ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 13 September 2019

SIRI MISTERI: Peta Piri cetus keanehan Antartika

Oleh Nasron Sira Rahim

PETA Piri tidak sepatut wujud di dunia ini. Begitulah tanggapan logik ramai pihak berikutan ketika peta purba misteri ini dihasilkan, iaitu sekitar abad ke-16, manusia masih belum menemui Antartika.
Bagaimanapun, sesuatu yang aneh dan membingungkan adalah peta itu memaparkan bentuk muka bumi Kutub Selatan beratus tahun lebih awal sebelum dijumpai manusia.
Bagaimana Antartika boleh tertera pada peta itu, sedangkan benua ini masih belum ditemui ketika peta itu dihasilkan?.
Adakah manusia pada zaman purba sudah berjaya sampai ke kawasan itu atau berjaya mencipta pesawat yang mampu terbang tinggi ke angkasa untuk melukis peta itu? Itulah antara persoalan membingungkan apabila memikirkan teka-teki di sebalik kewujudan Peta Piri.
PETA Piri. - Foto wikipedia
Misteri membabitkan Peta Piri yang memaparkan kawasan Amerika Selatan, pantai barat Eropah, Afrika Utara dan Antartika, terbongkar selepas dijumpai dalam Istana Topkapi, Istanbul, Turki, ketika bangunan itu ditukarkan menjadi muzium pada 1929.
Sejak dijumpai, misteri peta itu terus menjadi perhatian penyelidik yang bingung memikirkan bagaimana peta kuno itu menunjukkan Antartika yang sebelum ini direkodkan ditemui buat pertama kali pada 1820.
Peta itu dilukis Laksamana Turki, Hadji Muhiddin Piri Ibn Hadji Mehmed atau digelar Piri Reis pada 1513 dan tokoh itu menyatakan bahawa dia melukis peta itu berdasarkan beberapa peta purba yang ditemuinya.
Lebih membingungkan ialah terdapat bahagian peta Antartika yang kelihatan seakan bentuk pesisir Queen Maud Land sebelum diliputi ais selama ratusan tahun hingga kini.
Bentuk asal Queen Maud Land sebelum diliputi ais tebal hanya diketahui pada zaman moden, iaitu selepas peralatan seismografik moden dicipta. Bagaimanapun, Peta Piri lebih awal menunjukkan bentuk asal itu ratusan tahun lalu!
Penemuan itu menyebabkan ramai pihak mengandaikan bahawa terdapat tamadun pada zaman kuno yang mengetahui kewujudan Antartika, lebih awal daripada rekod penemuan manusia moden pada abad ke-19, malah lebih awal sebelum kawasan Queen Maud Land diliputi ais.
BUKU `Maps of the Ancient Sea Kings' (kiri) dan wajah Laksamana Turki, Hadji Muhiddin Piri Ibn Hadji Mehmed atau digelar Piri Reis. - Foto wikipedia
Pelbagai persoalan mengenai peta itu menarik minat ramai penyelidik untuk mengkaji misteri yang terselindung di sebalik penghasilannya.
Bingung dengan misteri berkenaan menyebabkan Profesor Charles H Hapgood dan beberapa pelajarnya di Universiti New Hampshire, mula mengkaji dengan teliti Peta Piri dan beberapa peta purba lain.
Sebaik selesai, beliau menuliskan hasil kajian dalam bukunya, `Maps of the Ancient Sea Kings' yang antara lain mencadangkan pada zaman purba, sudah wujud satu tamadun hebat dari segi sains dan teknologi yang menjelajah seluruh dunia purba dan menghasilkan peta muka bumi pada zaman itu.
Teori Hapgood secara tidak langsung menyokong kewujudan Atlantis yang sering diceritakan sebagai tamadun futuristik yang memiliki pesawat terbang pada zaman purba.
Seorang lagi pengkaji, Gavin Menzies, turut bersetuju dengan teori Hapgood, tetapi berpendapat bahawa tamadun hebat itu adalah China.
Dalam bukunya `1421: The Year China Discovered America', Menzies menyatakan pada zaman dulu, China sudah menjelajah ke seluruh pelosok dunia dan menjumpai Antartika lebih awal daripada rekod penemuan moden pada 1820.
Menurutnya, manusia pertama menjumpai Antartika adalah bangsa China, iaitu Laksamana Hong Bo yang melakukan pelayaran ke Kutub Selatan antara 1421 hingga 1423.
Bagaimanapun, pihak yang mencurigai pandangan ini menafikan bahawa Antartika sudah ditemui dan dilakar dalam peta lebih awal dari 1820. Sebaliknya, mereka berpandangan bahawa pada zaman purba, pembuat peta akan melukis satu kawasan daratan di bawah peta sebagai `tekaan' bahawa wujud satu dunia lain yang masih belum ditemui.
`Tekaan' itu kemudian secara kebetulan didapati benar-benar wujud di kawasan Antartika. Bagaimanapun jika secara kebetulan, bagaimana pula bentuk Queen Maud Land sebelum diliputi ais pada peta itu menyamai penemuan sains moden?
Teori lebih radikal mengenai Peta Piri dikemukakan penulis, Eric Von Daniken yang mendapati bahawa bentuk muka bumi peta itu sebenarnya dirakamkan dari angkasa dan menyamai bentuk peta yang dirakamkan dari udara Kaherah, Mesir.
Beliau mencadangkan bahawa peta itu dirakamkan dari UFO ketika makhluk asing datang melawat bumi pada zaman purba!
Info
Peta Piri
  • Kini ditempatkan di Perpustakaan Istana Topkapi di Istanbul, Turki tetapi jarang dipamerkan kepada umum.
  • Dijumpai dalam Istana Topkapi ketika bangunan itu ditukarkan menjadi muzium pada 1929.
  • Dihasilkan pada 1513 oleh Laksamana Turki, Hadji Muhiddin Piri Ibn Hadji Mehmed atau digelar Piri Reis.
  • Menimbulkan misteri apabila terdapat lakaran muka bumi Antartika sedangkan kutub selatan itu hanya dijumpai pada 1820.
Copy and paste: BH Online
13.9.2019: 10.46 pm

No comments:

Post a Comment