ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 12 November 2018

HARI SEDIH - KOTA KUALA KEDAH 100 TAHUN LALU

Hari ini 12 November 2018. Pada tarikh ini 197 tahun lalu Kota Kuala Kedah diserang Siam-Ligor musuh durjana.
Pada tengah hari Ahad itu seribu orang tentera Siam dari Ligor dengan cukup kelengkapan perang tiba dengan seratus perahu perang ke kuala lalu berlabuh di Kota Kuala Kedah. Kononnya kedatangan mereka adalah untuk mendapatkan bekalan beras kerana ekpedisi mereka melawan Burma.

Datok Bendahara Paduka Maharaja Sura menyambut kedatangan mereka di Balai Air, tanpa sebarang syak. Sedang perundingan untuk mendapatkan beras berlangsung tiba-tiba mereka menangkap Datok Bendahara. Datok Temenggong yang ada bersama terus membuka langkah dan menikam beberapa orang tentera Siam di atas balai tersebut. Datok Bendahara menjerit memberitahu Datok Laksamana di pintu kota bahawa kita dilanggar musuh.
Tentera Siam berpusu-pusu di pintu kota. Berlaku pergelutan di pintu kota. Tentera Siam mengasak untuk masuk tetapi dihalang perajurit Kedah. Akhirnya ada tentera Siam yang berjaya membolos masuk dan membuka pintu kota. Tentera Siam mengejar dan membunuh pengawal dalam kota dengan pedang, lembing, malah ada yang ditembak dengan istinggar dari jarak dekat. Bilangan mereka yang terlalu ramai menyebabkan pengawal kota tidak mampu melawan.
Akhirnya kota itu jatuh ke tangan Siam. Tentera Siam terus mengamuk di Kuala Kedah. Rumah-rumah orang Melayu di Seberang Nyonya dibakar. Masjid dibakar. Lelaki Melayu ditangkap dan diseret ke kota. Perempuan diperkosa. Suasana di Kuala Kedah menjadi kacau bilau. Sebahagian tentera Siam meneruskan perjalanan dengan perahu perang menggempur Kota Setar. Sebahagian lagi menuju ke Pulau Langkawi kerana di sana letaknya armada Kedah. Ribuan lagi tentera Siam yang berjalan kaki sampai ke kawasan Gunung Keriang dan bergabung dengan yang berperahu menyerang Kota Setar.
Dalam masa yang singkat negara Kedah jatuh ke tangan Siam. Siam menjadikan kota Alor Ganu sebagai pusat pemerintahan tentera mereka. Kota Kuala Kedah dikawal armada Siam. Datok Laksamana dan Datok Temenggong bersama pengawal dan prajurit ramai yang terbunuh dalam kota. Datok Bendahara ditangkap bersama Tunku Yaakob putera Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajudin II. Mereka bersama ribuan orang lelaki yang ditawan dipaksa berjalan kaki ke Singgora untuk dijual sebagai hamba abdi. Keting mereka ditebuk dan diikat dengan rotan. Sebahagian lagi dibawa ke Bangkok untuk dijadikan hamba di istana dan rumah pembesar Siam.
Datok Bendahara diracun dan mati dalam perjalanan ke Singgora. Seluruh Kedah menjadi padang jarak padang tekukur. Sawah padi dibakar. Rumah orang kampung juga dibakar sebagai langkah membumi hanguskan Kedah. Tapi anak Kedah bangun melawan tanpa rasa gentar di dada. Nak tahu lebih lanjut, bacalah buku tentang Perang Musuh Bisik Kedah lawan Siam-British 1821-1842.
Wahai anak Kedah. Jangan sesekali kamu lupa tarikh ini. Jangan sesekali kamu alpa. Musuh kita sentiasa memata-matai. Mereka wujud dalam pelbagai rupa. Kita perlu sentiasa siaga. Alfatihah buat nenek moyang kita yang syahid mempertahankan tanah air tercinta.
Copy and paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
12.11.2018: 3.09 pm

No comments:

Post a Comment