ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 20 July 2019

KEMAJMUKAN PENGHUNI MELAKA DI AMBANG SERANGAN PORTUGIS

Oleh Faisal Tehrani
Salah seorang sejarawan yang tekun mengkaji mengenai Melaka, Luis Filipe F.R Thomaz dari University of Lisbon, terkenal dengan bukunya ‘Early Portuguese Malacca’ pernah menyatakan di ambang penaklukan Portugis ke atas Melaka, pada tahun 1511, jumlah penduduk Melaka adalah antara 100 ribu ke 200 ribu orang.

Thomaz mengutip beberapa sumber yang antara lain menyebut penghuni Pasai adalah sekitar 20 ribu orang manakala Melaka dihuni oleh 10 kali ganda jumlah Pasai tersebut. Tome Pires, seperti dipetik oleh Thomaz bahkan menganggarkan jumlah hamba dan pekerja Sultan sahaja sudah 100 ribu orang, yang memungkinkan penduduk Melaka mencapai angka 400 ribu orang, di mana 200 ribu orang tinggal di kawasan bandar.
Berdasarkan jumlah penduduk yang ramai itu terdapat hitungan jumlah orang asing yang pecahannya adalah kira-kira seribu orang Gujarati, seribu orang Tamil, manakala orang Bengali, Parsi dan Arab menjangkau angka empat ribu orang. Terdapat juga sejumlah orang Jawa yang disebut ‘beberapa ribu’.
Penduduk berketurunan Jawa dari Gerisek dan Jawa Timur bertumpu di kawasan bernama Hilir, di luar kota ke arah tenggara. Sementara mereka yang berasal dari Tuban, Japara, Sunda dan Lampung menetap di Upeh, sepanjang tali air yang diberi nama Parit Jawa. Orang-orang Jawa ini dipercayai masih belum menganut agama Islam. Kebanyakannya adalah askar upahan raja. Kawasan Jawa ini adalah di belakang sebuah penempatan yang diberi nama Kampong Keling dan Kampong Cina yang merupakan kawasan perumahan orang kaya. Berdasarkan namanya, kawasan ini menjadi tumpuan orang Cina dan India. Orang Cina di Melaka tatkala itu dipercayai dari keturunan Chincheu.
Terdapat juga sekitar lima ratus orang Luzon yang menetap di kawasan bernama Minjam dan sering berurusan di kota, dengan tumpuan kerja sebagai pelombong bijih selain berdagang. Salah seorang hartawan dari komuniti ini bernama Kurya Diraja. Orang-orang Luzon ini beragama Islam dipercayai melalui hubungan mereka dengan Brunei memandangkan Islam belum menerobos masuk ke Luzon, dan Kesultanan Manila belum wujud.
Rekod-rekod sejarah yang dirujuk oleh Thomaz juga menyentuh terdapatnya sejumlah kecil bangsa Armenia yang dirujuk sebagai Nasrani Nestorian. Malah terdapat maklumat pada tahun 1610, Portugis menemukan tinggalan gereja Armenia yang memberi petunjuk kepelbagaian agama penduduk Melaka tatkala itu. Selain itu terdapat juga orang Yahudi di Melaka yang berperanan sebagai peminjam wang. Salah seorang yang terkenal dan kekal menetap di Melaka selepas kejatuhannya ke tangan Portugis adalah Khoja Azedim.
Sumber rujukan:
Luis Filipe F.R Thomaz. 1989. “Malacca’s Society on the Eve of the Portugues Conquest”. Jurnal Budaya. Bilangan 1. hlm. 32-67.

Copy and paste: FB Melaka In Fact
22019: 2.38 pm

No comments:

Post a Comment