ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 30 September 2018

Benua yang tenggelam di Asia Tenggara


Seorang penulis buku dari British, Stephen Oppenheimer, telah mencetuskan kontroversi apabila menyatakan sejarah peradaban manusia sebenarnya bermula di Asia Tenggara. Menerusi buku yang ditulisnya, Eden in the East, Oppenheimer mengemukakan teori bahawa sebuah lokasi yang dikenali Sundaland atau Pentas Sunda merupakan kawasan yang pertama pernah didiami oleh manusia sebelum bermigrasi ke tempat lain.

Menurut Oppenheimer, beberapa tamadun awal seperti  Mesopotamia, Lembah Sungai Indus dan China merupakan sebahagian pecahan awal daripada populasi penduduk yang bermigrasi dari benua Sunda. Situasi ini berlaku disebabkan satu kejadian bencana banjir besar yang menenggelamkan wilayah Pentas Sunda kira-kira 14, 500 tahun hingga 7,200 tahun yang lalu. Ekoran keadaan itu, sebahagian besar populasi penduduk yang mendiami kawasan tersebut terpaksa bermigrasi ke beberapa lokasi lain iaitu di benua Asia, kepulauan Jepun dan kepulauan Pasifik.

Berdasarkan data geologi dan oseanografi, jelas Oppenheimer, terdapat tiga bencana banjir besar telah menenggelami sebahagian permukaan bumi. Bencana tersebut berlaku dalam tiga tempoh waktu yang berbeza iaitu 14,000 tahun, 11,000 tahun dan 8,000 tahun yang lalu.Difahamkan, bencana banjir berkenaan berlaku berikutan pencairan ais di bahagian hemisfera Utara. Ekoran kejadian itu, sebahagian besar dari kawasan Pentas Sunda dikatakan telah dinaiki air setinggi lima hingga ke sepuluh meter.

Sementara itu, seorang Pakar Kejuruteraan Nuklear Brazil, Profesor Aryso Nunes Dos Santos turut menyokong teori yang dikemukakan oleh Oppenheimer. Menurutnya, andaian tersebut mempunyai kaitan dengan kehilangan sebuah tamadun Atlantis yang lenyap kira-kira 9,000 tahun dahulu. Mengikut teori yang dikemukakannya mendapati, wujud kebarangkalian lokasi tamadun berkenaan kemungkinan lenyap di sekitar kawasan Pentas Sunda.

Jelasnya, keadaan geografi di Asia Tenggara khususnya Indonesia menyamai catatan daripada transkrip seorang ahli falsafah Yunani yang bernama Plato. Berdasarkan hasil kajian yang dibuatnya, beliau menolak teori yang mengatakan kedudukan Atlantis terletak di kawasan Mediterranean, Andalusia, Antartika dan kepulauan Caribbean.

Justeru, lokasi yang paling hampir adalah merujuk kawasan Asia Tenggara yang kerap mengalami gempa bumi serta memiliki gunung berapi yang aktif. Ujarnya, gunung berapi yang menjadi punca tenggelamnya Atlantis.

Selain itu, dia turut berhujah penduduk Atlantis berkemungkinan hidup di kawasan tropika serta menggunakan kaedah penanaman sebanyak dua kali setahun. Antara tanaman tersebut adalah padi, gandum dan barli. Buktinya, pada catatan Plato pernah menceritakan bahawa tamadun yang hilang itu sentiasa disinari cuaca panas sepanjang tahun yang terletak pada garisan beriklim khatulistiwa.
Dalam catatan ahli falsafah Yunani itu turut menggambarkan kota tersebut banyak menghasilkan bijih timah dan emas. Justeru, Santos percaya lokasi sebenar Atlantis mungkin di Asia Tenggara kerana kawasan ini kaya dengan hasil buminya sehingga pernah digelar sebagai Semenanjung Emas, Gunung Emas dan Bukit Besi Putih.

Menerusi tiga buah buku yang ditulisnya bertajuk, AtlantisThe Lost Continent Finally Found dan The Definitifve Localization of Plato’s Lost Civilization (2005), Santos menyimpulkan bahawa tamadun yang hilang itu adalah Pentas sunda atau lebih dikenali sebagai Sundaland. Beliau memberi gambaran bahawa Atlantis adalah merupakan sebuah tamadun yang sangat maju.

Pada masa itu, tamadun ini mempunyai sebuah kota moden yang mencapai kemuncak sains dan teknologi tinggi berbanding zaman kini. Pelbagai ciptaan canggih sudah ada pada zaman berkenaan. Contohnya kemajuan dalam teknologi pengangkutan, teknologi kacukan haiwan dan tumbuhan serta kecanggihan ilmu teknologi komunikasi. Percaya atau tidak, tamadun ini memiliki keluasan kawasan yang sangat luas sehingga mampu memiliki ladang untuk menampung makanan kepada 15 juta hingga 30 juta penduduknya.

Anehnya, terdapat juga teori mengatakan penduduk pada zaman itu masih lagi hidup setelah bertukar menjadi ikan duyung. Pun begitu, kewujudan Atlantis masih lagi misteri. Tidak ada siapa pun yang mengetahui kewujudan tamadun tersebut. Adakah ianya satu mitos masih belum dapat dipastikan kerana sehingga hari ini ia masih lagi belum ditemui.

Copy and paste: 
30.9.2018 : 8.50 am


No comments:

Post a Comment