ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 2 January 2019

KESULTANAN JOHOR MODEN TIADA DAULAT : BENARKAH ?

Walaupun aku amat membenci golongan raja yang angkuh takbur terhadap rakyat jelata (kenyataan umum), namun ia tidak menghalang aku dari terus menjadi seorang yang Pro Sultan Melayu. Bukan batang tubuh Sultan itu yang aku pertahankan, tetapi Instititusi Kesultanan yang aku pertahankan. Dan kebencian terhadap seseorang itu bukanlah pada batang tubuhnya, tetapi membenci akan sikapnya.

Sejak akhir ini, tersebar beberapa penulisan yang mentohmah keTakziman Kesultanan Johor. Tapi, aku letak tepi dulu perkara sampingan seperti kontroversi kerabat Johor ketika memegang persatuan sukan, isu jenayah pukul-bunuh (jika benar wujud), isu karamah Mufti Johor ke atas Sultan, isu perbalahan kerabat Johor dengan ahli politik tertentu dan lain-lain. Di sini, aku hanya tulis sejarah kesultanan Johor secara adil dan neutral. Terpulang kepada pembaca nak tafsir macamana dan nak berpihak kepada mana-mana bahagian. Aku tak minat nak berpihak kepada mana-mana bahagian, yang aku minat adalah keramahan orang Johor dan kecantikan gadis Johor laa tapi. Hahahaha...
Ini garis masa Kesultanan Johor :-
1511 - Melaka jatuh dan ditawan oleh Portugis. Sultan Mahmud Syah iaitu Sultan Melaka terakhir terpaksa berundur keluar dari kota Melaka.
1528 - Sultan Alauddin Riayat Syah II iaitu anak kepada Sultan Mahmud Syah mengasaskan Kesultanan Johor. Sultan Alauddin Riayat Syah II berusaha merampas semula Melaka dari Portugis. Kesultanan Acheh juga nak tawan Melaka. Portugis menyerang Johor dan Acheh. Johor dan Acheh pun saling berperang. Peperangan ini dipanggil Perang Tiga Segi (Portugis-Johor-Acheh) yang berlangsung sekitar 100 tahun.
1641 - Portugis berjaya dikalahkan apabila gabungan tentera Johor dan Belanda menyerang mereka. Namun Melaka diserahkan kepada Belanda.
1666 - Jambi ingin membebaskan diri dari kekuasaan Johor. Maka berlakulah Perang Johor-Jambi
1679 - Johor dengan bantuan Bugis menyerang dan mengalahkan Jambi.
1699 - Sultan Mahmud Mangkat Di Julang ditikam oleh Laksamana Bentan Megat Seri Rama. Sultan Mahmud ini merupakan Sultan Johor terakhir dari keturunan Kesultanan Melaka. Ini kerana baginda tidak mempunyai pewaris untuk meneruskan pemerintahan. Oleh itu, Bendahara Johor melantik dirinya sebagai Sultan Johor dinasti Bendahara dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV. Orang Minangkabau tidak setuju dengan perkara ini lalu mengambil kesempatan untuk menjatuhkan Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV.
1717 - Orang Minangkabau (Siak) telah menyerang Johor lalu setahun kemudian, orang Minangkabau mengangkat pemimpin mereka iaitu Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah sebagai pemerintah Johor. Tidak puas dengan perkara tersebut, Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV meminta bantuan Bugis untuk menyerang Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah.
1722 - Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah melepaskan takhtanya. Takhta Johor diambil oleh anak Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV iaitu Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Bagi menghargai jasa orang Bugis yang dipimpin oleh Daeng 5 Bersaudara, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah melantik Daeng Marewah sebagai Yang DiPertuan Muda.
Empayar Johor ketika itu luas sehingga disebut sebagai Johor-Riau. Pemerintahan kerajaan ini dibahagi kepada 4 bahagian iaitu :
* Yang DiPertuan Muda menguasai Riau
* Bendahara menguasai Pahang
* Temenggung menguasai Johor & Singapura
* Raja Temenggung Muar menguasai Muar

Gabungan seluruh wilayah ini bernaung dibawah Sultan Johor yang bersemayam di Lingga.
1812 - Sultan Johor yang bernama Mahmud III mangkat dan meninggalkan dua putera iaitu Tengku Hussein dan Tengku Abdul Rahman. Sepatutnya Tengku Hussein yang menaiki takhta namun ketika itu baginda berada di Pahang. Yang DiPertuan Muda Riau dengan sokongan Belanda melantik adindanya menaiki takhta dengan gelaran Sultan Abdul Rahman. Mengikut Adat, seseorang pewaris takhta itu perlu berada disamping Sultan yang mangkat bagi membolehkan dirinya mewarisi takhta. Namun Adat ini perlu diputuskan oleh Bendahara selaku Penjaga Adat, bukannya Yang DiPertuan Muda. Oleh itu, Bendahara segera ke Riau bagi mengesahkan pewarisan takhta tersebut. Tetapi kedatangan Bendahara ketika itu terhalang.
1819 - Wakil SHTI (British) iaitu Stamford Raffles tiba di Singapura. Dia nak menguasai Singapura. Oleh itu dia memaksa Temenggung Johor untuk menerima kehadirannya dengan membuat satu perjanjian. Perjanjian antara Raffles (SHTI British) dan Temenggung tidak sah kerana tidak mendapat persetujuan Sultan Johor iaitu Sultan Abdul Rahman yang akrab dengan Belanda. Oleh itu, Raffles menculik kekanda Sultan Abdul Rahman iaitu Tengku Hussein untuk dipaksa membuat perjanjian. Perjanjian itu menjadikan Tengku Hussein dirajakan di Singapura dengan syarat membenarkan SHTI bertapak di Singapura. Hal ini menjadikan Johor memiliki dua orang Sultan iaitu Sultan Abdul Rahman yang memiliki Alat Kebesaran Johor beserta Nobat warisan Kesultanan Melaka yang bersemayam di Lingga dan Sultan Hussein yang bersemayam di Singapura. Bendahara tidak dapat mengesahkan legitimasi Sultan Hussein kerana perlantikan yang dibuat oleh British itu berlaku di Singapura iaitu wilayah kekuasaan Temenggung. Bendahara hanya menumpahkan taat setia kepada Sultan Johor yang bersemayam di Lingga sahaja iaitu Sultan Abdul Rahman seorang yang warak.
1824 - Sultan Hussein terpaksa menyerahkan keseluruhan penguasaan Singapura kepada British (SHTI). Belanda mempertikai perkara ini kerana bimbang British mengancam penguasaan ekonominya. Lalu Belanda dan British (SHTI) membuat perjanjian yang dikenali sebagai Persetiaan London (Perjanjian Inggeris-Belanda 17 Mac 1824) untuk membahagi kepulauan Melayu kepada dua bahagian. Melalui perjanjian ini Semenanjung Tanah Melayu yang merangkumi Johor dan Singapura diserahkan kepada British manakala Kepulauan Sumatera merangkumi Riau dan Lingga diserahkan kepada Belanda. Empayar Johor terbelah dua.
1835 - Sultan Hussein mangkat. Sultan Ali putera Sultan Hussein cuba menuntut takhta di Johor.
1840 - British mengisytiharkan bahawa Sultan Ali pewaris yang sah Sultan Hussein tetapi bukan pengiktirafan sebagai "Sultan Johor".
1852 - Sultan Ali dari Singapura datang ke Johor bagi menuntut takhta. Ketika ini, kesultanan Johor ada dua iaitu di Lingga dibawah Sultan Mahmud IV (cucu Sultan Abdul Rahman) dan di Johor dibawah Sultan Ali (anak Sultan Hussein). Namun, British memaksa untuk Sultan Ali kembali ke Singapura agar baginda tidak dapat mengukuhkan pengaruhnya di Johor. Johor merupakan wilayah kekuasaan Temenggung.
1855 - British di Singapura enggan mengiktiraf Sultan Ali lalu memaksa Sultan Ali di Johor mengadakan perjanjian. Perjanjian itu menyatakan kuasa memerintah Johor diserahkan kepada Temenggung Daeng Ibrahim dan Sultan Ali hanya menjadi Sultan di Muar sahaja. Daeng Ibrahim mengasaskan Kesultanan Johor Dinasti Temenggung. Sultan Ali memberi syarat bahawa Temenggung Ibrahim tidak boleh memakai gelaran ‘Sultan’, tidak boleh memakai Tanjak dan tidak boleh dialunkan nobat. Sebab itu kini Sultan Johor memakai Mahkota bukannya Tanjak dan tiada Nobat.
Menurut lagenda ketika inilah munculnya perjuangan Si Bongkok yang berjuang untuk mempertahankan takhta Johor kepada Sultan Ali melawan Temenggung Ibrahim yang dibantu British. Si Bongkok yang gagah berani itu akhirnya kalah setelah membiarkan dirinya ditikam oleh adik kandungnya sendiri iaitu Panglima Putih yang bersungguh-sungguh hendak membunuh Si Bongkok. Panglima Putih berpihak kepada Temenggung.
“Dari Tebrau orang berakit,
Singgah Setulang membeli kopi,
Pusara Si Bongkok di lereng bukit,
Di tepi pantai Tanjung Puteri.”

1862 - Temenggung Daeng Ibrahim meninggal dunia. Diganti oleh anaknya Temenggung Daeng Abu Bakar.
1866 - Temenggung Daeng Abu Bakar menukar nama Tanjung Puteri menjadi Johor Bahru.
1868 - Temenggung Daeng Abu Bakar memakai gelaran Maharaja Sir Abu Bakar setelah disetujui oleh Ratu England. Ketika di England baginda dikenali sebagai Albert Baker.
1877 - Sultan Ali mangkat lalu Muar diserahkan kepada Maharaja Sir Abu Bakar.
1879 - Berlaku Perang Jementah iaitu perang saudara Johor kerana putera Sultan Ali bernama Tengku Alam Syah tidak berpuas hati apabila wilayah Muar diserahkan kepada Maharaja Sir Abu Bakar melalui muslihat British. Namun, Tengku Alam Syah kalah peperangan ini.
1885 - Maharaja Sir Abu Bakar telah menandatangani perjanjian persahabatan dengan British. Maka, kerajaan British mengiktiraf Johor sebagai sebagai sebuah negeri yang bebas dan berdaulat. Baginda juga diiktiraf sebagai Sultan Johor setahun kemudian. Baginda bersetuju menerima seorang pegawai British yang bertugas sebagai Konsul British di Johor.
1895 - Sultan Abu Bakar menggubal Perlembagaan Johor. Baginda digelar Bapa Pemodenan Johor. Baginda mangkat pada tahun ini lalu diganti oleh puteranya Sultan Ibrahim al-Masyhur.
1914 - Sultan Ibrahim Al-Masyhur ibni Sultan Abu Bakar telah menandatangani perjanjian dengan British bagi menukar jawatan Konsul kepada Penasihat Am sekaligus menukarkan taraf Johor daripada sebuah negeri yang bebas dan berdaulat kepada sebuah negeri naungan British.
1941 - Pendudukan Jepun di Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua.
1945 - Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua.
1946 - British kembali ke Tanah Melayu dan Johor menjadi sebahagian dari Malayan Union.
1948 - Malayan Union dihapuskan kerana penentangan dari orang Melayu. Persekutuan Tanah Melayu dibentuk. Namun Sultan Ibrahim tidak yakin dengan kemerdekaan ini.
1955 - Sultan Ibrahim menolak kemerdekaan Tanah Melayu. Baginda lebih selesa menjadi Naungan British. Muncul usaha untuk memisahkan Johor dari Persekutuan Tanah Melayu. Tapi ramai rakyat Johor tidak bersetuju dengan kehendak Sultan. Sultan membawa diri ke London dan pemerintahan diwakilkan kepada putera baginda iaitu Tengku Ismail.
1957 - Tengku Ismail menandatangai persetujuan untuk membentuk Tanah Melayu dan mencapai kemerdekaan walaupun perkara ini tidak disetujui oleh ayahandanya di London. Johor menjadi negeri terakhir menyertai Persekutuan Tanah Melayu.
1959 - Sultan Ibrahim Al-Masyhur ibni Sultan Abu Bakar mangkat di London lalu diganti oleh puteranya Sultan Ismail. Putera Sultan Ismail iaitu Tunku Mahmud Iskandar dilantik menjadi Tengku Mahkota Johor.
1961 - Sultan Ismail menerima aduan kononnya Tunku Mahmud Iskandar mengurung 2 anggota polis dalam sangkar anjing. Jawatan Tengku Mahkota Johor dilucutkan dari Tunku Mahmud Iskandar lalu diberikan kepada adindanya Tunku Abdul Rahman.
1966 - Sultan Ismail melantik Tunku Mahmud Iskandar menjadi Raja Muda Johor, sebuah jawatan yang baru dibuat.
1972 - Tunku Mahmud Iskandar didakwa menyerang dua orang lelaki India dengan cokmar kerana memotong keretanya lalu disabitkan kesalahan pada tahun berikutnya.
1973 - Timbulnya laporan yang menyatakan Tunku Mahmud Iskandar dan seorang pengawal peribadi menyerang satu pasangan muda dengan bahan kimia dan cokmar setelah disinggung perasaan.
1978 - Tunku Mahmud Iskandar didakwa dan didapati bersalah atas sebab kematian seseorang setelah menembak sampai mati seorang lelaki yang berhampiran helikopter peribadinya yang disangkanya seorang penyeludup. Walau apapun, ayahandanya Sultan Ismail memberikan pengampunan rasmi kepada Tunku Mahmud Iskandar.
1981 - Tunku Mahmud dilantik kembali sebagai Tunku Mahkota sebaik sahaja sebelum kemangkatan ayahandanya. Tunku Abdul Rahman yang menjawat jawatan Tengku Mahkota Johor sebelum ini dijadikan Bendahara. Kemudian, Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim mangkat lalu diganti oleh puteranya Sultan Mahmud Iskandar. Ramai pembesar menjadi keliru dengan hal ini kerana dikatakan ketika perlantikan semula Tunku Mahmud Iskandar sebagai Tengku Mahkota Johor, Sultan telahpun dalam keadaan koma. Namun, catatan rasmi menyatakan bahawa Sultan hanya koma tiga hari sebelum mangkat. Menteri Besar Johor antara yang mempertikaikan kesahihan perlantikan itu bertindak meletakkan jawatannya setahun kemudian.
1984 - Sultan Mahmud Iskandar menjadi YDP Agong. Hal ini menjadi perhatian masyarakat seluruh dunia kerana cerita-cerita Baginda sebelum ini.
1987 - Daeng Baha Ismail Bin Daeng Ahmad telah diheret ke istana dalam keadaan bergari dan kemudiannya dibelasah. Selain itu berlaku juga kes Amukan Prebet Adam. Pandangan popular mengatakan Prebet Adam ingin menuntut bela kematian saudaranya yang dipukul sampai mati menggunakan kayu golf apabila saudaranya itu ketika menjadi kedi golf kepada Sultan tertawa kecil apabila Sultan gagal memukul masuk bola ke dalam lubang dari jarak dekat. Pandangan lain menyatakan Prebet Adam stress melalui latihan komando lalu hilang kewarasan akal dan mengamuk hingga ditangkap serta dikuarantin di rumah sakit jiwa.
1989 - Sultan Mahmud Iskandar tamat dari jawatan YDP Agong.
1992 - Jurulatih Hoki sekolah di Johor pulang dari Istana Johor dalam keadaan cedera mendakwa dirinya dipukul.
1993 - (Krisis Perlembagaan) Setelah pelbagai isu jenayah membabitkan beberapa kerabat DiRaja di Malaysia, maka pada era Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, parlimen meluluskan agar Kekebalan Raja-Raja dimansuhkan. Menurut beliau, monarki diseluruh dunia digulingkan apabila rakyat berasa marah kepada raja. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku di Malaysia, parlimen menyokong agar kekebalan raja dimansuhkan lalu kemarahan rakyat dapat diredakan.
2007 - Pertikaian mengenai Pulau Batu Putih antara Johor (Malaysia) dan Singapura. Kes ini selesai setahun kemudian apabila Singapura mendapat hak ke atas Pulau Batu Putih.
2008 - Tunku Ismail Idris (Tengku Mahkota Johor kini) dikaitkan dengan kejadian pergaduhan dimana baginda dikatakan mengacukan pistol ke arah seorang kerabat diraja Negeri Sembilan. Namun, Pihak Istana menafikan perkara ini.
2010 - Sultan Mahmud Iskandar Al-Haj mangkat lalu diganti oleh puteranya Sultan Ibrahim Ismail yang memerintah Johor sehingga kini.
Menurut Syariat Islam, selagimana seseorang Raja itu menaungi kedaulatan dan kesucian agama Islam, maka baginda haram untuk digulingkan. Menurut Adat Melayu pula, ikatan konsep daulat itu termeterai sejak zaman Sang Sapurba (Raja) yang meminta agar rakyat tidak menderhakai baginda dan keturunannya. Demang Lebar Daun (rakyat) bersetuju dan meminta pula agar raja tidak sewenang-wenangnya mengapa-apakan rakyat. Jika Raja terlebih dahulu merungkai ikatan daulat ini, maka rakyat turut akan membubar perjanjian ikatan daulat ini. Mereka pun bersumpah barangsiapa yang mengubah perjanjian, itu dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, tiangnya ke atas.
DAULAT TUANKU!!!
Copy and paste: FB Shari Ilmu Akhir Zaman
2.1.2019: 11.06 pm

No comments:

Post a Comment