ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 9 September 2019

KENAPA DI PANGGIL HARTA KARUN?

Kita selalu mendengar kisah orang mencari harta karun… tapi tahukah kita kenapa disebut harta Karun….
Al Quran telah mengutarakan berbagai kisah para Anbiya’ dan umat mereka yang terdahulu sebagai contoh dan tauladan bagi kita umat masa kini. Antara yang dikisahkan dalam Al Quran ialah mengenai Qarun yang hidup pada zaman Nabi Musa a.s. antaranya Surah Al Qasas ayat 76, surah Al Ankabut ayat 39 dan sura Ghafir ayat 24.
Qarun berketurunan Bani Israel dan merupakan sepupu Nabi Musa bin Imran bin Qahath bin Lawa bin Ya`aqub. Adapun Qarun pula bin Yashhar bin Qahath bin Lawa bin Ya`aqub. Qarun dikenali sebagai al-Munawwir lantaran rupa parasnya yang tampan. Disebabkan kemerduan suaranya ketika membaca kitab Taurat, dia juga digelar al-Nur (cahaya) (sila lihat al-Sya`rawi, Qasas al-Anbiya’, jld.4, hlm 2141). Beliau terkenal di kalangan Bani Israel sebagai individu yang paling mahir tentang kitab Taurat (seorang cendikiawan Islam). Awal kehidupan Qarun amat begitu miskin dan mempunyai ramai anak. Namun dia berhati mulia lagi dermawan terhadap golongan faqir miskin. Malah ramai dikalangan faqir miskin yang berdoa “Wahai Tuhan kami…biarlah Qarun jadi kaya-raya walaupun kami miskin…mudah-mudahan dia dapat memberi sumbangan derma kepada kami yang miskin ini”. Doa ini pernah dilafazkan di hadapan Qarun hingga menyebabkan dia sendiri merasakan dirinya lebih berhak menjadi kaya demi untuk menyumbang derma kepada orang lain. Lantaran itu dalam suatu kesempatan, dia pernah minta Musa alaihissalam mendoakannya kepada Allah agar diberikan kekayaan harta benda dan permintaan tersebut dimakbulkan oleh Tuhan. Meskipun begitu Qarun kufur nikmat Allah yang diberikan kepadanya lalu diazab oleh Allah. Dia mati dengan berstatus murtad dalam keadaan tertimbun lalu tenggelam beserta harta bendanya bersama para pengikutnya dalam tanah dalam waktu semalaman di sebuah kawasan yang terletak dalam daerah al-Fayyum, Mesir. (juga dikenali sebagai Danau Qarun).
Maka itulah harta karun yang dicari oleh manusia hingga kini… pengajarannya ialah agar kita jangan sombong dan bongkak setelah kita dilimpahkan dengan kekayaan oleh Allah swt sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada fakir miskin dan lebih teruk lagi sehingga melupakan Allah swt.
Post on my FB : 26 December 2012
Post to My Blog: 9.9.2019 : 3.25 pm

No comments:

Post a Comment