ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 16 June 2019

PUSARA DIDALAM MASJID: BUKTI KEKEJAMAN KOMUNIS


MASJID Razaleigh yang terletak di bandar lama, Gua Musang menyimpan cerita sejarah tersendiri. Terdapat sebuah pusara yang berada di dalam ruang solat Masjid Razaleigh, Gua Musang rupanya menyimpan kisah tersendiri yang menyayat hati. Tiada siapa menyangka bahawa terdapat sebuah pusara milik seorang wanita yang sarat mengandung telah mati dibunuh disebabkan kekejaman komunis. Nama wanita tersebut adalah Allahyarham Nik Mah Nik Soh, yang mati dibunuh komunis secara kejam di dalam longkang berhampiran jalan masuk masjid.
Serangan penganas komunis yang menyerang bandar Gua Musang dicatatkan pada pukul 6.30 pagi, 1 Januari 1943. Ekoran serangan itu, penduduk panik dan bertempiaran lari menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kekejaman komunis. Serangan penganas komunis menyebabkan ramai orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk ketika itu mati dibunuh dan hanya seorang penggawa ketika itu, Allahyarham Nik Jaafar yang berjaya melepaskan diri dari kepungan komunis.
Akibat dari betapa kucar-kacir dan keadaan yang sungguh merbahaya pada waktu itu, Nik Jaafar mengarahkan Nik Mah juga adik kepada beliau yang pada itu sedang sarat mengandung dan bersama beberapa penduduk kampung untuk berselindung di dalam longkang berhampiran masjid, namun diserang hendap pasukan komunis yang menyerbu ke kawasan terbabit.
Allahyarham Nik Jaafar terpaksa meninggalkan kumpulan penduduk melayu termasuk adiknya didalam longkang seperti yang tercatat didalam diari beliau. Ini kerana keadaan begitu mendesak dan kebanyakan rumah penduduk ketika itu termasuk kuarters kereta api dan balai polis di Gua Musang dibakar komunis yang mengganas dan merosakkan semua harta benda penduduk. Berikutan beliau mengambil tanggungjawab untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap, beliau nekad menyelinap keluar dari kawasan kampong untuk meminta bantuan.
PUSARA UNTUK NIK MAH
Memandangkan ketika itu dalam keadaan darurat, penduduk yang masih selamat mengusung jenazah Nik Mah yang dalam keadaan berlumuran darah ke dalam kawasan masjid sebelum membuat keputusan disemadikan dengan sempurna. Mungkin ada cerita sebalik pengorbanan Nik Mah yang merahsiakan dimana ketua masyarakat yakni abang beliau berada dan sanggup menjadi syahid ketika itu, beliau didulukan untuk dikebumikan bersebelahan madrasah, iaitu dibahagian tangga belakang masjid.
Pada waktu itu masjid berkenaan dibina dengan kayu dan hanya mampu menampung hanya kurang 100 jemaah sahaja sebelum diubah suai 50 tahun kemudian untuk menampung bilangan jemaah yang bertambah ramai menyebabkan kedudukan pusara Allahyarham berada didalam ruang solat masjid sehingga sekarang. Pusara tidak dialihkan bertujuan untuk menjadi renungan dan menjadi bukti sejarah terhadap kekejaman komunis.
Selepas beberapa tahun, madrasah berkenaan dinaik taraf menjadi masjid dan diperbesarkan dari semasa ke semasa sehingga menyebabkan kubur Nik Mah berada dalam ruang solat masjid sehingga sekarang.
KASIH SEORANG ABANG DAN KETUA MASYARAKAT
Nik Jaafar berjaya melepaskan diri dengan terjun ke dalam sungai dan berendam di situ dari pagi sehingga menjelang Maghrib. Selepas yakin tidak lagi diburu komunis, dia berlari seorang diri untuk meminta bantuan di Balai Polis Bertam yang terletak kira-kira 76 kilometer, menggunakan jalan darat dan tiba di sana pada 4 Januari 1943. Sekembalinya ke Gua Musang bersama pasukan polis, dia melihat rumah penduduk, kuaters kereta api dan balai polis musnah dibakar komunis.
Hancur luluh hati seorang abang selang dua hari kemudian, apabila mereka pergi ke Kampung Batu Papan bagi menemui isteri dan anak-anaknya termasuk penduduk kampung yang terselamat. Bagaimanapun, malangnya beliau mendapati adiknya, Nik Mah yang sarat mengandung lapan bulan dikatakan tidak sempat melarikan diri dan hanya mampu bersembunyi di dalam sebuah longkang tidak jauh dari sebuah madrasah. Wanita malang itu berjaya dikesan oleh sekumpulan komunis yang kemudian menembaknya sehingga mati. Turut maut dalam serangan itu ialah 25 penduduk kampung yang lain.
Diari Allahyarham Nik Jaafar adalah satu-satunya bahan sejarah yang masih tinggal mengenai serangan komunis yang ditulis sendiri oleh beliau sebagai bekas Penggawa Hulu Kelantan ketika itu. Diakui semakin sukar untuk menjejak sejarah serangan komunis di Bandar Gua Musang sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana kebanyakan orang lama yang asal tinggal di bandar ini telah meninggal dunia. Catatan sejarah ini disimpan kemas oleh anak tunggal lelakinya supaya menjadi bukti sejarah mengenai peristiwa keganasan komunis di Gua Musang. Allahyarham Nik Jaafar pula meninggal dunia kerana sakit tua ketika berusia 89 tahun.
Al-Fatihah.
Terima kasih atas maklumat: Ariff Mustaqim

Sumber dan bacaan lanjut:


misteri-kubur-wanita-mengandung-mati-dibunuh-di-tengah-masjid/ 
enam-hari-diperintah-komunis-1.267851

Copy and paste: FB Pencinta Dunia Ketenteraan dan Pertahanan
16/6/2019: 9.35 pm


No comments:

Post a Comment