ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 8 June 2019

FALSAFAH SAMBUTAN HARI RAYA DALAM ISLAM

Falsafah sambutan perayaan dalam agama Islam sangat menarik dan unik untuk dibahaskan. Terdapat dua perayaan utama dalam Islam, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Kalimah ‘aid berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kembali. ‘Aid bererti kembali kepada Allah swt secara menyeluruh dan holistik. Islam telah meletakkan perayaan sebagai suatu ibadah dan ketaatan terhadap Allah swt. Justeru, syarak telah menyediakan garis panduan menyeluruh berhubung tarikh, masa, tatacara sambutan dan sebagainya. Jelasnya, perayaan dalam Islam hendaklah disambut dan diraikan berdasarkan garis panduan syarak serta perlu dijauhi daripada adat dan budaya yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Sekiranya diamati, pensyariatan kedua-dua perayaan utama dalam Islam berlaku selepas pelaksanaan ibadah yang besar dalam Rukun Islam. Hari Raya Aidilfiri tiba selepas ibadah puasa, manakala Hari Raya Aidiladha disambut selepas umat Islam menunaikan ibadah haji. Begitulah tradisi sambutan perayaan dalam Islam yang mempunyai matlamat dan falsafah yang amat tinggi dan mulia. Ringkasnya, perayaan bukan sekadar hari yang diwarnai dengan kegembiraan dan juadah beraneka warna sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam yang keliru. Matlamat perayaan dalam Islam adalah jelas iaitu mengajak umat Islam agar kembali kepada Allah swt, seterusnya menjamin kebahagiaan hidup yang bahagia di dunia dan di akhirat. Kenyataan ini selari dengan sebuah athar, “Carilah Aku (yakni Allah), pasti kamu akan temui aku, sekiranya aku hilang daripadamu, maka kamu akan hilang segala-galanya, pastikan Aku lebih kamu cintai berbanding yang lain.”1
Secara umumnya, ibadat dan perayaan sangat berkait rapat kerana kemuliaan hubungannya dengan Allah dan keakraban hubungannya dalam konteks manusiawi. Titik persamaan antara ibadat dan perayaan dalam Islam ialah meletakkan matlamat hidup yang jelas dalam kehidupan manusia yang dicipta untuk menyembah Allah swt. Perkara ini penting kerana manusia mempunyai matlamat hidup yang jelas tidak memikirkan kebahagiaan hidupnya sahaja, malah turut memikirkan nasib orang lain di sekelilingnya. Individu mencapai tahap kefahaman sebegini sanggup berkorban demi melihat insan lain turut bahagia sepertinya. Oleh sebab itu, manusia yang dilimpahi kekayaan akan berusaha menampakkan tanda-tanda syukur kepada Allah swt dengan mengasihi golongan yang miskin dan fakir. Ahli hikmah berkata, “Jika kamu ingin bahagia, maka bahagiakan orang lain terlebih dahulu.” Kenyataan ini selari dengan fitrah manusia yang akan merasa tenang setiap kali melakukan kebaikan. Malah, niat untuk melakukan kebaikan sahaja sudah cukup untuk membuatkan manusia berasa tenang dan bahagia.
Dalam sebuah hadis lain Nabi saw bersabda,
. إِذَا سَرَّتْكَ حَسَنَتُكَ ، وَسَاءَتْكَ سَيِّئَتُكَ فَأَنْتَ مُؤْمِنٌ ...
“Apabila kebaikanmu membuatkan dirimu bahagia, tenang dan gembira, manakala kejahatanmu membuatkan dirimu sedih dan takut pada azab Allah, maka kamu adalah mukmin.” H. R Ahmad2

Sambutan Hari Raya Aidiladha penuh dengan kisah pengorbanan umat Islam yang terdahulu. Namun persoalannya, sejauh manakah umat Islam mampu menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh umat terdahulu? Kenyataan bahawa pengorbanan di dunia menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat sudah tidak dinafikan lagi. Namun, masih ramai yang sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi selera hawa nafsu tanpa memikirkan nasibnya di akhirat kelak. Demi kemewahan hidup, manusia sanggup menipu, memberi dan menerima rasuah serta sanggup melakukan apa saja tanpa mengira batas halal dan haram. Namun, apakah erti pengorbanan ini jika semua nikmat dunia ini berakhir dengan sebuah kematian dan gagal meraih redha Tuhan?. Hakikatnya, kematian merampas harta si kaya, menoktahkan kepintaran manusia, menghapus air mata kesedihan, menamatkan kesengsaraan fakir dan menyentap nyawa kezaliman.
Tegasnya, hari raya mengajak kita agar kembali kepada Allah swt dalam setiap urusan kehidupan. Insan yang berjaya menunaikan perintah ibadah dan melepasi ujian-Nya, wajar bergembira atas nikmat ini. Kegembiraan pada hari raya adalah kemuncak ketaatan dan ‘ubudiyyah kepada Allah swt. Justeru, umat Islam dituntut menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran dengan bersolat, bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Oleh itu, perayaan yang dicemari dengan acara maksiat bukan gambaran sebenar mukmin yang gembira melaksanakan ibadah dan perintah Allah swt.
Secara umumnya, setiap pengorbanan adalah mulia dan besar nilainya pada sisi Allah swt. Justeru, gunalah ruang sempit di dunia ini untuk melakukan pengorbanan supaya dapat berehat sepuas-puasnya di akhirat nanti. Sabda Rasulullah saw,3
عَنْ أَبِى قَتَادَةَ بْنِ رِبْعِىٍّ الأَنْصَارِىِّ أَنَّهُ كَانَ يُحَدِّثُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- مُرَّ عَلَيْهِ بِجِنَازَةٍ فَقَالَ: «مُسْتَرِيحٌ وَمُسْتَرَاحٌ مِنْهُ»، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْمُسْتَرِيحُ وَالْمُسْتَرَاحُ مِنْهُ؟ قَالَ: الْعَبْدُ
الْمُؤْمِنُ يَسْتَرِيحُ مِنْ نَصَبِ الدُّنْيَا وَأَذَاهَا إِلَى رَحْمَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَالْعَبْدُ الْفَاجِرُ يَسْتَرِيحُ مِنْهُ الْعِبَادُ وَالْبِلاَدُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ.
Maksudnya:
Daripada Abi Qatadah bin Rib’iy al-Ansari, dia meriwayatkan bahawa suatu hari Rasulullah saw melihat jenazah yang diusung melintasinya, lalu Baginda saw bersabda, “mutarih dan mustarah minhu.” Sahabat bertanya, “Ya, Rasulullah, siapakah yang dimaksudkan dengan mutarih dan mustarah minhu? Baginda menjawab, “Orang mukmin (mutarih) (yang meninggal dunia mereka) berehat daripada keletihan dunia dan kesengsaraannya menuju rahmat Allah, manakala kematian ahli maksiat (mustarah minhu) pula membolehkan manusia, negara, pepohon dan binatang berehat daripada kejahatannya.” HR Bukhari dan Muslim
Sebagai penutup, perayaan Aidilfitiri dan Aidiladha adalah hadiah daripada Allah swt untuk umat Islam yang berjaya melepasi hari-hari sukar dalam menjalani perintah Allah swt dengan hati yang suci daripada najis maksiat dan ikhlas mengharapkan ganjaran-Nya di akhirat.
Teks oleh:
Nazrul Hassan
Penolong Pengarah Kanan
Pusat Islam USM.
8 Jun 2019 : 4.18 pm

No comments:

Post a Comment