknya jika ia berakhlak mulia, maka jadilah dia seperti bunga cempaka. Cantiknya tiada, tetapi harumnya sangat memikat jiwa. 

Dunia ini ialah perhiasan. Dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Jadilah seperti bunga mawar yang berduri. Dipandang cantik, dihidu wangi, apabila disentuh terluka jari. 

Wanita.... dirimu sangat berharga...
Kamu dilihat pada akhlaknya, dinilai dari kesabarannya, diperhatikan melalui kesetiaannya, ditinjau dengan sifat keibuannya malah dibesarkan dengan solatnya. 

Sesungguhnya nafsu mengatakan wanita cantik atas dasar rupanya.
Akal mengatakan wanita cantik atas kepandaiannya. 
Manakala hati mengakui kecantikan wanita atas dasar akhlaknya. 

Oleh itu, sebagai wanita, peliharalah dirimu dari api neraka, kerana menurut  baginda Rasulullah s.a.w kamulah yang paling ramai didalamnya. Ingatlah pesan Rasulullah s.a.w. Apabila cukup solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadan, memelihara kehormatan dan patuh dengan perintah suami, maka masuklah kamu dari mana-mana pintu di dalam syurga. 

Sumber: Majalah Al-Islam - September 2013


No comments:

Post a Comment