ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 2 May 2019

APA KATA P.RAMLEE TENTANG BTS?

Bagaimana BTS , kumpulan K-pop ini boleh membawa kemajuan kepada agama, bangsa & negara dalam membentuk budaya Malaysia?
Sebelum fenomena BTS ini menggila, 60 tahun dulu The Beatles pernah menggegar dunia dan pengaruhi banyak budaya kita.
The Beatles membuatkan perempuan-perempuan histeria walhal ketika itu kaum perempuan baru sahaja keluar dari zaman mereka pasif ; keluar dari zaman dominasi lelaki.
Apa kata P.Ramlee tentang itu ketika itu?
P.Ramlee bimbang penularan 'trend' begini akan menghakis jati diri anak bangsa dan mencemarkan budaya kita jika tidak digarap , dipantau dengan betul.
Apa pula kata masyarakat ketika itu terhadap P.Ramlee?
Masyarakat muda gila dijangkiti wabak Pop Yeh Yeh. Wartawan mentertawakan P.Ramlee. Ada yang mengatakan karya P.Ramlee sudah tidak relevan. Malahan ada yang mengejek 'boooo' pada P.Ramlee.
Adakah apa yang P.Ramlee pernah kata itu benar-benar terjadi?
YA. Akibatnya anak bangsa kita lemah jati diri. Malu dengan diri sendiri ( inferiority complex ). Taksub mahu jadi orang putih ( anglofilia ). Sekarang ini beralih jadi koreafilia.
Ketika itu tumbuh pelbagai kumpulan muzik tempatan yang berkiblatkan The Beatles serta menggunakan nama orang putih seperti M Osman dan The Mods, Jefri Din (The Siglap 5), A Ramlie (The Rhythm Boys), Kassim Selamat (The Swallows), Eddie Ahmad (The Antartic), Hussein Ismail (The Sandblues), A Romzi (The Hook) serta lain-lain lagi kecuali kumpulan Orkes Nirwana yang diketuai oleh A. Rahman Hassan memartabatkan bahasa Melayu.
P.Ramlee tetap setia meranduk arus muzik moden dan trend ketika itu dengan memartabat dan membudayakan bahasa Melayu dalam karya seninya melalui kugirannya Pancha Sitara dan filem-filemnya.
Ramai tahu, P.Ramlee banyak mengadaptasi unsur luar dari seluruh dunia. Akan tetapi, digarapnya semua itu dengan cantik, disesuaikan dalam membentuk budaya dan pemikiran kita SEHINGGALAH SEKARANG.
P.Ramlee tidak pernah buat filem atau lagu dengan tajuk Inggeris sebagai mana produser-produser drama / filem / muzik sekarang amalkan, akan tetapi beliaulah antara pencapaian tertinggi yang pernah dikecap oleh orang Melayu dalam bidang seni budaya moden.
Apa kesan pada masyarakat kita kerana tidak mendengar kata-kata seniman agung kita ini, P.Ramlee?
Trend silih berganti. Pop Yeh Yeh hanyut dalam peredaran zaman. Rock, Hip Hop dan sebagainya bergilir mempengaruhi masyarakat kita dengan penghasilan kugiran-kugiran anglofilia dengan nama Inggeris yang langsung tidak membawa kita ke persada dunia. Syok sendiri. Ye, itulah hakikatnya.
Implikasi yang lebih buruk, kita menghasilkan generasi usahawan yang begitu 'inferiority complex', buat produk tudung pun pakai bahasa orang putih sedangkan yang membelinya orang kita sendiri.
Kita hasilkan jenama-jenama tempatan yang menumpang nama asing dan menipu masyarakat kita sendiri seperti Bonia, Padini, British India, Manhattan Fish Market, San Francisco Coffee, New York Skin Care, London Weight Management dan sebagainya.
Kita hasilkan projek pembangunan yang bodoh bahasa sendiri, tidak lagi nama seperti Dayabumi digunakan.. tetapi The Curve, The Strand dsb. Kuala Lumpur tetap dengan namanya walaupun dengan 'lumpur' sahaja, gah dikenali dunia.
Kita hasilkan cerdik pandai yang kemudiannya jadi menteri, tetapi begitu bangang dalam menjenamakan sesuatu hingga segala projek pembangunan, program dibuat dengan membelakangkan perlembagaan negara kita, bahasa kebangsaan sedangkan kita sudah MERDEKA!
Kita hasilkan menteri seperti Syed Saddiq - KBS yang berterusan merobek bahasa, budaya dan identiti bangsa kita bermula dari belia-belia kita dengan bertopengkan nama 'Bumiputera' dan menunggang nama Malaysia.
Apa beza dengan pemimpin-pemimpin UMNO anglofilia dahulu yang tidak peka mengekang budaya malu dengan diri sendiri ini?
Adik kita ini mahu menjana kewangan negara ( tidak terbukti pun ) jangka pendek melalui penggunaan infra negara tanpa sedar kesan negatif jangka panjang yang bakal melanda sehingga 60 tahun akan datang sebagaimana kesan The Beatles dulu pada datuk nenek dan ibu bapa kita.
Berbekalkan alasan tidak mahu ketinggalan di belakang Singapura, Thailand, Indonesia dalam bidang penjanaan wang melalui frasa, Syed Saddiq tidak sedar Malaysia ini adalah antara tiga yang tercorot di Asia Tenggara dalam hal kecelaruan identiti negara bangsanya sendiri.
BTS ini sama seperti kegilaan The Beatles dahulu, bakal bersilih ganti juga.
Persoalannya, sampai bila kita mahu melahirkan generasi yang tidak tahu bagaimana untuk mengangkat budaya & identiti sendiri ke persada dunia?
Trend, malahan bahasa antarabangsa sendiri sifatnya boleh berubah mengikut kuasa utama dunia.
Semua negara bangsa maju yang mencetus budaya kegilaan dunia ini menguasai pasaran mereka sendiri dan memartabatkan bahasa mereka sendiri.
Termasuklah British. Termasuklah Amerika. Termasuklah Jepun. Termasuklah Korea.
Sampai bila kita mahu bergantung pada trend-trend dunia tanpa belajar bagaimana mereka menjadikan budaya mereka sebagai trend?
Jangan lalang yang menyemak, padi pula yang ditebas.
Jangan sampai satu masa, generasi pengganti seniman P.Ramlee kita bagaikan menjual nasi lemak pada masyarakat kita yang malu makan nasi lemak dan gian makan kimchi.
Sebelum itu berlaku, kita tebas lalang yang menyemak dalam sawah padi kita. Kita tebas segala pemimpin celaru identiti, yang anglofilia, yang koreafilia ini.
Kita tidak boleh biarkan mereka ini jadi dalang-dalang yang mengekang, membelenggu pergerakan budaya kita sendiri.
Bersama Memperkasa Wajah Tanah Melayu.
Serlahkan Diri Tuan Hamba Yang Sebenar.
Bahasa Jiwa Bangsa.
Artikel oleh : 

Copy and paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
2/5/2019 : 8.57 pm

No comments:

Post a Comment