ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 30 October 2019

SEMUA SUDAH RUNTUH, KINI TINGGAL 10

Bertingkap Alam Berpintu Ilahi. Itu cogankata pada lambang Kabupaten Lingga hari ini dengan tertera ungkapan di bawahnya "Bunda Tanah Melayu" bersama imej keris, tepak sirih, payung ubur-ubur kuning juga Gunung Daik yang bercabang tiga.  

Ingat lagi pantun Melayu ini? 

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga. 

Ya. Gunung Daik itu wujud. Pembayang pada sejumlah pantun lama Melayu bukan dibina kosong. 

Lingga di Indonesia hari ini asalnya adalah sebahagian Kesultanan Melayu Riau-Lingga (1824-1911) yang dimusnahkan oleh penjajah Belanda. 

Sebelum itu, Johor juga sebahagian daripada empayar Johor-Riau-Lingga sebelum dirobek oleh pakatan kolonial Belanda dan Inggeris pada 1824. 

Jangan kita lupa, Lingga pernah menjadi ibu negeri Johor. Sultan Johor ke-16 iaitu Sultan Mahmud Riayat Shah III (1761-1812) mangkat di Pulau Lingga.

Sejumlah kerajaan Melayu lain di Sumatera dan Kalimantan juga lenyap dihapus kolonial Belanda. Walaupun begitu, identiti Melayu yang tidak dapat dipisahkan dengan laut masih boleh dikesan pada lambang wilayah kabupaten Indonesia hari ini.

Lambang Kota Makassar yang terletak di Pulau Sulawesi hari ini contohnya tampil dengan cogankata "Sekali layar terkembang, pantang biduk surut ke laut". 

Nun di utara Semenanjung Tanah Melayu (kini dipanggil Semenanjung Malaysia), kerajaan Patani (1516–1902) yang merangkumi wilayah Pattani (Patani), Yala (Jala), Narathiwat (Menara) dan sebahagian Songkhla (Singgora) tersungkur ditakluk Siam. Kesultanan Sulu (1457–1917) pula diporak perandakan Sepanyol dengan agenda murtad secara paksa. 

Pada 1946, tidak kurang daripada enam buah kerajaan Melayu di Sumatera tumbang akibat keganasan atau genosid Melayu yang diberi nama 'rasmi' Revolusi Sosial Sumatera Timur.

Kezaliman pengganas komunis atau pro Republik Indonesia menyaksikan tanggal 3 Mac 1946 sebagai peristiwa berdarah bagi bangsa Melayu di Sumatera.

Sentimen anti feudal tidak terbendung lagi dahagakan darah. Istana dibakar, kaum kerabat raja dibunuh secara besar-besaran bahkan para puteri diperkosa di depan sultan. 

Di Langkat, penyair Tengku Amir Hamzah juga dibunuh. Kepalanya dipenggal di kebun pisang! Alangkah kejamnya!  

Pembantaian komunis atau gerakan anti kesultanan bukan sahaja memangsakan orang Melayu Islam yang menghuni di wilayah pesisir. Malah, orang Karo dan Simalungun di kawasan pedalaman juga tidak terkecuali.  

Kalau kita meneliti rangkap pantun pada lagu-lagu lama Melayu dalam filem-filem Melayu hitam putih juga dendangan lagu asli Melayu oleh penyanyi antaranya Syarifah Aini, P.Ramlee, Saloma dan Herman Tino, dapat dikesan sejumlah nama wilayah kesultanan Melayu di Pulau Sumatera juga terselit pada pembayang pantun lagu.  

Contohnya, dalam filem "Si Tanggang" (1961), antara lirik dalam lagu tari 'Lanang Si Paku Lanang' itu berbunyi:  

Buah mengkudu buah delima      
Dibawa belayar ke KUALA DELI
Usah ditunggu sekian lama
Ambillah hamba sebagai ganti.

Bahkan, 'Kuala Deli' juga menjadi judul lagu nyanyian Sudirman:

"KUALA DELI berdayunglah sampan
Hanyut berkayuh sampai ke muara
Tuan di rantau dapatkanlah bulan
Orang di kampung terangilah jua". 

(Deli hari ini ialah Medan). Dengarkan juga lagu 'Joget Menanti Jodoh' dalam filem 'Sumpah Wanita' (1960): 

INDRAGIRI pasirnya lumat
kepah bercampur hai segala lokan
Bagailah Nabi kasihkan umat
Begitulah saya hai kasihkan tuan. 

Meskipun lagu 'Seri LANGKAT' berentak rancak dengan pelbagai versi dendangan penyanyi Malaysia dan Indonesia, tetapi lagu itu mengingatkan kita tentang sejarah sedih yang pernah menimpa kesultanan Langkat juga kesultanan Melayu lain di Sumatera. 

Dengarkan lenggok suara Sudirman dan Zaleha Hamid serta banyak lagi gubahan lagu Seri atau dieja Sri Langkat dengan menggeledah YouTube. 

Kepesatan ekonomi Kesultanan Melayu Makassar (1512-1945) dengan banyak kapal membawa dagangan juga terselit dalam filem 'Sri Mersing' (1961): 

"Selat Makasar Lautan Maluku,
Banyaklah kapal membawalah dagang,
Sungguh nasib malang diriku,
Ayam di tangan disambarlah helang." 

Kekejaman berulang 

Tragedi 1946 yang memusnahkan kesultanan-kesultanan Melayu di Sumatera berulang lagi pada 1964. Tapi kali ini nun di Pulau Borneo dengan bentuk kekejaman sama! 

Tragedi Bultiken menghapuskan Kesultanan Bulungan di Kalimantan. Kekejaman berlaku mulai waktu Subuh 3 hingga 18 Julai 1964 apabila pasukan tentera Indonesia mengepung dan membakar istana yang terdiri daripada dua tingkat, merampas harta benda milik Kesultanan Bulungan. 

Kerabat diraja Bulungan diculik, ditangkap dan dibunuh termasuk dengan cara diikat dengan pemberat lalu ditembak dan dibuang ke laut! 

Demikianlah nasib sejumlah kesultanan Melayu di tangan penjajah Belanda dan pro republik. 

Akhirnya, senarai nama Kesultanan Melayu ini hanya tinggal sejarah berladungkan air mata dan darah...  

1. Kesultanan Melayu Singapura (1299-1930an)
2. Kesultanan Melayu Melaka (1402-1511) 
3. Kesultanan Melayu Sulu (1457–1917)
4. Kesultanan Melayu Patani (1516–1902)
5. Kesultanan Melayu Langkat (1568-1946) 
6. Kesultanan Melayu Deli (1632-1946) 
7. Kesultanan Melayu Serdang (1726-1946) 
8. Kesultanan Melayu Asahan (1632-1946) 
9. Kesultanan Melayu Siak Sri Inderapura (1723-1946)  
10. Kesultanan Melayu Pelalawan (1725-1946) 
11. Kesultanan Melayu Indragiri (1347-1963)  
12. Kesultanan Melayu Jambi (1687-1904) 
13. Kesultanan Melayu Pagaruyung (1347-1833) 
14. Kesultanan Melayu Riau-Lingga (1824-1911)
15. Kesultanan Melayu Acheh (1496-1874)
16. Kesultanan Melayu Pontianak (1771-1950) 
17. Kesultanan Melayu Banjar (1526-1860) 
18. Kesultanan Melayu Kutai Kartanegara (1300-1960) 
19. Kesultanan Melayu Bulungan (1731-1964) 
20. Kesultanan Melayu Sambaliung (1810-1960)  
21. Kesultanan Melayu Makassar (1512-1945) 

Kesemua kesultanan Melayu di Nusantara di atas sudah runtuh. Sekarang hanya berbaki 10 kesultanan Melayu dengan institusi beraja paling lama bertakhta di Nusantara masih ada di Semenanjung Tanah Melayu yang sekarang dipanggil Semenanjung Malaysia. Ada juga satu kesultanan Melayu di Semenanjung adalah warisan kesultanan Melayu Melaka. 

Sebuah daripada 10 itu pula berdiri sebagai negara berdaulat dengan memartabatkan tulisan jawi pada semua bangunan dan logo termasuk syarikat antarabangsa. 

Apakah senarai 10 kesultanan Melayu yang masih tinggal itu? Giliran anda pula untuk senaraikan. 

Ingat salah satu daripada lima Rukun Negara  tanah air kita: 

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA.

Credit : Arif Atan
Copy and paste : Whatsapp Group SRJKG12
30 Oktober 2019: 4.10 pm

No comments:

Post a Comment