ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 6 October 2019

Melayu Kurang Menggunakan Akal atau Melayu Pandai?

Srikandi
FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
2 Oktober 2019

Srikandi tertarik dengan 'teori' seorang 'profesor Melayu' ini yang menyatakan bahawa orang Melayu itu kurang menggunakan akal. Kenyataan itu menarik sebab keluar dari pendirian orang yang dikatakan pakar dan bijakpandai dalam masyarakat.
Adakah benar orang Melayu itu kurang menggunakan akal?
Namun apa pula pendapat Profesor John N. Miksic, penasihat buku teks sejarah Singapura yang terkini dengan hasil penyelidikan arkeologi beliau yang berjaya menemui bukti-bukti kukuh kewujudan kerajaan Singapura Purba berdasarkan maklumat dari karya agung Melayu, Sulalatus Salatin? Perhatikan:
"...mereka membuat gerabak sendiri, mereka juga membuat barang-barang dari logam, mereka mengolah tembaga untuk membuat kail untuk tangkap ikan, mereka juga membuat barang-barang dari besi, mereka juga membawa barang-barang seperti keris dan tombak, senjata."
Profesor Amerika itu juga menyatakan:
"Orang Melayu memang dari dulu sudah terkenal sebagai orang awal yang membuat kota, yang mendirikan bandar menjadikan satu sistem perhitungan untuk perdagangan.
"Orang-orang Portugis pertama datang ke Brunei, mereka hairan sekali melihat sistem yang dipakai orang-orang akauntan di Brunei untuk menghitung perdagangan. Jadi mereka sudah pandai sekali orang-orang Melayu."
Wah, di situ ada kesimpulannya: Jadi mereka SUDAH PANDAI sekali orang-orang Melayu.
Semua pencapaian yang disebut oleh Prof. John N. Miksic itu memang memerlukan kepandaian. Maka orang Melayu terbukti menggunakan akal mereka untuk maju dalam kehidupan.
Manakala kenyataan bahawa "Melayu kurang menggunakan akal" itu adalah satu generalisasi negatif yang tidak berpijak pada fakta dan ianya setaraf dengan tuduhan "Melayu malas".
Tuduhan-tuduhan bersifat kebudak-budakan begini lazimnya diluahkan apabila orang Melayu tidak mengikut kehendak mereka yang menuduh itu. Orang Melayu tidak percaya apa yang dia sembangkan itu. Itu yang mendatangkan marah maka generalisasi negatif atau tuduhan melulu itu dilancarkan sebagai penawar menyedapkan hati atau melepaskan geram.
Asal-usul tabiat yang buruk ini berpunca dari amalan 'nenek-moyang' mereka yakni para pegawai kolonial British. Mereka menuliskan bahawa orang Melayu itu pemalas dek kerana tidak mahu berkuli dengan British. Padahal orang Melayu hakikatnya sudah bangun awal untuk bersawah, bertani, menternak haiwan dan pelbagai kerja lagi bagi menyara hidup. Silapnya kerana Melayu tidak mahu bekerja dengan British maka dituduh "Melayu malas". Jadi British merasa marah dan melancarkan tuduhan untuk melepaskan geram. Maka orang Melayu dikatakan pemalas dan hanya mahu hidup dengan ekonomi sara diri sahaja.
Masalahnya, bila peladang Melayu mahu membuat perladangan besar-besaran, British halang pulak dengan membuat enakmen untuk menyekat orang Melayu terlibat dalam aktiviti ekonomi besar-besaran.
Polisi-polisi British ketika era kolonial dibentuk untuk membenamkan pribumi Melayu kepada aktiviti ekonomi kurang menguntungkan dan ini menghalang proses pemodenan ekonomi Melayu. Dicatatkan bahawa polisi British pada tahun 1930-an dibentuk bagi memastikan orang Melayu tidak mampu bersaing dengan bangsa lain. Boleh rujuk hasil kajian di dalam buku 'The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia' oleh Dr. Muhammed Abdul Khalid.
Ini perlu untuk menekan orang Melayu supaya sentiasa miskin dan lemah, maka ini akan menyekat mereka untuk mendapatkan kekuatan bagi melancarkan perlawanan terhadap pentadbiran penjajah British.
Bila sudah begini sistematik orang Melayu ditekan, maka bertahun-tahun kemudian, generasi Melayu hilang akar budaya perniagaan dan perdagangannya. Bila jadi begini maka para penulis penjajah dengan senang hati mencatatkan bahawa:
"Orang Melayu kurang menggunakan akal"
"Orang Melayu pemalas"

Ini sangat popular di kalangan sejarahwan order lama yang tertentu. Untuk pemikiran sejarah pascamerdeka, pandangan negatif yang pukul rata begini sepatutnya sudah pupus malah jika masih bernyawa mesti dihapuskan sama sekali.
~Srikandi
"كقواتن دري سجاره"

Copy and paste: 6 Oktober 2019  : 4.50 pm

No comments:

Post a Comment