ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 4 March 2019

AMARAN : Apakah Serangan Jantung?

Dr Beni Rusani

Serangan jantung (Sindrom Akut Koronari atau myocardium infarction) adalah satu kecemasan perubatan yang boleh membawa kepada komplikasi yang serius dan juga maut. Ia disebabkan oleh kekurangan bekalan darah ke jantung, saluran darah yang sempit disebabkan oleh plak kolestrol. Plak-plak yang tidak stabil ini boleh pecah dan seterusnya akan membentuk darah beku yang akan menghalang saluran-saluran secara keseluruhan.

Penyakit jantung (penyakit kardiovaskular / cardiovascular disease) pada masa kini merupakan punca kematian yang utama di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia. Hal  ini dapat dilihat melalui generasi ‘Baby Boom’ yang semakin meningkat usia; yang mana masih membentuk majoriti penduduk di dunia. Di Malaysia, kejadian serangan jantung adalah sekitar 141 bagi setiap 100,000 orang dalam setahun, dan menyebabkan kira-kira tujuh peratus kematian di hospital. Tambahan pula, penyakit kardiovaskular  menyumbang kematian dua setengah kali lebih tinggi di kalangan wanita Malaysia daripada semua jenis kanser apabila digabungkan.
Faktor-faktor risiko untuk serangan jantung adalah:
  1. Jantina (lelaki lebih berisiko daripada perempuan)
  2. Umur lebih daripada 45 tahun, (umur perempuan> 55 tahun atau selepas menopaus)
  3. Penyakit kencing manis
  4. Merokok
  5. Kandungan kolestrol tinggi dalam darah
  6. Penyakit darah tinggi
  7. Obesiti
Walau bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini kita melihat peningkatan bilangan kes-kes yang melibatkan orang-orang yang lebih muda, bahkan wanita dan pada awal umur 30-an. Pesakit paling muda yang pernah direkodkan mendapat serangan jantung di Malaysia berusia 19 tahun. Trend yang membimbangkan ini menunjukkan betapa pentingnya untuk mengekalkan berat badan normal, bersenam dan elakkan merokok; terutama mereka yang mempunyai sejarah keluarga mempunyai penyakit jantung.
Simptom utama serangan jantung adalah sakit dada yang digambarkan sebagai ditindih objek berat atau seperti tekanan. Ia mungkin diiringi dengan rasa kebas di sepanjang lengan kiri dan leher, loya dan muntah-muntah. Ada yang menyifatkannya sebagai suatu perasaan seperti “satu azab bakal berlaku”. Harus diingatkan bahawa tidak semua pesakit akan mengalami simptom-simptom klasik ini. Jika terdapat keraguan, sila dapatkan rawatan dan nasihat perubatan.
Walaupun terdapat peningkatan yang ketara dalam pengurusan serangan jantung secara keseluruhan, malangnya kebanyakan kematian berlaku sebelum sempat tiba di hospital. Kesilapan yang biasa dibuat oleh pesakit adalah kelewatan dalam mendapatkan rawatan perubatan atau kecemasan. Mereka sama ada tidak mengendahkan simptom-sipmtom tersebut,  berharap bahawa sakit dada itu akan reda atau menganggap ia disebabkan masalah kesihatan  lain seperti ketidakhadaman perut. Kelewatan ini akan memberi lebih tekanan pada otot jantung yang telah  kekurangan bekalan dan peredaran darah, seterusnya ianya tidak dapat dipulihkan dan kerosakan jantung akan berlaku. Jika tidak dirawat dengan segera atau mereka yang terselamat akibat dari serangan jantung akan mengalami komplikasi lanjut seperti kegagalan fungsi jantung. Kebiasaannya mereka akan mengadu sesak nafas ketika melakukan senaman mahupun ketika sedang berehat.
Secara amnya, prinsip terbaik dalam sebarang kecemasan perubatan adalah dengan mendapatkan bantuan perubatan dengan segera di pusat perubatan yang terdekat. Walau bagaimanapun, memandangkan betapa seriusnya penyakit ini dan juga rawatannya yang kompleks, untuk kes-kes  ‘serangan jantung yang stabil’ adalah dinasihatkan untuk datang terus ke Jabatan Kecemasan terdekat, bukannya mengunjungi  klinik am. Sekiranya pesakit telah datang ke klinik, dalam kebanyakan kes, doktor di klinik akhirnya akan merujuk pesakit tersebut ke hospital yang berdekatan dan ini telah menyebabkan pembaziran masa ketika pesakit tiba di jabatan kecemasan.
Secara ringkasnya, terdapat tiga jenis serangan jantung:
  1. STEMI  (infark miokardium berserta peningkatan segmen ST)
  2. Bukan-STEMI (infark miokardium tidak berserta peningkatan segmen ST)
  3. Angina tidak stabil
Nota: ST merujuk kepada segmen ST yang dirakam di ECG. ECG yang normal mempunyai gelombang P, kompleks QRS dan gelombang T. Salah satu cara untuk mengklasifikasikan serangan jantung adalah dengan perubahan kepada segmen ST dalam ECG.





Sejurus tiba di hospital, berdasarkan jenis serangan jantung (melalui pemeriksaan ECG dan ujian darah), doktor yang merawat akan menentukan rawatan yang paling sesuai untuk pesakit. Ia mungkin terdiri daripada ubat-ubatan yang berasaskan-prosedur seperti angioplasty (pembedahan nyah-halang saluran darah). Selepas penstabilan di Jabatan Kecemasan, pesakit akan dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan dan juga pemerhatian lanjut.
Terdapat juga situasi yang malang, iaitu serangan jantung yang disusuli dengan terhentinya degupan jantung sebelum sempat tiba di hospital, maka adalah sangat penting orang yang berada di sekeliling pesakit ketika serangan untuk melakukan cardio-pulmonary resuscitation atau CPR (tidak terkandung dalam artikel ini) kerana tindakan ini telah terbukti dapat meningkatkan peluang pesakit untuk terus hidup.
Bagi mangsa serangan jantung, adalah penting untuk terus mengambil ubat yang ditetapkan untuk mereka. Kebanyakan ubat-ubatan ini perlu diambil sepanjang hayat kerana sifat mereka ‘penstabilan’ dan bukannya ‘merawat’ jantung. Dengan ini, pesakit perlu berbincang dengan doktor mereka sebelum menghentikan pengambilan ubat-ubatan itu. Kegagalan berbuat demikian mungkin membawa kepada bahaya , contohnya penghentian mengambil Aspirin selepas angioplasty mungkin akan menyebabkan tersumbatnya ‘stent’ yang telah diimplan di dalam saluran darah pada jantung.
LIMA mesej penting yang perlu diingatkan kepada pembaca:
  1. Walaupun serangan jantung biasanya dinyatakan sebagai tekanan seperti sakit dada, jika anda ragu-ragu, sila dapatkan bantuan perubatan.
  2. Jika anda agak stabil, sila datang terus ke Jabatan Kecemasan di hospital yang berdekatan.
  3. Ingat bahawa “masa adalah otot” dan lebih lama mangsa menunggu, lebih banyak otot jantung akan rosak dan semakin besar kemungkinan kerosakan itu tidak dapat dipulihkan.
  4. Jika mangsa tidak sedarkan diri sebelum tiba ke hospital, CPR dapat meningkatkan peluang untuk hidup (CPR mudah dipelajari).
  5. Jangan berhenti mengambil ubat tanpa berunding dengan doktor yang telah memulakan ubat tersebut.
Dr Beni Rusani adalah seorang pakar kardiologi yang kini bertugas di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Beliau mempunyai minat yang mendalam untuk  meningkatkan tahap kesedaran tentang isu-isu kesihatan setempat. Kenali beliau dengan lebih lanjut dalam ruangan ‘The Team’. Artikel ini telah diterjemah oleh Cik Raja Maizatul Azaria.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Rujukan:
  • Management of Unstable angina / non STEMI. Malaysia Clinical practice guideline. Ministry of Health Malaysia; 2011.
  • Prevention of cardiovascular disease in women. Malaysia Clinical practice guideline. Ministry of Health Malaysia; 2008.

4/3/2019: 12.42 am

No comments: