ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 2 June 2019

BLANCHE MONNIER: DIKURUNG 25 TAHUN KERANA CINTA

Oleh Shahmil Hafiz
Bukan asing lagi pada kita tentang plot "cinta yang tidak direstui" di dalam drama yang ditayangkan di kaca televisyen. Sehinggakan plot drama-drama cinta ini sudah menjadi klise dan seakan boleh diramal penonton.
Mungkin pada masa kini, ungkapan "lautan api sanggup ku renangi" sudah menjadi kebiasaan dalam usaha untuk memikat individu yang disukai. Namun begitu, di Perancis pada tahun 1876, seorang gadis dari keluarga bangsawan sanggup melalui apa sahaja dugaan dan rintangan oleh disebabkan cinta dan kesetiaan kepada kekasih nya. Dan motif gadis itu bukanlah kerana menginginkan kereta Honda Civic TypeR yang dimiliki lelaki tersebut.
Beliau adalah Blanche Monnier. Gambar yang saya sertakan ini, bukanlah gambar poster promosi kepada sebuah filem seram. Inilah gambar yang diambil sejurus selepas penemuan seorang wanita malang, Blanche Monnier yang dikurung selama 25 tahun oleh ibu nya sendiri.
Siapa yang tidak kenal akan Keluarga Monnier? Keluarga bangsawan dan aristokrat yang terkenal di Perancis. Keluarga Monnier mempunyai seorang anak gadis yang rupawan, iaitu Blanche Monnier. Beliau yang pada tahun 1876 ketika itu berumur 25 tahun. Dan seperti anak gadis bangsawan yang lain, ingin segera mendapatkan padanan dengan calon lelaki yang baik untuk mendirikan rumahtangga.
Seakan sudah ditetapkan jodoh, Blanche Monnier jatuh cinta kepada seorang lelaki yang merupakan seorang peguam tua dan miskin. Namun kerana 'cinta itu buta', semua itu tidak dihiraukan dan beliau tetap ingin mengahwini peguam tua itu.
Perkara ini tidak disenangi ibunya iaitu Madame Monnier. Beliau beranggapan bahawa peguam tua dan miskin itu tidak setaraf bersama dengan anak gadis dari keluarga bangsawan.
Selain itu, terdapat ramai lagi calon pasangan yang sesuai di mata Madame Monnier yang juga golongan bangsawan kaya-raya sedang menunggu jawapan gadis jelita itu. Ini kerana mereka ingin menjadikan anak gadis Madame Monnier itu sebagai suri hati masing-masing.
Namun Blanche Monnier tidak berganjak dari pilihan hatinya iaitu peguam tua tersebut. Anak gadis itu melawan keinginan ibunya dan bertindak setia kepada cinta di dalam hati beliau.
Kehilangan Blanche Monnier
Pada suatu hari, secara tiba-tiba Blanche Monnier tidak kelihatan lagi di Kota Paris. Rakan-rakan serta kekasihnya si peguam tua tidak tahu-menahu kemana gadis itu pergi. Namun ada di antara mereka yang berpendapat bahawa gadis itu melarikan diri dari rumah setelah pilihan hatinya tidak direstui keluarga.
Tidak diketahui oleh mereka semua, bahawa Madame Monnier yang berang dengan keputusan anak gadisnya Blanche untuk mengahwini pilihan hati beliau, bertindak mengurung gadis cantik itu di sebuah bilik kecil yang terletak di bahagian loteng rumah agam mereka.
Kemudian untuk mengelakkan insiden kehilangan Blanche dicurigai orang ramai, Madame Monnier serta anak lelaki beliau Marcel, berpura-pura untuk meratapi pemergian Blanche Monnier. Dan tidak lama kemudian, mereka meneruskan kehidupan seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Tahun demi tahun sudah berlalu. Sehinggakan kekasih hati pilihan Blanche Monnier, si peguam tua itu juga telah meninggal dunia pada tahun 1885. Namun begitu, gadis malang tersebut masih lagi dikurung di bilik kecil loteng rumah agam oleh ibu nya yang kejam.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Pada 23 Mei 1901, sepucuk surat misteri tanpa tandatangan dan pengenalan telah diterima oleh pejabat Peguam Negara yang terletak di Paris. Surat itu menyatakan bahawa kediaman Keluarga Monnier menyimpan rahsia yang besar.
Ditulis di dalam surat itu juga bahawa terdapat seorang individu dikurung di kediaman tersebut yang dibiarkan kelaparan serta tinggal bersama-sama najisnya selama 25 tahun.
Perkara ini mengejutkan Peguam Negara tersebut. Beliau kemudian dengan pantas meminta supaya pihak polis segera menyiasat kediaman Keluarga Monnier.
Pasukan polis kemudian menyerbu kediaman Keluarga Monnier. Orang ramai yang menyaksikan perkara itu berasa aneh kerana Keluarga Monnier ini merupakan "keluarga baik-baik". Selain itu, Madame Monnier juga terkenal di dalam golongan elit Paris sebagai seorang yang suka menderma. Beliau juga pernah menerima anugerah dari Commitee of Good Works diatas sumbangan beliau kepada Paris. Manakala anak lelaki beliau, Marcel juga kini bekerja sebagai seorang peguam yang disegani.
Tetapi perkara itu tidak menghalang pihak polis dari memeriksa keseluruhan premis kediaman Keluarga Monnier. Setibanya di loteng rumah agam tersebut, anggota polis terhidu akan bau yang sangat busuk dari sebuah pintu bilik loteng tersebut.
Anggota yang sedang memeriksa itu turut memerhatikan bahawa pintu tersebut juga dikunci mangga yang besar. Menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena, mereka kemudian memecahkan mangga tersebut.
Namun apa yang ditemui anggota polis tersebut bakal mengejutkan mereka semua.
Hari Pembebasan
Di dalam bilik tersebut, terdapat seorang wanita dengan keadaan yang menyayat hati tinggal di dalam nya. Dan wanita itu adalah Blanche Monnier, anak gadis Madame Monnier yang telah dikurung selama 25 tahun oleh ibu kandung nya sendiri.
Keadaan bilik tersebut gelap gelita tanpa sebarang cahaya. Satu-satunya jendela bilik tersebut telah ditutup rapat serta terdapat langsir tebal melindungi jendela itu.
Bau yang sangat busuk di dalam bilik tersebut membuatkan salah pegawai polis mengarahkan anggota nya untuk memecahkan tingkap itu dengan segera.
Setelah jendela dipecahkan, barulah mereka semua tahu dari mana datangnya punca bau busuk itu. Ia datangnya dari sisa makanan yang berselerakan di seluruh bilik tersebut.
Kemudian, mereka memerhatikan bahawa Blanche Monnier yang telah dirantai di sebuah katil usang serta membusuk oleh kerana najis wanita itu sendiri. Blanche Monnier juga dalam keadaan berbogel, kurus kering seakan mayat, serta berambut panjang, menggambarkan siksaan yang dihadapi beliau sepanjang 25 tahun dikurung.
Salah seorang saksi menyatakan bahawa;
"Wanita malang itu ditemui berbaring serta dalam keadaan berbogel di atas katil yang usang. Di sekeliling beliau terdapat seakan bentukan kerak akibat daripada pengumpulan najis, cebisan makanan seperti daging, sayuran, ikan dan roti yang membusuk."
"Kami memerhatikan terdapat kulit kima dan ada juga serangga yang melintasi katil usang Mademoiselle Monnier. Udara di dalam bilik itu tidak sesuai untuk bernafas dan bau nya sangat busuk. Ia membuatkan kami tidak dapat berada lama di dalam bilik tersebut untuk penyiasatan."
Setelah jendela itu dipecahkan, itulah pertama kali Blanche Monnier melihat cahaya matahari setelah lebih dua dekad dikurung di dalam bilik tersebut. Beliau yang kurus dan tidak bermaya itu segera dikejarkan ke hospital. Manakala Madame Monnier dan anak lelaki nya Marcel ditahan untuk siasatan.
Penceritaan Blanche
Staf di hospital tersebut yang memeriksa keadaan Blanche Monnier menimbang berat wanita malang tersebut. Beliau yang kurang zat itu hanya seberat 55 paun, iaitu bersamaan 25 kilogram sahaja. Blanche kemudian bertindak memberi kenyataan tentang apa yang telah berlaku kepada pihak berkuasa. Seperti kisah beliau yang hanya memakan sisa makanan ibu nya selama dikurung.
Kemudian menurut Blanche lagi, selama 25 tahun dikurung, tiada siapa yang mencuba untuk membantu beliau. Ini termasuklah adik lelaki beliau sendiri Marcel, dan pekerja-pekerja di rumah agam tersebut. Mereka kemudian disoal, seterusnya memberikan alasan bahawa mereka takut kepada Madame Monnier justeru tidak membantu Blanche yang dikurung.
Iany tidak diketahui tentang siapakah gerangan individu yang memberi surat kepada pejabat Peguam Negara tersebut. Menurut khabar angin, salah seorang pekerja di rumah agam tersebut, menceritakan hal itu kepada teman lelaki beliau. Teman lelaki beliau yang sangat terkejut akan perkara itu, bertindak menulis dan mengutus kepada pejabat peguam.
Pengakhiran
Madame Monnier yang telah ditahan, mengaku diatas perbuatan kejam mengurung anak beliau sendiri Blanche Monnier selama 25 tahun kepada pihak berkuasa. Kemudian, Madame Monnier, golongan bangsawan yang malu akan kejahatannya didedahkan, meninggal dunia selepas 15 hari pembebasan Blanche Monnier. Madame Monnier mati dipenjara.
Adik lelakinya Marcel kemudian dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan di atas dakwaan bersubahat dalam kejadian itu dan pada mulanya dikenakan hukuman penjara 15 bulan. Namun beliau dilepaskan dari sebarang dakwaan kerana kenyataan beliau bahawa Blanche Monnier boleh meninggalkan bilik itu pada bila-bila masa. Selain itu, Marcel Monnier dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental. Pembebasan Marcel ini mengejutkan orang ramai.
Bagi Blanche Monnier pula, setelah 25 tahun dikurung pastinya akan ada kesan yang kekal kepada kesihatan beliau. Beliau dikatakan mempunyai beberapa masalah mental dan dipindahkan ke hospital psikiatri di bandar Boise, Perancis. Tidak lama kemudian, pada 13 Oktober, 1913, wanita malang yang dikenali sebagai "La Séquestrée de Poitiers" yang membawa maksud ("Semuanya bermula di Poitiers") meninggal dunia di hospital tersebut berumur 64 tahun.
Rujukan:
Incredible story of the 19th Century French socialite who vanished for 25 years... only to be discovered locked in her mother's attic because of her scandalous sex life. Retrieved from: https://www.dailymail.co.uk/…/Incredible-story-19th-Century…
The Story of a Nightmare: Blanche Monnier. Retrieved from: https://historykey.com/story-nightmare-blanche-monnier/
Blanche Monnier Was Kept Hidden In Her Room For 25 Years, Just For Falling In Love. Retrieved from: https://allthatsinteresting.com/blanche-monnier
Copy and paste: Facebook The Patriots
2/6/2019 : 6.16 pm

No comments:

Post a Comment