ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 29 November 2019

Minggong Anak Panggit bunuh 41 pengganas komunis

Dari FB Suke Fly

IBAN Minggong Anak Panggit, bekas anggota Sarawak Renjers, tidak pernah bangga sekalipun dapat membunuh 41 pengganas komunis selama berkhidmat dalam pasukan keselamatan. Malah, sepanjang kariernya sebagai anggota keselamatan, beliau terbabit dalam 29 pertempuran. Dalam semua pertempuran itu, pasukannya dapat membunuh 114 pengganas komunis. Bagi Minggong, apa yang dilakukannya semata-mata kerana tugas dan tanggungjawab terhadap negara. "Saya tidak pernah berasa bangga dengan kejayaan itu. Saya hanya menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat," kata Minggong yang dilahirkan pada 12 April 1933 di Lubok Antu, Sarawak. Minggong menyertai pasukan Sarawak Ranjers sewaktu usianya 15 tahun. Pada waktu itu tidak ramai belia Iban menyertai pasukan tentera kerana lebih suka dengan kehidupan tradisi di pendalaman tanpa sebarang gangguan. Minggong yang juga pernah berkhidmat sebagai anggota tentera British, berkata beliau mengikuti latihan rekrut di Port Dickson pada 1948. "Sebagai belia Iban, saya tidak menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan kehidupan di dalam hutan. Saya memang sudah biasa dengan keadaan seumpama itu, seperti menghidu atau menjejak musuh," katanya. Malah, sejak kecil lagi beliau diasuh oleh bapanya mengenai ilmu kebatinan, kepercayaan serta adat resam bangsa Iban. Baginya, setiap ilmu yang diturunkan perlu diamalkan dengan penuh keyakinan bagi bekalan zaman dewasa. "Sebaik menyertai pasukan renjers, saya memang sudah meramalkan akan bertempur dengan pengganas komunis pada bila-bila masa sahaja. Lagipun, pada waktu itu pengganas komunis ramai dan sering mengancam rakyat," katanya yang mula berkhidmat dengan pasukan Sarawak Renjers sewaktu zaman darurat pada 1948. Malah, pertempuran pertama beliau dengan pengganas komunis ialah pada 22 September 1948, tidak lama selepas menyertai Sarawak Renjers. Pertempuran itu berlaku di Sungai Siput, Perak. Dalam pertempuran itu, pasukannya dapat membunuh 14 pengganas komunis. Dan, beberapa bulan kemudian pasukannya bertempur sekali lagi di kawasan yang sama yang menyebabkan enam pengganas komunis terbunuh. Menurut Minggong, bertempur dengan komunis amat sukar kerana pengganas terlalu pantas dan cekap di dalam hutan. "Kami terpaksa menggunakan segala pengalaman yang ada bagi mengesan jejak musuh," katanya sambil menyifatkan tugas itu amat mencabar dan memerlukan banyak kesabaran. Menurut Minggong, kejayaan paling besar bagi pasukan dan dirinya ialah pada 13 November 1952 apabila pasukannya membunuh 19 pengganas komunis dalam pertempuran yang paling hebat di Air Panas Estet, Labis, Johor. Dalam pertempuran di Labis itu, beliau sendiri membunuh enam pengganas komunis. Peristiwa itulah yang memberinya tuah apabila beliau dianugerahkan pingat George Medal oleh Kerajaan British. Minggong menerima anugerah itu bukan saja kerana dapat membunuh ramai pengganas komunis, malah kecekapannya mengawal anggota pasukannya setelah pegawai mereka, Leftenan Bald, terbunuh. "Tidak pernah saya mengalami pertempuran sebegitu hebat. Peluru musuh limpas di kiri dan kanan saya bertalu-talu. Mujur saya ada pelias," kata Minggong. Menurut Minggong, pelias adalah azimat atau ilmu kebatinan orang Iban yang diturunkan sama ada secara terus atau melalui mimpi oleh nenek moyang mereka. Orang Iban percaya pelias dapat menjauhkan diri mereka daripada segala bahaya. "Ada juga pelias yang dipakai di badan dengan cara memberi tanda seperti yang saya pakai. Bangsa kami percaya ada pelias yang boleh membuatkan seseorang itu menjadi kebal," ujarnya. Minggong juga berkata, kebanyakan pahlawan Iban mempunyai pelias dan yakin terhadap ilmu kebatinan. Minggong berhenti berkhidmat daripada pasukan Sarawak Renjers pada 1957 dan kemudian menyertai pasukan Polis Hutan di Sarawak sebagai Inspektor. Dalam pasukan Polis Hutan juga Minggong terpaksa berdepan dengan operasi yang sering dijalankan bagi memburu pengganas komunis. Minggong bersara pada 12 April 1988, iaitu selepas 31 tahun berkhidmat dengan Polis Hutan. Pangkat terakhirnya ialah Penolong Penguasa. Minggong kini menetap di Kuching bersama isteri dan tujuh anaknya. Kerana sikap kepahlawanannya itu juga Minggong dikurniakan beberapa pingat lain, termasuk Defence Medal, Pingat Medal, Borneo Medal dan Ahli Mangku Negara. Selain itu, beliau juga menerima beberapa surat penghargaan daripada pejabat Perdana Menteri British dan General Sir Charles Keightley (Commander in Chief Far East Land Forces).

Copy and paste: 29/11/2019: 6.09 pm

No comments:

Post a Comment