ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 4 June 2019

Mat Komando Tewas Di Tangan Polis

Keheningan subuh di Felcra Kampung Hujung Ketun, Pendang, Kedah, pada 12 September 2002, diganggu dengan dentuman berdas-das tembakan senjata api.
Ketika itu jam menunjukkan sekitar 6.30 pagi, kebanyakan penghuni kampung yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar raya Alor Star itu baru bangun untuk menunaikan solat subuh manakala pelajar bersiap untuk ke sekolah.
Penduduk tidak pun menyangka bahawa bunyi tembakan itu adalah daripada satu operasi besar dan penting polis yang dinamakan kod Ops Api Sawit 2 sekali gus menandakan kejayaan menumpaskan ketua kumpulan penjenayah amat dikehendaki, Kumpulan 13, yang diketuai Mat Komando atau nama sebenarnya Ahmad Mohd Arshad.
Penduduk tidak menyangka Mat Komando, 37, yang ditumpaskan pagi itu kerana tersebar khabar angin kononnya dia dipercayai berjaya menyusup keluar dari negara ini pada waktu berkenaan.
Serbuan sepasukan 10 anggota polis yang turut disertai Unit Tindakan Khas (UTK) pagi itu mengakhiri pemburuan pasukan keselamatan terhadap Mat Komando selama 255 hari.
Operasi tragis itu berlangsung kira-kira sebulan selepas isterinya, Faridah Mat Piah, 34, dan bapa mertuanya, Md Piah Che Nam, (72 tahun ketika itu), membuat rayuan menerusi temu bual dengan akhbar Harian Metro, supaya dia menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Beberapa jam selepas operasi itu tamat, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Norian Mai, mengesahkan bahawa lelaki yang berbalas tembak dengan polis waktu itu adalah Mat Komando.
Pengumuman itu sekali gus mengakhiri pemburuan polis ke atas Mat Komando, yang dilancarkan sejak 1 Januari 2002 selepas tiga rakannya terbunuh ketika lari dari sekatan polis di Kuala Nerang sebelum itu.
Kematian Mat Komando pada pagi itu berjaya menyelesaikan siasatan polis terhadap Kumpulan 13 yang turut dikaitkan dengan 52 kes samun bersenjata membabitkan wang tunai lebih RM2.5 juta, dua kes mencuri motosikal dan satu kes cubaan membunuh.
Kumpulan 13 kerap terbabit dalam beberapa siri rompakan bank terpencil, selain rompakan terhadap pemborong kelapa sawit, pengurup wang, kedai pajak gadai dan individu. Mereka dipercayai terbabit dalam 11 rompakan di Perak, lima di Kedah dan masing-masing dua kes di Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor.
Operasi pada pagi itu juga menyudahkan satu episod jenayah terancang dengan sembilan anggota Kumpulan 13 ditangkap manakala empat termasuk ketuanya, mati ketika berbalas tembak dengan polis.
Polis turut menemui sepucuk pistol jenis Colt .45 dan revolver .22; beberapa butir peluru hidup dan kelongsong serta wang tunai RM70 pada badan Mat Komando, pagi itu.
+ Info Mat Komando

Ketika diburu selama lebih 200 hari, polis turut mengesan beberapa taktik penyamaran dilakukan oleh Mat Komando ketika dalam persembunyian untuk mengelak dikesan termasuk muncul berjanggut atau jambang ala Taliban serta botak licin (skin head).
Dalam beberapa serbuan polis sebelum itu, Mat Komando yang bertubuh tegap dan sasa berjaya melepaskan diri termasuk dalam Ops Api Sawit sebelum itu yang mengorbankan anggota kumpulannya termasuk abang ipar, Ismail Md Piah, di Bukit Selambau dan Jalan Gubir-Kuala Nerang pada 1 Januari 2002.
Selepas kejadian itu, Mat Komando terus berjaya mengelak daripada dikesan polis.
Kali terakhir dia dikesan di Baling, Kedah, ketika cuba membunuh orang kanannya, Mohd Syukri Husin, 31, yang bersamanya melepaskan diri daripada kepungan polis di Gemas, Negeri Sembilan, pada 5 Ogos 2002.
Tindakan itu membuktikan Mat Komando amat berbahaya kerana selain bersenjata api ketika melakukan samun, dia tidak akan teragak-agak melepaskan tembakan ke arah sasarannya, hatta cuba membunuh orang kanannya itu kerana dipercayai akan memberi banyak maklumat mengenai kegiatannya kepada polis jika dibiarkan hidup.
Dalam tempoh 255 hari itu, pelbagai andaian dan cerita mengenai ‘kehebatan’ Mat Komando diperkatakan kerana dia berupaya meloloskan diri daripada kepungan polis termasuk anjing pengesan.
Mat Komando juga mungkin mempunyai kelebihan tertentu yang menyebabkan dia licik meloloskan diri, terutama ketika melarikan diri ke dalam hutan berbekalkan pengalaman dan kemahirannya sebagai anggota komando sebelum terjerumus ke kancah jenayah.
Antaranya termasuk Mat Komando memiliki ilmu kebal dan menguasai ‘ilmu selisih’ yang membolehkannya meloloskan diri tanpa disedari polis walaupun dikepung.
Mat Komando turut mencatat sejarah dalam fail jenayah polis apabila dikategorikan sebagai penjenayah ‘berhati kering’ apabila berani mendedahkan mukanya dalam kebanyakan kes rompakan tanpa memakai topeng.
Taktik itu memang jarang diamalkan penjenayah kerana ia menyebabkan mereka mudah dikenali, sekali gus memudahkan polis menjejakinya.
Modus operandinya ialah sebelum melakukan kegiatan, Kumpulan 13 akan merompak kereta terutama milik wanita dipercayai mudah untuk kenderaan itu dilarikan dan selepas misi mereka selesai ada di antara kenderaan itu dibakar bagi menghilangkan bukti.
Malah, ada yang mendakwa dia hanya boleh dibunuh ketika kedua-dua kakinya tidak berpijak di tanah.
Dalam banyak perjuangan, sama ada suci atau sebaliknya, perkara yang paling sukar bagi pihak bertentangan ialah jika buruannya tidak takut mati.
Teori sama dikatakan menghantui tentera Amerika Syarikat ketika berperang dengan Taliban di Afghanistan kerana pejuang itu tidak takut mati dan rela gugur syahid dalam pertempuran.
Mat Komando juga dilaporkan pernah menzahirkan kepada rakan dan ahli keluarganya bahawa dia lebih rela mati daripada menyerah diri kepada polis walaupun dia tinggal berseorangan. Subuh 12 September 2002 adalah penyudah kepada episod itu apabila dia ditembak mati dalam serbuan itu.
Sumber: Berita Minggu
Copy and paste: FB Pencinta Dunia Ketenteraan dan Pertahanan
4/6/2019 : 8.47 pm
30 Ramadhan 1440H 

No comments:

Post a Comment