ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 20 July 2019

IBU ZAIN DAN AL-HADI PEJUANG FEMINIS? INILAH CERITANYA


“Hentikan Keganasan, Hormati Perempuan!” Bersemangat betul para wanita dan NGO yang keluar berarak semasa Hari Wanita Sedunia 9 Mac lalu. Tetapi kesedaran akan hak-hak wanita bukanlah diimport dari Barat atau baru sehari dua muncul dalam sejarah negara kita.
Semasa awal abad ke-20, kita sudah ada Ibu Zain yang memperjuangkan hak wanita melalui slogannya “Moden dididik Agama dibela”. Beliau sangat mengutamakan pendidikan bagi kaum wanita. Menurutnya, wanita merupakan tangan kanan kaum lelaki dan bertanggungjawab untuk melahirkan generasi masa depan yang berkualiti.

Ibu Zain, wanita hebat kelahiran Melaka ini, pernah menjadi Penyelia Sekolah Perempuan di Johor Bahru antara tahun 1929 hingga 1947. Beliau turut mengasaskan di Johor sekolah Inggeris pertama untuk wanita. Pada tahun 1930 Ibu Zain menerbitkan majalah Bulan Melayu yang dianggap sebagai majalah pertama untuk kaum wanita.
Seorang lagi anak kelahiran Melaka yang tidak kurang penting adalah Syed Syeikh al-Hadi. Kalau Ibu Zain mempunyai majalah Bulan Melayu, Syed Syeikh dan golongan Kaum Muda mempunyai majalah al-Imam. Kaum Muda memperjuangkan konsep “wanita baru” iaitu wanita yang meningkat kualiti hidupnya berbanding masa lalu.
Selain menerbitkan majalah dan akhbar, Syed Syeikh juga seorang novelis. Ketika Hikayat Faridah Hanom muncul pada tahun 1925, ia menimbulkan pelbagai kontroversi. Masyarakat Melayu dikejutkan dengan kisah cinta berahi di antara Faridah Hanom dan Shafik Afandi, syair-syair erotik, malah ia dikarang oleh seorang ulama progresif yang umur sudah menghampiri 60-an.
Hikayat Faridah Hanom sebenarnya adalah novel yang ingin memperjuangkan emansipasi wanita. Ini terbukti apabila Faridah Hanom menentang perkahwinan yang dipaksa ke atasnya sehingga berjaya mendapat cerai daripada pihak mahkamah.
Tetapi di sebalik hasrat murni novel ini, ia secara jelas menggalakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Perkara ini tidak dipersetujui oleh Ibu Zain kerana ia menghina nilai moral orang Timur.
Pendekatan mereka berbeza, tetapi matlamat mereka sama: mengangkat martabat wanita di Tanah Melayu.
SUMBER BACAAN:
1. Mahani Musa, “Wanita Melayu, Kesedaran Pendidikan dan Pembentukan Masyarakat Malaysia Moden.” 
2. Talib Samat, Syed Syeikh Al-Hadi (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992).

Copy and paste: FB Melaka in Fact
20 July 2019: 2.59 pm

No comments:

Post a Comment